Kredit foto: Instagram Meletop
Pengacara Neelofa mengejutkan audiens apabila mendedahkan akan pengundurannya daripada program hiburan, Meletop.
Noor Neelofa Mohd Noor atau nama popularnya, Neelofa, membuat pengumuman berkenaan secara langsung ketika mengendalikan rancangan mingguan terbabit, malam tadi.
“Kita (bersama Nabil Ahmad) mula mengacara Meletop pada tahun 2012 iaitu selama lapan musim dan ini merupakan tempat saya membesar. Dengan hati yang sangat berat, saya umumkan ini akan menjadi bulan terakhir saya bersama rancangan ini," katanya.
Di kesempatan itu, Neelofa menzahirkan penghargaan terhadap rakan gandingannya, Nabil atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan selama ini.
“Terima kasih banyak-banyak (kepada Nabil) untuk segalanya. Terima kasih kerana komitmen awak dan kepercayaan yang diberikan buat saya. Meletop sebenarnya telahpun menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya.
Sementara itu, pengacara yang juga usahawan itu berkata, punca dia meninggalkan tugasan berkenaan kerana ingin mengejar impiannya yang lain.
Kredit foto: Instagram Meletop
“Berat untuk saya melakukan keputusan ini kerana Meletop memainkan peranan yang penting dalam karier saya.
“Namun saya perlu lepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain,” ulasnya ringkas.
Pengumuman itu secara tidak langsung meleraikan spekulasi yang bertebaran sebelum ini.
Untuk rekod, Neelofa bersama Nabil mengelolakan program infotainment berkenaan sejak tahun 2012.
Penerbitan Meletop di kaca televisyen sudah mencecah usia lapan tahun.
Kredit video: Neelofa Menangis! Disember Bulan Terakhir di MeleTOP | MeleTOP | Nabil & Neelofa