Kredit foto: Instagram Sheila Abdull , Facebook Sheila Abdull [1, 2]
Sheila Abdull, nama yang pernah hangat di persada muzik sekitar era 2000-an, kini bakal kembali sebagai peserta Gegar Vaganza 2024 (Musim 11).
Gegar Vaganza (GV) akan mula menghangatkan malam Ahad pada 24 November 2024, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104), Astro Go dan Sooka.
Biodata Sheila Abdull
Nama penuh: Norsheila binti Abdullah
Nama komersial: Sheila Abdull, Sheila Abdul
Umur: 36 tahun (2024)
Tarikh lahir: 13 Ogos 1988
Tempat lahir / Asal: Johor Bahru, Johor, Malaysia
Keluarga: Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik
Pekerjaan: Penyanyi
Instagram (IG): @sheilaabdull
Latar Belakang
1. Sheila merupakan antara anak didik kepada komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, yang bertanggungjawab melahirkan ramai bintang ternama tanah air dengan lagu-lagu ciptaannya, termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Siti Nordiana dan Fauziah Latiff.
2. Bakat Sheila mula disedari selepas dia merangkul gelaran juara bagi zon selatan dalam pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan pada tahun 2006, yang kemudian membuka jalan baginya menjadi artis rakaman di bawah label SRD Villa Records.
3. Memasuki dunia seni pada 2008, Sheila hadir dengan album sulungnya, Sheila Abdull, yang memuatkan lapan buah lagu di bawah naungan EMI Music Malaysia. Single pertama, Mungkinkah, berjaya menjadi satu-satunya lagu hit buat Sheila, susulan lagu-lagu berikutnya gagal mencipta impak yang sama. Akibatnya, dia mula dikenali sebagai penyanyi ‘One Hit Wonder’ kerana ramai peminat lebih mengenalinya menerusi lagu itu sahaja.
4. Selain Mungkinkah, album ini turut memuatkan lagu-lagu seperti Lepaskanlah, Cinta Itu Luar Biasa, Nafas Terhenti, Bahang Asmara, Selautan Asmara, Asmara Di Hati dan Cinta Putih Atau Kelabu. Sheila juga pernah melancarkan single tambahan bertajuk Pengkhianat Cinta dan Kata Hati.
5. Dengan kerjaya nyanyiannya yang kian pudar, Sheila akhirnya membuat keputusan untuk mencuba haluan baharu. Dia memilih untuk berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malindo Air.
6. Namun, perjalanan Sheila sebagai pramugari di Malindo Air juga berakhir apabila kontraknya tidak diperbaharui, seiring dengan krisis yang melanda dunia penerbangan akibat pandemik Covid-19. Dia merupakan salah seorang daripada ribuan kakitangan yang terkesan ketika itu. Mula berkhidmat pada 10 Oktober 2016, tarikh perkhidmatannya diakhiri pada hari yang sama empat tahun kemudian, 10 Oktober 2020. Selain tugasnya di udara, Sheila juga pernah mencuba bidang perhubungan awam secara separuh masa.
7. Dalam kehidupan peribadinya, Sheila berkahwin dengan Ammar Habir, bekas anggota kumpulan Drama Band pada 18 Disember 2016, selepas setahun bertunang pada 20 Disember 2015. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini kini bahagia bersama tiga anak, Chempaka Alaya, Dahlia Aluna dan Moussa El Kazeem.
Fakta Menarik
1. Langkah pertama Sheila dalam dunia nyanyian bermula dengan pertandingan mewakili sekolah dan negeri Johor.
2. Dia berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian tradisional peringkat negeri Johor. Selain itu, dia turut menyumbang bakatnya bersama Yayasan Warisan Johor selama lima tahun dan pernah membuat persembahan tahunan dalam Konsert Keroncong Diraja DYMM Sultan Johor.
3. Dia berpeluang menjadi penyanyi latar untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam konsert Gema Zafana di Istana Budaya bersama Yayasan Warisan Johor, yang mengukir satu lagi pencapaian yang sukar dilupakan dalam kariernya.
4. Tidak hanya beraksi di pentas, Sheila turut menyertai program Star Search di beberapa stesen TV dan radio.
5. Selama dua tahun, Sheila memeriahkan suasana dengan suaranya bersama Orkestra Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sambil kerap tampil di pelbagai majlis makan malam di hotel-hotel ternama sekitar Johor Bahru. Dia juga sering dijemput untuk menghiburkan acara korporat dan majlis VVIP.
6. Dia berpeluang menyanyi bersama Johor Jazz Band untuk majlis diraja dan acara awam, bahkan di bawah naungan Sultan Johor sendiri. Setiap hujung minggu, jazz yang dibawakannya pernah memenuhi ruang di Jazz Corner, Johor Bahru.
7. Dunia perfileman juga mengenali bakat Sheila apabila dia terlibat dalam lagu tema filem Red Kebaya, yang mana dia turut membuat kemunculan sebagai penyanyi kelab dalam salah satu babak.
8. Berdasarkan maklumat di akaun Facebook (FB) dipercayai miliknya, Sheila mencatat pencapaian akademiknya yang adalah Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia dan Diploma Pengurusan Acara dari Management & Science University.
Foto
Kredit foto: Instagram Sheila Abdull , Facebook Sheila Abdull [1, 2]
Video
Kredit video: Sheila Abdul - Mungkinkah
Sumber:
1. Kurang tawaran menyanyi, Sheila Abdull jadi pramugari
4. Sheila Abdull 'hilang kerja' pramugari