Oleh pada 05 Sep 2019 kategori

Sekali pandang, haiwan ini mungkin kelihatan tidak akan mendatangkan sebarang bahaya kepada manusia. Namun, haiwan kecil ini merupakan mimpi ngeri bagi semua pengusaha tanaman padi di negara ini.

Ini kerana, siput yang dikenali sebagai Siput Gondang Emas (SGE) ini telah menyebabkan ramai pengusaha tanaman padi kerugian sehingga belasan ribu ringgit setiap musim.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siput ini bukan sahaja menyebabkan kerugian dengan merosakkan anak pokok padi, pesawah juga terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membeli racun bagi mengawal hidupan berkenaan yang membiak dengan begitu cepat.

Hanya lapan ekor 'pembunuh senyap' ini sahaja sudah cukup untuk memusnahkan kawasan padi seluas satu meter persegi dalam tempoh 24 jam. Bayangkan sekiranya serangan tanaman padi melibatkan ratusan atau ribuan ekor Siput Gondang Emas.

Makhluk perosak no. 1 di Malaysia

siput gondang emas 2

Satu ketika dahulu, siput ini menduduki carta kedua sebagai makhluk perosak tanaman padi selepas tikus. Namun, sejak kehadirannya dikesan di seluruh negara seperti di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pahang pada tahun 2010 sehingga memusnahkan tanaman padi seluas lapan hektar sekali gus, ia terus berada carta pertama sehingga kini.

Terdapat dua jenis Siput Gondang yang biasa ditemui di kawasan tanaman padi di negara ini iaitu Pomacea canaliculata (berwarna keemas-emasan) dan Pomacea insularum (berwarna kehitam-hitaman).

Berasal dari negara luar dan bersifat 'invasive'

siput gondang emas gadong telur pink

SGE dikatakan berasal dari kawasan paya dan sungai di Argentina dan Brazil di Amerika Selatan. Haiwan jenis herbivor ini telah dibawa masuk ke Malaysia untuk tujuan sebagai haiwan hiasan dalam akuarium.

Disebabkan kecuaian dan kelalain manusia, haiwan ini telah dilepaskan ke longkang atau paya. SGE seterusnya membiak dengan cepat dan merebak ke seluruh lokasi menerusi bawaan air seperti banjir sehingga ke kawasan pertanian.

telur siput gondang emas 898

Telur Siput Gondang Emas

Video bagaimana siput menghasilkan telur merah jambu

SGE ini biasanya aktif pada waktu lewat petang, malam dan fajar. Siput ini biasanya akan menyerang benih padi yang berusia kurang daripada 30 hari selepas ditabur dalam petak sawah.

Apabila serangan SGE ini mula dikenalpasti berlaku di Kuala Selangor, pegawai pertanian dengan kerjasama pesawah telah melakukan langkah awal dengan menyembur racun ke dalam tali air yang menyalurkan sumber air ke dalam petak sawah.

Dalam sebulan, bertelur empat kali

padi menjadi rosak

Tanaman padi yang rosak

Walau bagaimanapun, pembiakan SGE tidak dapat dikawal kerana ia membiak dengan amat cepat. Siput yang berumur 75 hingga 90 hari sudah menjadi matang dan mula membiak. Pembiakan SGE ini pula boleh berlaku sebanyak dua hingga empat kali sebulan.

Lebih menakutkan lagi, SGE mampu masuk ke dalam tanah sedalam tiga meter dan mampu hidup selama tiga tahun tanpa air. Haiwan ini mampu menghasilkan sehingga 8,000 biji telur sepanjang hayat dengan setiap kantung mengandungi kira-kira 200 hingga 500 biji telur.

proses menyembur racun

Tanda-tanda sawah yang terkena serangan SGE ini agak mudah dikesan. Antaranya ialah kelihatan tompok dalam sawah seperti anak benih tidak tumbuh, kehadiran telur di batas sawah dan rumpai, kehilangan rumpun padi serta daun padi terapung di permukaan air.

Menurut seorang pesawah di Pekan, Pahang, terdapat racun import keluaran negara jiran yang mampu membunuh SGE. Namun, racun perosak itu tidak didaftar atau mungkin mengandungi dos racun yang tinggi dan membahayakan menyebabkan kerajaan melarang penggunaannya di negara ini.

Cara hapuskan siput gondang emas

gotong royong mengutip sge

Sumber :pertanian perak

Selain itu, terdapat beberapa lagi kaedah untuk menangani masalah SGE ini seperti kaedah semula jadi dan mekanikal. Pesawah biasanya akan mengutip siput dewasa dan memusnahkan telur siput yang berada di petak sawah atau batas.

Pihak berkuasa tempatan turut mengadakan pelbagai aktiviti gotong-royong dan menawarkan RM1 bagi setiap kilogram siput manakala RM3 bagi setiap kilogram telur siput yang berjaya dikutip.

siput gondang emas dan telurnya

Kaedah mekanikal pula ialah dengan memasang jaring di gelung air keluar dan masuk bagi memerangkap siput agar tidak masuk ke petak sawah.

Selain itu, kaedah kawalan biologi juga digunakan. Percubaan menggunakan 300 ekor Itik Jawa di Pendang, Kedah, telah menunjukkan hasil yang memuaskan. Ini kerana Itik Jawa gemar memakan anak-anak SGE dan jika dipraktikkan secara berterusan, ia mampu mengawal masalah ini sehingga 100 peratus.

itik jawa

Selain itu, kaedah kawalan biologi ini juga dapat mengelakkan pesawah daripada menggunakan racun kimia yang mahal dan berbahaya kepada alam sekitar. Telur yang dihasilkan oleh itik-itik ini juga dapat dijual bagi menambah pendapatan pesawah.

Siput Gondang Emas Sedap Dimakan

Walaupun kisah makhluk perosak ini agak membinasakan, sebenarnya masih ramai yang sukakannya kerana ia mudah didapati dan boleh dimasak. Antara resepi yang popular adalah gulai siput gondang masak lemak.

gulai siput gondang emas masak lemak

Nampak sedap kan? Anda pernah makan? kongsikan pengalaman anda dengan kami.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)