Kredit foto: Instagram Toi

Bekas anggota Hyper Act, Toi akui tidak menyesal bergerak secara solo selepas meninggalkan kerjaya lamanya selaku ketua kumpulan tersebut. 

Beliau yang juga bekas pemain bass dan vokalis kedua kumpulan yang popular dengan lagu Hanya Aku itu, menafikan dakwaan kononnya merajuk selepas digelar gila kuasa dan suka mengawal hingga dua vokalis terdahulu disingkirkan.

"Saya tidak menyesal pun pilih langkah untuk bergerak solo sekarang, apatah lagi merajuk dengan Hyper Act kerana pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan.

"Apa yang saya lakukan kini adalah berusaha bina karier seni secara solo. Ia dibuat dengan rela hati dan atas pilihan sendiri.

"Malah, pembabitan bermain muzik dengan 'band projek' juga adalah salah satu sasaran untuk karier nyanyian solo saya," katanya.

Pemilik nama penuh Khairul Nizam Baharom ini bagaimanapun mengatakan dia sentiasa memantau perkembangan Hyper Act dari belakang tabir.

selepas tinggalkan hyper act ini pula kenyataan terkini toi 2 455

Kredit foto: Instagram Toi

"Penting untuk saya melakukannya bagi memastikan Hyper Act tidak terus dibelenggu masalah dalaman kumpulan.

"Saya juga sanggup lakukan apa saja demi Hyper Act termasuk menyertainya semula jika khidmat memang diperlukan" katanya.

Tidak sekadar itu, Toi akui berasa rindu untuk berkongsi pentas dengan kumpulan yang kini meledak dengan lagu Kasih itu.

"Perasaan rindu memang ada, apatah lagi saya yang bertanggungjawab menubuhkan Hyper Act.

"Jadi, memang tipulah kalau saya kata tidak rindukan Hyper Act langsung," katanya.

Hyper Act yang ditubuhkan pada 2009 meletup dengan lagu-lagu berhantu seperti Harapan, Hanya Aku, Takkan Pergi, Ku Tiba Lagi dan Bukan Untukku.

Kumpulan itu kini dianggotai vokalis, Firman Bansir, Sharizan Syarifudin atau Etan selaku pemain gitar ritma, Md Zakir Mohd Rahizan (Akir, keyboard), Ezanear Baba Ahmad (Ejam, dram) dan Ahmad Azri Aziz (Loco, keyboard).

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)