Ramai orang menyebut tentang rumah ibadah setiap hari, tetapi tidak ramai yang mengetahui dari mana datangnya istilah-istilah yang kita gunapakai.

Wujud bermacam jenis istilah di kalangan masyarakat kita yang diguna secara rasmi untuk merujuk kepada empat kumpulan penganut agama terbesar di Malaysia, iaitu masjid bagi orang Islam, tokong bagi Buddha, kuil bagi Hindu dan gereja bagi Kristian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir dari mana datangnya istilah-istilah ini?

1. Masjid/Mosque

masjid shah alam

'Masjid' memang merujuk kepada pusat ibadat masyarakat Islam di seluruh dunia. Istilah ini diambil daripada istilah bahasa Arab 'masjid' tanpa korupsi kepada kaedah sebutannya. Istilah 'masjid' pula mempunyai kata akar 'sa-ja-da' yang bermakna 'tempat di mana kita sujud.'

Sementara itu 'mosque' yang merujuk kepada masjid dalam bahasa Inggeris, merupakan korupsi istilah daripada istilah asalnya. 'Mosque' sebenarnya datang dari istilah ciptaan masyarakat Sepanyol 'mezquita' yang merujuk kepada masjid.

Istilah itu dipinjam oleh masyarakat Perancis (mosquee) dan Itali (moschea) sebelum diringkaskan dalam pinjaman bahasa Inggeris sebagai 'mosquee' atau istilah kini 'mosque.'

2. Tokong/Topekong

tokong istilah bahasa topekong

Jika anda rujuk kamus Dewan Bahasa, istilah 'tokong' yang cukup popular digunakan untuk merujuk kepada rumah ibadat komuniti Buddha sebenarnya tidak membawa makna sedemikian.

'Tokong' dari segi bahasa rasmi kita membawa makna 'pulau kecil tanpa tumbuhan'. Istilah yang betul untuk merujuk kepada rumah ibadat orang Buddha adalah 'topekong.'

'Topekong' boleh merujuk kepada rumah atau bangunan ataupun binaan berbentuk berhala yang dibina untuk tujuan pemujaan. Secara rasmi, penggunaannya tidak terhad hanya untuk agama Buddha.

Dari mana datang istilah 'topekong'? Istilah ini datang daripada upacara masyarakat Cina zaman dahulu di Pulau Pinang, yang menyembah pengasas kampung Cina pertama di sana bernama Tua Pek Kong.

Topekong sempena memperingati Dewa Tua Pek Kong kini terletak di Tanjung Tokong. Ha, nampak tak bagaimana cukup mengelirukan sekali ayat itu?

3. Gereja/Church

gereja istilah rumah ibadah

Dalam satu artikel kami, kami sudah memperjelaskan berkenaan pinjaman istilah Portugis 'igreja' ke dalam bahasa kita bagi merujuk kepada rumah ibadat masyarakat Kristian atau 'gereja.'

'Igreja' pula merupakan istilah pinjaman daripada bahasa Yunani lama 'ekkelsia' yang membawa 'pusat berkumpul.' Berikut sinonimnya bahasa Portugis dengan bahasa Sepanyol, Galic dan Catalan, ketiga-tiganya menggunakan istilah hampir serupa iaitu dengan ejaan yang berbeza.

Sementara itu istilah 'church' yang digunakan dalam bahasa Inggeris, diambil daripada istilah cirice atau circe. Istilah itu pula dipinjam daripada istilah Jermanik lama yang ditulis sebagai 'kirche'.

Walaupun sebutannya berbeza, makna istilah itu masih kekal sebagai pusat berkumpul atau pusat komuniti tetapi akhirnya dikhaskan untuk merujuk kepada pusat komuniti Kristian.

4. Kuil

kuil hindu istilah bahasa

Siapa tahu istilah sebenar 'kuil' dalam bahasa Inggeris? Pasti ramai yang akan menjawab 'temple' bukan?

Sebenarnya 'kuil' ada terjemahan rasminya dalam bahasa Inggeris, ditulis sebagai 'koil' atau 'kovil', merujuk kepada rumah ibadat masyarakat Hindu di seluruh dunia. Semua istilah ini datang daripada istilah bahasa Tamil iaitu 'koyil' yang membawa makna 'rumah Tuhan'.

Istilah 'temple' pula datang daripada istilah Latin 'templum' yang merujuk kepada kawasan tanah suci. Istilah itu dipinjam ke dalam istilah Inggeris kuno sebagai 'tempel' sebelum ejaannya diselaraskan kepada versi yang kita ada sekarang.

5. Berhala

berhala istilah asal usul

Istilah berhala cukup popular di kalangan masyarakat kita, tetapi malangnya tidak ramai menyedari kesilapan kita apabila menggunakannya.

'Berhala' pada asalnya bukanlah merujuk kepada 'patung atau binaan yang disembah penganut agama tertentu', sebaliknya datang daripada gabungan imbuhan 'ber~' dan 'hala', yang membawa makna 'lokasi yang menjadi pemandu arah.'

Oleh kerana itulah terdapat beberapa lokasi seperti contoh Pulau Berhala di Sandakan, Sabah, dinamakan sedemikian kerana satu ketika dulu dijadikan sebagai petunjuk atau 'landmark' perjalanan.

Jika anda rujuk Kamus Dewan pun, anda akan mendapati kecelaruan ini khasnya dari aspek penulisannya. 'Ber~' dalam istilah itu boleh dianggap sebagai imbuhan manakala 'berhala' pula boleh dilihat sebagai satu kata nama am.

Ekoran ketiadaan jawapan jelas kepada pertikaian ini, adalah lebih mudah untuk kita menerima 'berhala' boleh membawa makna 'arah tuju sesuatu' dan boleh juga membawa makna patung-patung yang disembah masyarakat bukan Islam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)