Oleh pada 13 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana & Instagram Neelofa

    

Penyanyi Siti Nordiana tidak menyangka namanya antara yang dikatakan bakal menggantikan tempat Neelofa sebagai pengacara program hiburan Meletop.

Siti Nordiana Alias atau lebih mesra disapa Nana, 34, bagaimanapun berkata, dia menganggap selebriti lain mempunyai kelebihan untuk menggalas peranan terbabit.

“Tak sangka juga nama saya pun disebut-sebut untuk mengacarakan program MeleTop selepas Neelofa undur diri.

“Saya fikir ada pengacara wanita lain lebih sesuai bergandingan dengan Nabil iaitu Jihan Muse kerana pengalaman serta kewibawaan dimilikinya,” kata Nana kepada Harian Metro.

Nana yang enggan mengulas lanjut, mengakui mempunyai kelemahan tersendiri yang perlu diperbaiki dalam dunia pengacaraan.

    

pengganti neelofa meletop

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

      

“Saya bukan tidak yakin dengan kemampuan diri tetapi mengacarakan program MeleTop itu cabarannya besar. Apapun, terima kasih kepada peminat yang menyebut nama Nana.

“Semuanya bergantung kepada rezeki. Saya memang tidak tahu menahu nama turut disebut sebagai calon pengganti,” kata penyandang anugerah pengacara popular itu.

Mengenai dakwaan yang mengatakan dia mampu memberi pulangan 'rating' tontonan kepada Meletop, Nana menganggap rancangan bual bicara infotainment itu sudah kukuh dengan penjenamaan tersendiri bersama para pengikut setia.

Terdahulu, Neelofa mendedahkan bakal berundur daripada Meletop dengan kemunculan kali terakhir pada 31 Disember ini.

Nana, Mira Filzah dan Jihan Muse merupakan tiga nama yang dicanang bakal mengisi kerusi panas itu.

    

Sumber berita: Nana Pengganti Neelofa?

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)