Penduduk di Shani Shingnapur masih mengekalkan tradisi mereka sejak sekian lama, iaitu untuk tidak memasang pintu dan membiarkan rumah mereka terbuka kepada jiran serta penziarah yang datang berkunjung.

Bandar diziarahi sejak 300 tahun dahulu

Shani Shingnapur merupakan sebuah bandar kecil yang mempunyai keluasan hanya sebesar 1km persegi dan mempunyai sekitar 200 buah rumah sahaja. Bandar ini terletak di daerah Ahmednagar di Maharashta, India dan merupakan tempat di mana berduyun-duyun penziarah datang untuk berdoa kepada tuhan Hindu, Lord Shani.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di sini terletaknya kuil Lord Shani yang paling dimuliakan di seluruh negara India dan penduduk di Shani Shingapur ini meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Lord Shani sebagai pelindung mereka. Disebabkan oleh legenda yang berusia 300 tahun, tiada satu pun rumah di sini yang mempunyai pintu.

Kepercayaan ini bukan sahaja membuatkan penduduk di sini tidak memasang pintu pada rumah mereka bahkan mereka juga tidak memasang pintu bangunan di pusat bandar mereka seperti hotel, balai polis bahkan juga pada bank. Malah, tiada satu kedai pun di Shani Shingnapur yang menjual mangga dan kunci.

Tempat penyembahan Lord Shani di sini adalah sebuah batu monolit purba berwarna hitam yang berukuran 1.5 meter tinggi. Ianya tidak ditutup dan dibiarkan terdedah. Minyak biji sawi yang disimpan di dalam kendi yang tergantung di atas batu ini sentiasa dituang oleh penziarah yang datang. Kuil ini dibuka 24 jam sehari, sepanjang tahun.

rumah shani shingnapur tanpa pintu

Pada asalnya kuil ini dijaga oleh penduduk tempatan sebagai penghormatan kepada Lord Shani. Kini, terdapat satu badan yang menyelia kuil ini melalui sumbangan yang diberikan oleh para penziarah dan juga penganut Hindu yang datang. Lama-kelamaan, Shani Shingnapur menjadi terkenal dan kepercayaan kepada penduduk juga semakin meningkat.

Lord Shani pelindung sejak zaman-berzaman

Penduduk setempat melakukan kerja harian tanpa perlu merisaukan tentang keselamatan rumah serta harta benda milik mereka. Ini disebabkan kepercayaan tinggi mereka kepada Lord Shani yang menjadi pelindung mereka sejak zaman-berzaman lagi.

Bahkan penduduk tempatan kadang-kala berpergian selama beberapa hari meninggalkan bandar tanpa meminta jiran untuk mengawasi rumah mereka. Menurut Dyaneshawar Kudalkar yang membuka rumah tumpangan untuk penziarah, jika seseorang itu tidak jujur dan mencuri, mereka pasti tidak akan terlepas dari hukuman Lord Shani.

Kudalkar memberitahu lagi, jika mereka diberi perlindungan seperti ini, mereka tidak perlu memikirkan lagi mengenai soal keselamatan tambahan. Terdapat beberapa kes apabila seseorang itu memasang pintu dan kunci pada rumah mereka, terjadi beberapa kemalangan, kerugian dan nasib malang.

Kisah ringkas Lord Shani

batu monolit lord shani 73

Lord Shani yang dipercayai personifikasi kepada planet Saturn ini dipuja oleh ramai penganut yang datang dari seluruh India dengan menawarkan sesembahan mereka. Menurut kepercayaan popular, pada kurun ke-17, seorang penternak haiwan telah menjumpai sebuah batu monolit purba berwarna hitam terapung dan mengalir malalui kawasan bandar di Shingnapur.

Penduduk setempat ketika itu cuba mendapatkan batu itu dengan menariknya menggunakan kayu. Apabila kayu tercucuk pada batu itu, ia mengeluarkan darah dan orang kampung mula berkumpul untuk menyaksikan kejadian tersebut.

Pada malam itu, seorang pengembala telah bermimpi didatangi oleh Lord Shani yang menerangkan kepadanya bahawa batu itu mewakilinya. Pengembala itu kemudian meminta kebenaran untuk membina kuil sebagai penghormatan, namun Lord Shani menjawab bahawa dia tidak memerlukan bumbung kerana langit sudah menjadi bumbungnya.

Lord Shani meminta pengembala itu untuk melakukan pemujaan kepadanya setiap hari, sebagai jaminan bahawa kampungnya itu tidak ditampa musibah, bencana atau kecurian. Sejak itu mereka menukar nama kampung mereka dengan nama Shani Shingnapur.

Kebanjiran para pengunjung

kuil lord shani

Tahun demi tahun, Shani Shingnapur telah menjadi sangat popular sebagai tempat yang dikunjungai penziarah. Terdapat lebih dari 40,000 orang pengunjung yang datang ke sini setiap hari. Jumlah pengunjung akan meningkat lebih tinggi pada hari-hari tertentu seperti fenomena bulan sabit. Jika hari istimewa ini jatuh pada hari Sabtu, mereka akan mengadakan pesta besar di bandar ini.

Secara tradisinya, wanita adalah dilarang untuk memasuki ruangan utama kuil Lord Shani ini namun pada 30 Mac 2016, Mahkamah Tinggi Bombay telah mengarahkan agar pihak kerajaan Maharashta membenarkan wanita memasuki mana-mana kuil di India. Seminggu selepas itu, kuil di Shani Shingnapur juga telah membenarkan wanita untuk memasuki ruangan kuil mereka (namun wanita tempatan masih menahan diri untuk tidak masuk).

Selama beberapa generasi, penduduk di kampung ini telah mengamalkan untuk berkongsi makanan dengan para penziarah yang datang. Menurut seorang penduduk tempatan iaitu Geetabai Suresh Mahale, mereka tidak perlu kaya dari sudut kewangan sebaliknya cukup dengan kaya budi bahasa.

Setiap hari adalah hari rumah terbuka

Rumah dua bilik milik Geetabau Suresh Mahale ini mungkin tidak mewah namun ia kaya dengan kemurahan dan keselesaan. Suaminya meninggal dunia akibat kemalangan beberapa tahun yang lalu.

rumah tanpa pintu shani shingnapur

Sejak itu, dia dan dua anak lelakinya meneruskan legasi suaminya yang dikenali sebagai seorang yang pemurah. Setiap pengunjung yang bermalam di rumahnya tidak dibenarkan beredar tanpa menikmati makanan yang disediakan, tidak kiralah pada waktu mana sekalipun.

Suaminya sering masak untuk setiap pengunjung yang singgah, walaupun pada watu yang pelik. Suaminya percaya para penziarah yang datang dari jauh memerlukan lebih dari segelas minuman.

img 20180914 153122

Mahale juga sebenarnya suka menghidangkan makanan tradisi Maharashta kepada pengunjung iaitu Pithla-Bhakri, makanan yang santai dan popular di seluruh negara. Dia akan menyediakan resepi makanan ini dengan bantuan dua menantunya iaitu Yogita dan Neeta.

Seorang pengunjung iaitu Sunil Bhagwat memberitahu bahawa di kampungnya, tiada seorangpun penduduk yang akan menjemputnya masuk ke rumah mereka tanpa bertanyakan apa-apa soalan. Namun, mentaliti penduduk di Shani Shingnapur ini merupakan sesuatu yang sangat jarang ada di dunia ini.

Bank juga tidak berkunci

bank shani shingnapur 156

Pada Januari 2011, sebuah cawangan United Commercial Bank telah dibuka di Shani Shingnapur dan merupakan yang pertama di India yang tidak mempunyai kunci. Ini kerana mereka mahu mengekalkan tradisi penduduk di situ.

Walaupun begitu, pegawai bank itu Mangesh Rakshe mengesahkan bahawa duit dan dokumen dalam keadaan selamat walaupun bank tidak mempunyai kunci. Ini kerana bank itu sebenarnya mempunyai pintu yang hanya boleh dibuka dan ditutup menggunakan alat kawalan elektromagnetik.

Bank itu menjadi tempat simpanan lebih dari 10,000 pemegang akaun dari bandar itu dan beberapa perkampungan berdekatannya. Pekerja bank itu berkata mereka tiada masalah dengan tahap keselamatan di bank itu namun sedikit khuatir mengenai pengunjung yang datang ke bandar itu kerana "terlalu ingin tahu" mengenai bank itu.

Kadar jenayah yang tidak membimbangkan

Selama bertahun lamanya, Shani Shingnapur tidak mempunyai balai polis kerana mereka tidak memerlukannya. Namun, pada 2015, balai polis yang terletak di kampung berdekatan iaitu Kampung Sonai telah dipindahkan ke Shani Shingnapur untuk mengawal kesesakan kehadiran pengunjung terutamanya pada hari Sabtu atau musim kemuncak.

kuil di shani shingnapur

Sebelum ini, tiada kes kecurian yang berlaku di Shani Shingnapur namun baru-baru ini beberapa kes kecil membabitkan kecurian wang, barang kemas dan barangan lain telah dilaporkan.

Seorang pegawai polis memberitahu kadangkala beberapa kejadian tidak dilaporkan kerana ekonomi penduduk di sini bergantung kepada sumbangan daripada pengunjung yang hadir dan jenayah sebegini boleh merosakkan reputasi dan tradisi tempat ini.

Pegawai itu memberitahu lagi bahawa kadangkala pengunjung yang datang ke kuil itu juga melakukan jenayah seperti menyeluk saku dan mencuri kenderaan. Namun begitu, penduduk tempatan tetap tidak mahu memasang pintu atau kunci kerana kepercayaan penuh mereka kepada Lord Shani.

Komuniti kejiranan yang akrab

Shani Shingnapur mempunyai populasi sebanyak 4000 orang yang kebanyakan terdiri daripada petani. Tanaman utama mereka adalah gandum, bawang dan tebu. Sesetengah penduduk pula membuka kedai berdekatan kuil dengan menjual cenderahati, barangan runcit, makanan, dan beberapa barangan lain.

penduduk shani shingnapur

Komuniti di sini sangat rapat seperti sebuah keluarga yang besar. Wanita sering masak bersama dan membantu di antara satu sama lain dalam melakukan kerja rumah. Pada waktu petang dan malam pula mereka akan berbual atau membaca doa berdekatan kuil. Penduduk di sini saling kenal mengenal di antara satu sama yang lain.

Masalah moral semakin merudum

Walaupun penduduk di sini enggan melaporkan kes kecurian, terdapat beberapa penduduk sudah mula memasang pintu kayu untuk keselamatan rumah mereka. Ini kerana beberapa kampung berdekatan sudah terjadi beberapa kes kecurian dan membuatkan penduduk di Shani Shingnapur mula mengambil langkah berjaga-jaga sebelum terlambat.

Rekaan rumah tradisional di sini juga semakin berubah di mana rekaan yang lebih moden telah mula digunakan. Kebanyakan rumah di sini adalah rumah setingkat, hanya beberapa buah sahaja rumah dua atau tiga tingkat yang dapat dilihat di sini.

shani shingnapur beri makan percuma

Walaupun bandar ini sudah berubah sedikit demi sedikit namun kepercayaan mereka tetap utuh. Walaupun ada yang mula memasang pintu pada rumah, namun mereka memilih untuk memilih pintu gelangsar (sliding door) dan dilihat seakan tiada pintu jika mereka membukanya pada waktu siang.

Tradisi tetap diteruskan

Walaupun beberapa perubahan telah berlaku, penduduk Shani Shingnapur tetap memelihara tradisi mereka sebagai bandar tanpa pintu. Pada saat pengunjung datang, mereka akan berasa sangat tenang, selamat dan diterima di sini berbanding bandar penziarah lain di India.

Ini menunjukkan bukan sahaja pintu malah hati penduduknya juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang. Mereka sanggup memelihara kepercayaan mereka berbanding harta benda. Ini merupakan sesuatu yang sangat jarang dilihat pada zaman sekarang.

Rujukan : 

1. BBC

2. Shani Shinganapur

3. Indian Express




Hakcipta iluminasi.com (2017)