Oleh pada 07 Sep 2022 kategori

Dalam sukan bola sepak, sistem hukuman menggunakan kad kuning dan kad merah adalah penalti yang akan diberikan, biasanya kepada pemain yang melakukan kekasaran, melanggar peraturan atau melakukan tindakan bahaya ketika berada di atas padang.

Walau bagaimanapun sistem kad itu sebenarnya tidaklah hanya tertakluk dikenakan kepada pemain sahaja. Pengurus, pembantu pengurus, jurulatih, pegawai pasukan dan sesiapa saja ahli skuad termasuklah pemain simpanan yang ada di tepi padang semasa perlawanan - semuanya terpakai dalam peraturan sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah kefahaman anda tentang peraturan kad merah dan kuning apabila melibatkan individu di luar padang? Jom kita cuba huraikan beberapa persoalan yang mungkin timbul, apabila kita berbicara tentang isu ini.

Bolehkah pengurus/jurulatih di buang padang?

arsene wenger dibuang padang

Boleh namun ada kisahnya yang perlu diperjelaskan.

Sebelum pengenalan peraturan kad hukuman kepada pengurus, jurulatih atau pasukan teknikal yang bukan di atas padang - peraturan yang menyelia tindak-tanduk individu tidak terlibat dalam perlawanan agak longgar serta kurang kemas.

Menggunakan contoh Liga Perdana Inggeris, sudah banyak insiden buang padang melibatkan pengurus atau jurulatih berlaku dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini.

Bagaimanapun insiden buang padang sebegini berlaku atas penilaian pengadil, yang akan terus mengarahkan pengurus/jurulatih atau pegawai pasukan meninggalkan ruangan teknikal mereka tanpa sebarang kad dilayangkan. 

Hanya pada tahun 2018, persatuan penyelia liga England EFL memperkenalkan sistem hukuman berasaskan kad kuning dan merah untuk pengurus, yang digarap berdasarkan kepada kaedah sama seperti yang dikenakan kepada pemain.

Tindakan seperti menyepak botol air, bertepuk tangan kerana menyindir pengadil atau melakukan tindakan menghina pegawai pertandingan dianggap kesalahan kad kuning. Sementara kad merah akan dikeluarkan kepada pengurus yang melakukan kekasaran fizikal, meludah atau mengganggu permainan berlangsung.

Siapa pengurus pertama yang dilayangkan kad kuning dan merah?

pep guardiola dilayangkan kad

Pep Guardiola, bekas pemain Sepanyol serta pengurus kelab Barcelona dan Bayern Munich yang mempunyai rekod sangat gemilang sebagai pemain dan pengurus - mencatatkan rekod sebagai pengurus pertama di liga Inggeris dilayangkan kad kuning ketika mengemudi Manchester City.

Beliau menerima kad kuning itu selepas menghamburkan rasa kurang puas hati yang ditujukan kepada pembantu pengadil di tepi padang, akibat keputusan pengadil dipadang yang dilihat kurang adil. 

Pengurus terkenal Carlo Ancelotti ketika menjadi pengurus kelab Everton menjadi pengurus pertama dilayangkan kad merah, selepas membantah keputusan yang dibuat dengan bantuan sistem penilaian video. 

Dalam insiden itu, Everton baru saja melakukan jaringan yang disangkakan jaringan kemenangan, namun gol itu ditarik balik mengakibatkan Everton terpaksa berpuas hati sekadar seri dengan kelab kurang ternama Manchester United.

Selepas pengenalan peraturan baru ini di England, IFAB atau International Football Association Board - badan yang menyelia peraturan dan undang-undang sukan bola sepak antarabangsa memperkenalkan sistem kad kuning dan merah kepada pengurus, jurulatih dan juga pegawai pasukan pada tahun 2019 secara menyeluruh. 

Dengan pengenalan ini, hukuman gantung daripada menyertai perlawanan atau bersama-sama dengan pasukan pada hari perlawanan, mula menjadi standard hukuman yang diamalkan oleh semua pihak pengendali liga di seluruh dunia.

Pengurus atau jurulatih yang diarahkan keluar pertandingan semasa perlawanan berlangsung pula, perlulah mengasingkan diri mereka daripada skuad - hanya dibenarkan duduk di bangku penonton yang telah ditetapkan.

Siapa bertanggungjawab sekiranya pelaku kesalahan tidak dapat dikenalpasti?

pengadil melayangkan kad kepada pengurus

Dalam sesetengah insiden unik di mana kesalahan dilakukan di bahagian teknikal pasukan dan pelakunya tidak diketahui siapa, beban kesalahan itu akan ditanggung oleh pengurus/jurulatih atau individu yang memegang pangkat tertinggi yang ada di kawasan itu. 

Ini bermakna, sekiranya ada pegawai atau pemain simpanan secara senyap-senyap membaling telur kepada pengadil tanpa diketahui siapa pembalingnya - pengurus adalah individu yang akan dilayangkan kad merah bagi memastikan hukuman dapat dilaksanakan.

Oleh kerana semua beban kesalahan jatuh ke bahu pegawai tertinggi pasukan di padang; standard untuk hukuman pun mula diperkenalkan selepas sesi ujian yang berjaya dilaksanakan.

Hukuman kad kuning dan kad merah bagi pengurus adalah sama dengan pemain; satu kad kuning adalah amaran, dua kad kuning dia diperintahkan meninggalkan padang. Layangan kad merah bermakna dia perlu terus keluar.

Seseorang pengurus atau jurulatih yang dikenakan 4 kad kuning dalam satu musim akan dikenakan hukuman gantung 1 perlawanan, 8 kad kuning gantung 2 perlawanan. 16 kad kuning?

Dia perlu menghadiri panel penilaian yang dikendalikan badan pengendali liga bagi memperjelaskan kenapa tindak-tanduknya sedemikian rupa.

Rujukan

Can Managers Get Yellow and Red Cards? [RULES EXPLAINED]




Hakcipta iluminasi.com (2017)