Panenka merupakan teknik sepakan penalti yang berisiko tinggi dalam permainan bola sepak. Ia mungkin kelihatan mudah untuk dilakukan, dan mungkin juga kelihatan seperti satu teknik yang 'biasa-biasa' sahaja, tetapi perasaan gemuruh untuk melakukannya tidak dapat dinafikan. Larian yang dilakukan sebelum menyepak bola sama sahaja seperti penalti yang biasa dilakukan, namun aksi terakhir ialah dengan hanya melakukan chip atau lob, bukannya menyepak terus ke dalam gawang. Gerakan yang diluar jangkaan ini akan menyebabkan penjaga gol akan tertewas sepenuhnya jika ia berjaya dilakukan dengan sempurna.
BESARKAN TEKS A- A+
Teknik ini adalah pilihan yang logik bagi penciptanya, Antonin Panenka, dan apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk menggunakan teknik tersebut, beliau menjawab, "Saya memilih teknik penalti ini kerana saya nampak dan sedar ia adalah cara paling mudah dan senang untuk menjaringkan gol." Ramai pemain telah mencuba untuk meniru teknik Panenka ini dengan kadar kejayaan yang pelbagai. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Jika sebelum ini kita melihat sepakan penalti panenka yang gagal, kali ini adalah senarai Panenka terbaik yang berjaya dilakukan di bawah tekanan yang tinggi dan juga dalam situasi yang getir.
#1 Antonin Panenka (Czechoslovakia vs Jerman), Euro 1976
Penalti Panenka terbaik akan sentiasa menjadi milik penciptanya: Antonin Panenka. Teknik ini dinamakan sempena nama beliau setelah beliau menghasilkan teknik itu buat kali pertama ketika mewakili Czechoslovakia menentang Jerman dalam perlawanan akhir Kejuaraan Eropah pada tahun 1976.
Beliau menewaskan penjaga gol Jerman Sepp Maier untuk menjaringkan penalti terakhir ketika mereka menang 5-3 dalam penentuan sepakan penalti, yang menyaksikan mereka merangkul kejuaraan tersebut. Penentuan itu adalah yang pertama melibatkan pasukan Jerman dan kekal menjadi satu-satunya penentuan yang menyaksikan mereka tewas.
Keyakinan yang tinggi dan keberanian untuk melakukan aksi sebegitu, tambahan pula dalam perlawanan akhir, sangat mengagumkan.
#2 Francesco Totti (Itali vs Belanda), separuh akhir Euro 2000
Francesco Totti menggunakan teknik Panenka untuk menewaskan Edwin Van Der Sar pada penentuan sepakan penalti dalam perlawanan separuh akhir Euro 2000, setelah Itali dan Belanda seri tanpa gol selepas tamat 120 minit masa permainan.
Pada hari yang malang bagi Belanda yang menyaksikan mereka gagal menyempurnakan dua sepakan penalti dalam masa permainan sebenar dan tiga dalam penentuan penalti, Totti menambah garam dalam luka mereka dengan melakukan Panenka yang menarik dan membawa Itali ke perlawanan akhir.
Totti melakukan Panenka beberapa kali sepanjang kariernya dan ada yang gagal, namun tidak pada situasi yang genting ini.
#3 Zinedine Zidane (Peeancis vs Itali), Perlawanan Akhir Piala Dunia 2006
Zinadine Zidane membuka jaringan untuk Perancis dengan salah satu Panenka terbaik dalam sejarah dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2006 antara pasukannya menentang Itali pada tahun 2006.
Pemain Perancis ini bermain dalam perlawanan profesional terkahirnya dan menjadi pengambil sepakan penalti pada minit ke-7 setelah Florent Malouda dikasari dalam kotak penalti. Beliau berjaya menyebabkan Buffon tersalah arah dengan satu chip ke tengah, yang mengenai bahagian bawah palang gol dan melantun melepasi garisan gol.
Beliau kemudian terlepas untuk terlibat dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri, disebabkan layangan kad merah terhadapnya pada separuh masa kedua, dimana menyaksikan Itali merangkul gelaran Piala Dunia selepas menang penentuan tersebut dengan keputusan 5-3.
#4 Sebastian Abreu (Uruguay vs Ghana), suku akhir Piala Dunia 2010
Sebastian Abreu ataupun 'El Loco' menjaringkan Panenka yang menarik menewaskan penjaga gol Richard Kingson untuk mengecewakan Ghana dan menyingkirkan mereka dari Piala Dunia 2010.
Walaupun ramai yang mengatakan 'Hand of the Devil' yang terkenal dilakukan oleh Luis Suarez yang membawa mereka ke masa tambahan, ketenangan El Loco ketika menghasilkan penaltinya adalah sesuatu yang patut diambil kira. Pasukan Uruguay memenangu penentuan sepakan penalti 4-2 dan layak ke perlawanan separuh akhir selepas perlawanan berkahir dengan keputusan 1-1.
Ia bukanlah kali pertama penyerang Uruguay itu melakukan panenka untuk negaranya, tetapi ia adalah kali pertama keputusan memihak kepada pasukannya selepas beliau melakukan teknik ini.
Usaha menariknya ketika menentang Brazil pada perlawanan separuh akhir Copa America 2007 berjaya menewaskan Julio Cesar, namun mereka tewas pada penentuan tersebut.
#5 Andrea Pirlo (Itali vs England), suku akhir Euro 2012
Penalti yang dilakukan oleh pemain tengah Itali Andrea Pirlo dalam perlawanan suku akhir Euro 2012 menentang England adalah salah satu daripada Panenka terbaik yang direkodkan dalam bola sepak moden.
Beliau perlu mengambil peluangnya selepas Montolivo terlepas penalti sebelum itu dan beliau tidak melakukan sebarang kesilapan. Beliau dengan yakin melakukan lob dan menewaskan Joe Hart, dan England nampaknya akan mengalami kekecewaan. Ianya terbukti apabila England gagal dalam dua lagi sepakan melalui Ashley Young dan Ashley Cole, menyebabkan mereka sekali lagi disingkirkan akibat penentuan sepakan penalti, dengan keputusan 4-2.
Jeneral pasukan Itali ini telah melakukan Panenka beberapa kali sebelum itu, namun aksinya ketika menentang England ini adalah yang terbaik sepanjang kariernya.
#6 Omar Abdulrahman (UAE vs Jepun), suku akhir Piala Asia 2015
Pemain Emiriah Arab Bersatu Omar Abdulrahman menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan antara pasukannya dan Jepun, yang menyaksikan mereka menewaskan Samurai Biru ketika aksi suku akhir Piala Asia 2015.
Selepas Keisuke Honda gagal sepakan penentuan pertama pasukan Jepun, pemain bertubuh kecil dan berambut 'afro' ini menjadi pemain pertama untuk mengambil sepakan penalti pasukannya. Beliau melakukan Panenka yang sempurna dalam laluan mereka menyingkirkan Jepun dengan keputusan 5-4, dan membawa UAE ke perlawanan separuh akhir.
#7 Alexis Sanchez (Chile vs Argentina), perlawanan akhir Copa America 2015
Panenka terbaru yang dihasilkan adalah daripada pemain Arsenal, Alexis Sanchez dengan sepakan penalti penentuan terakhir yang memberikan kemenangan kepada Chile ketika menentang Argentina dalam perlawanan akhir Copa America 2015.
Perlawanan dilanjutkan hingga ke penentuan sepakan penalti dengan keputusan seri kekal selepas berakhir 120 minit masa permainan sebenar. Selepas Messi menjaringkan penalti pertama Argentina, Higuain dan Banega pula gagal dalam tugasan mereka untuk menjadikan Chile mendahului kedudukan.
Kemudian pemain bintang Chile ini dengan tenang menyempurnakan sepakan penaltinya dan juga yang keempat buat Chile dengan aksi Panenka untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya, yang menyaksikan La Roja meraikan gelaran Copa America pertama mereka semenjak kali pertama ia dipertandingkan 99 tahun yang lalu.
Rujukan: m.sportskeeda.com