nicol david 29

Di peringkat dunia, Sukan Olimpik dilihat sebagai temasya sukan antarabangsa yang sangat berprestij. Maka, sudah tentulah setiap atlet sukan di seluruh dunia meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke temasya sukan yang dianjurkan setiap 4 tahun sekali ini.

Ketika artikel ini ditulis, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas untuk sebarang sukan yang dipertandingkn di Sukan Olimpik. Pencapaian tertinggi atlet negara kita adalah pingat perak yang telah dimenangi oleh beberapa orang atlet. Untuk senarai penuh, boleh rujuk artikel Senarai Pingat Sukan Olimpik Yang Pernah Dimenangi Malaysia

Rata-rata daripada kita pastinya kenal akan Nicol Ann David, ratu skuasy negara kita yang sangat unggul di peringkat dunia sehingga sukar digugat satu ketika dahulu. Malah, beliau yang sudah dianugerahkan gelaran Datuk dan memegang kedudukan No 1 dunia dalam tempoh yang sangat panjang dilihat sebagai prospek pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Malangnya, prospek tersebut tidak pernah menjadi realiti memandangkan sepanjang pembabitannya dalam dunia skuasy, sukan ini tidak sekalipun dipertandingkan di Sukan Olimpik. Jika tidak kita sudah tentu dengan mudahnya mendapat pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik.

Persoalannya, mengapakah sukan skuasy tidak dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik? Adakah ianya tidak cukup popular?

Cara pemilihan sukan di Sukan Olimpik

jawatankuasa pemilihan olimpik

Bagi yang tidak tahu, jenis sukan yang dipertandingkan di setiap edisi Sukan Olimpik tidak sama. Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melakukan tinjauan berkala mengenai sukan yang mungkin perlu dikeluarkan dari atau dimasukkan sebagai acara pingat untuk penganjuran Sukan Olimpik edisi berikutnya.

Sebab-sebab penyingkiran sukan pula boleh berbeza daripada sebab penyalahgunaan dadah hingga rasuah hingga penurunan populariti dan jumlah penonton sukan tersebut. Apabila sesuatu sukan itu dibuang daripada senarai sukan yang dipertandingkan dalam temasya Olimpik berikutnya, sukan yang baru akan dimasukkan bagi menggantikan tempatnya 

Agar sesuatu sukan layak dipertimbangkan untuk Sukan Olimpik, sukan itu mestilah dipertandingkan secara meluas oleh lelaki di sekurang-kurangnya 75 buah negara dan di empat benua dan bagi wanita pula, sukan tersebut mestilah dimainkan secara meluas di tidak kurang dari 40 buah negara dan di tiga benua.

Namun, terdapat juga syarat pengecualian lain termasuk pengecualian semata-mata ''sukan minda'' dan sukan yang bergantung pada jentera mekanikal. Syarat ini menjadikan sukan catur dan lumba kenderaan tidak layak untuk dimasukkan dalam senarai sukan di Sukan Olimpik.

Cubaan membida sukan skuasy ke Sukan Olimpik

sukan skuasy mesir

Untuk memastikan Sukan Olimpik relevan untuk peminat sukan di seluruh dunia dan di semua generasi, IOC melakukan penilaian terhadap 26 sukan yang dipertandingkan di Olimpik London Pada Februari 2013, gusti dikeluarkan dari senarai acara untuk Sukan Tokyo 2020 sementara sukan golf dan ragbi 7 sebelah dimasukkan sebagai sukan baru.

Oleh kerana Sukan Olimpik Tokyo 2020 mempunyai peruntukan untuk 28 sukan dipertimbangkan, ada kekosongan untuk satu lagi sukan untuk dipertimbanngkan. Maka, Jawatankuasa Tokyo 2020 menyenaraikan sukan yang mempunyai tarikan kepada para belia, nilai tambah, daya tarikan untuk media dan masyarakat, kesetaraan jantina, kurang kerumitan, infrastruktur dan kos operasi rendahht sebagai beberapa kriteria pemilihan untuk memasukkan sesuatu sukan itu.

Darii lapan sukan, termasuk skuasy, yang sedang dipertimbangkan untuk tempat terakhir, sukan gusti akhirnya dimasukkan semula kerana memperoleh dua kali lebih banyak undi daripada bola keranjang, softball dan skuasy. Sukan gusti yang mempunyai sejarah panjang dalam Sukan Olimpik kuno dilihat sangat penting dalam mempengaruhi pengundi.

Dua percubaan skuasy sebelumnya untuk dipertimbangkan juga menemui nasib yang serupa. Cubaan memasukkan sukan ini dalam edisi London 2012 dilihat sebagai kegagalan besar memandangkan skuasy dianggap sebagai sukan orang Inggeris. Pada masa itu, ia tidak dapat memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk memenuhi syarat.

Sejak sekian lamanya, World Squash Federation (WSF) telah melakukan pelbagai usaha  untuk meningkatkan daya tarikan sukan ini di seluruh dunia dan mereka percaya sukan elit seperti skuasy perlu dimasukkan dalam Sukan Olimpik sebagai satu puncak kejayaan bagi membolehkan pemain-pemain elit skuasy bertanding.

Walau bagaimanapun, penganjuran sukan ini yang sangat terhad di Amerika Selatan adalah salah satu sebab utama untuk ianya tidak dipertimbangkan untuk Rio 2016.

Penganjuran skuasy di edisi Paris 2024?

sukan olimpik tokyo

Seperti mana yang kita tahu, skuasy sekali lagi tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2020. Selepas Tokyo 2020, edisi Olimpik seterusnya dijangka akan dianjurkan di Paris. Bagaimanakah dengan nasib skuasy berprestij ini?

Dengan status 2 orang juara skuasy dunia masa kini yang berasal dari Perancis - Camille Serme dan Gregory Gaultier sesetengah pihak menjangkan Perancis akan melobinya dan menggunakan pengaruhnya untuk skuasy dimasukkan dalam penganjuran Sukan Olimpik Paris 2024. Malangnya, ia tidak berlaku apabila pihak IOC sekali lagi telah menolak penyenaraian sukan ini untuk edisi 2024.

Pihak jawatan kuasa IOC mengatakan sukan skuasy tidak memenuhi undang-undang untuk "menjadikan Olimpik lebih kehadapan" dan dengan itu sukan break dance, sukan memanjat, papan selaju dan papan luncur diusulkan sebagai sukan tambahan untuk acara tersebut.

Ketidakpercayaan dan kekecewaan di sekitar tindakan IOC ini menyebabkan pemain legenda seperti Nick Matthews menyarankan agar skuasy mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap IOC.

Tindakan IOC menolak penyenaraian skuasy dianggap merugikan kerana ianya menghadkan penonton baru daripada diperkenalkan dengan sukan popular ini. Walaupun pintu masuk ke Paris 2024 hammpir tertutup, WSF dan badan-badan sukan skuasy di peringkat nasional seharusnya terus mempopularkan sukan ini dalam usaha mendapatkan kelayakan untuk Sukan Los Angeles 2028.

Kredit:

  1. The Sun
  2. BBC Sport
  3. PSA


Hakcipta iluminasi.com (2017)