Oleh pada 13 Dec 2022 kategori

Sepakan penalti adalah antara situasi paling getir dilalui seorang pemain bola sepak, baik yang menendang ataupun penjaga gawang.

Hanya dengan satu sepakan, harapan dirasai satu negara boleh berkecai atau terus bernyawa. Satu sepakan penalti mampu melahirkan wira, juga mampu menjatuhkan mereka yang sudah berusaha.

Dalam sejarah bola sepak peringkat tertinggi baik dalam liga, Piala Eropah atau Piala Dunia, berulang kali nasib kelab atau negara bertanding terkorban akibat satu sepakan.

Berikut adalah lima insiden penalti melibatkan pemain berstatus legenda paling meninggalkan impak dalam sejarah sukan dunia.

1. David Trezeguet (Piala Dunia 2006)

david trezeguet penalti piala dunia 200

Selepas menjadi wira negara mengepalai tonggak serangan Perancis dalam Piala Dunia 1998 dan Piala Eropah 2000 sehingga Perancis bergelar juara berganda, David Trezeguet cukup gah reputasinya.

Masalah dalaman pasukan Perancis mengakibatkan negara itu gagal mempertahankan kejuaraan dalam Piala Dunia edisi 2002.

Walaupun tempatnya dalam kesebelasan utama telah diambil, Trezeguet tetap terpilih untuk menebus kehampaan dalam edisi 2006 di mana Perancis hanya tinggal selangkah, selepas mara ke perlawanan akhir bertemui Itali.

Trezeguet dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menambah bisa serangan, namun Perancis berdepan jalan sukar selepas perancang utama mereka Zinedine Zidane diarah keluar padang selepas menyerang pemain pertahanan Itali, Marco Materazzi dengan tandukan tepat di dada. 

Insiden pertembungan itu yang terus dikenang antara detik paling unik dalam sejarah Piala Dunia, disudahi dengan menyaksikan Perancis bertahan dengan 10 pemain, berjaya mengheret perlawanan ke sepakan penalti.

Malangnya nasib baik Perancis berakhir setakat itu. Trezeguet yang dilantik menjadi pemain kedua mengambil sepakan, merupakan satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan tanggungjawab.

Dia hanya mampu melihat dari tepi padang Itali bergelar juara dunia. Perancis hanya berpuas hati di tempat kedua.

2. Dennis Bergkamp (Piala FA England 1999)

dennis bergkamp penalti diselamatkan fa cup 1999

Terkenal dengan fobia enggan menaiki kapal terbang, penyerang legenda Belanda, Dennis Bergkamp sehingga kini mengakui dia masih terkenang detik sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Manchester United, Peter Schmeichel.

Dalam era di mana Arsenal dan Manchester United saling bergasak merebut kejuaraan, pertemuan kedua-dua kelab di peringkat separuh akhir Piala FA England menyaksikan Arsenal dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 90 perlawanan ketika keputusan terikat 1-1.

Bergkamp yang berdepan tekanan tinggi gagal menyempurnakan sepakan, membawa perlawanan ke masa tambahan.

Malang bagi Bergkamp dan Arsenal, walaupun bermain dengan kelebihan 1 orang selepas kapten Manchester United, Roy Keane dibuang padang - jaringan gol solo yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia oleh pemain sayap Wales, Ryan Giggs menyingkirkan Arsenal daripada perebutan piala.

Manchester United meneruskan momentum memenangi perlawanan akhir Piala FA, mengenepikan cabaran Arsenal sehingga bergelar juara liga dan juga mengecapi kemenangan paling ditagih kelab Eropah, bergelar juara Liga Juara-Juara Eropah dalam musim yang sama.

Ini adalah satu pencapaian unik yang jarang berlaku dalam sejarah sukan dunia. Semuanya berpunca daripada Dennis Bergkamp gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.

Selepas insiden itu, Bergkamp berhenti terus daripada mengambil sepakan penalti.

3. Marco Van Basten (Piala Eropah 1992)

marco van basten penalti tersasar euro 1992

Mungkin pemain Belanda memang ada badi egagalan sepakan penalti yang akhirnya mencipta juara?

Begitulah juga kisahnya dengan seorang lagi penyerang legenda Belanda, Marco Van Basten ketika berdepan pasukan Denmark dalam kejohanan Piala Eropah 1992.

Perlawanan separuh akhir antara Belanda dan Denmark berkesudahan 2-2 selepas masa tambahan, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Berada dipuncak prestasi serta bergelar pemain terbaik dunia tahun tersebut, kemampuan Van Basten langsung tidak diragui semasa dia dinamakan pemain kedua perlu mengambil sepakan.

Tidak diketahui apa yang bermain di minda Van Basten, sepakannya mudah dibaca Peter Schmeichel, ketika itu belum dikenali di serata dunia sebagai antara penjaga gol terbaik generasinya.

Van Basten terpaksa menelan rasa pahit menjadi satu-satunya pemain yang sepakannya gagal, mengakibatkan dia dan Belanda pulang awal.

Denmark meneruskan langkah bergaya ke peringkat akhir, mencipta sejarah sebagai juara Piala Eropah dengan membenam Jerman 2-0, dalam kejohanan di mana ramai yang memandang rendah kemampuan mereka sejak mula.

4. Andriy Schevchenko (Liga Juara-Juara Eropah 2005)

andriy schevchenko penalti diselamatkan 2005

Walaupun anda bukan peminat kelab Liverpool, sebagai seorang peminat sukan bola sepak anda harus akui kemenangan Liverpool ke atas kelab Itali, AC Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2005 adalah satu peristiwa yang sangat dramatik.

Ini kerana kemenangan itu hadir selepas tidak ada pihak percaya Liverpool dapat memenangi perlawanan tersebut; bolos seawal minit pertama dan AC Milan mudah mendahului Liverpool 3 gol tanpa balas selepas tamat separuh masa pertama.

Penyokong Liverpool sendiri ketika itu tidak mengharapkan keajaiban berlaku, sebaliknya hanya mahukan Liverpool kalah terhormat dan melawan. Apa yang berlaku seterusnya adalah sesuatu yang tak dijangka.

Liverpool memperkemaskan permainan, menjaringkan 3 gol bagi mengikat perlawanan ke masa tambahan. Dalam masa tambahan, penjaga gol Liverpool dari Poland, Jerzy Dudek menjadi wira selepas banyak menyelamatkan pintu gol kelabnya bolos dan sepakan penalti akhirnya perlu menjadi penentuan.

Dalam sepakan penalti, Liverpool meneruskan momentum mendahului 3-2 sebelum penyepak terakhir AC Milan, Andriy Schevchenko menggalas beban besar menyamakan kedudukan.

Tendangan Schevchenko yang dihalakan ke tengah berjaya memperdayakan Dudek.

Namun Dudek yang sudah melayang ke kanan sempat mengangkat tangan menampar bola tendangan Schevchenko, memberikan kemenangan yang cukup bermakna dalam sejarah bola sepak dunia.

Dalam temuramah beberapa tahun selepas perlawanan itu, Schevchenko mengakui dia dan rakan-rakan sepasukan fobia untuk melihat kembali rakaman perlawanan itu, kerana apa yang dia dan kelabnya lalui nyata susah untuk dilupakan.

Schevchenko juga mengaku dihantui mimpi ngeri dan mudah terjaga dari tidur malam, sehingga menjerit keseorangan.

5. Roberto Baggio (Piala Dunia 1994)

roberto baggio penalti piala dunia 1994

Bergelar ayam tambatan pasukan bukan satu beban mudah. Apatah lagi seandainya seorang pemain tahu nasib seluruh negara bergantung kepada bahunya.

Roberto Baggio penyerang pasukan kebangsaan Itali memulakan kempen Piala Dunia 1994 dengan bergaya, menjaringkan 5 gol yang membawa Itali ke pentas akhir bertemu Brazil.

Pertemuan dua jagoan dunia ketika itu, Baggio bagi Itali dan Romario dari Brazil merupakan antara pertembungan yang dinanti-nantikan peminat seluruh dunia.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dalam perlawanan, yang berkesudahan seri tanpa jaringan walaupun selepas masa tambahan sehingga memerlukan sepakan penalti menjadi penentuan.

Kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan sepakan pertama, sebelum Brazil mendahului 3-2. Ini meletakkan Baggio yang dinamakan sebagai penyepak terakhir, dalam keadaan sukar - wajib menyempurnakan sepakannya.

Jika tidak Brazil akan bergelar juara. Dia gagal menyempurnakan sepakan yang bukan saja meruntuhkan jiwanya bahkan menjadikan Baggio musuh nombor 1 negara.

Penyerang itu dikritik hebat sehingga terpaksa menyembunyikan diri ke sebuah kawasan terpencil di Argentina, dalam usaha melarikan diri daripada pihak media. Walaubagaimanapun, usahanya tetap tidak berhasil selepas kehadirannya di sana dihidu wartawan.

Di Itali pula, kegagalan sepakan Baggio terus diberikan publisiti sehinggakan kediamannya di Itali dikerumuni orang awam dan wartawan yang mahu mendapatkan penjelasan - "kenapa? Apa yang berlaku? Di mana silapnya?"

Bagi Baggio yang sepanjang hidupnya akan menanggung beban ini sendirian, dia mengakui terus dihantui detik sepakannya tersasar dalam kepalanya.

Lebih menyedihkan menurut Baggio, perkara yang paling sukar dia terima adalah mengalami sendiri bagaimana impian dirinya sejak kecil mahu memacu Itali di pentas Piala Dunia bertukar menjadi mimpi ngeri yang menjatuhkan reputasinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)