Oleh pada 06 Sep 2017 kategori

Kredit foto: sensasimalaysia.com & mynewshub.cc

Pelawak Johan Raja Lawak berang apabila filem televisyen sulung syarikatnya, #TerobekRaya menjadi mangsa gejala cetak rompak secara digital.

Filem yang menuntut bayaran untuk tontonan itu disebarkan ke laman Facebook dengan tayangan percuma oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Enggan berdiam diri, Johan mendedahkan rancangan untuk mengambil tindakan susulan.

Jika masih ada yang berdegil dan memuat naik filem ini di laman sosial, pihak kami dan Astro tidak teragak-agak untuk menghantar surat guaman dan membawa kes ini ke mahkamah. Bagi saya inilah cabaran sebagai anak seni, walau bagaimanapun saya tidak akan berputus asa untuk terus menghasilkan filem lain selepas ini.
Sumber: Mstar

Malah, isteri Johan yang juga merangkap penerbit eksekutif #TerobekRaya, Ozlynn Wati telah mengeluarkan amaran kepada pemilik akaun yang memuat naik filem televisyen itu di Facebook.

Jelas Ozlynn, dia hanya menyedari filem itu menjadi mangsa rompakan dan disebarkan di Facebook selepas dimaklumkan oleh pekerja produksi syarikatnya, JWH Production.

Sejujurnya, kami sangat terkilan dengan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem #TerobekRaya di Facebook. Bukan saya sahaja kecewa malah pelakon dan semua kru terlibat turut melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku. Kami juga telah menghantar mesej amaran selain meminta mereka menurunkan filem itu daripada Facebook mereka.
Sumber: Mstar

Dalam pada itu, Ozlynn memohon ketegasan daripada pihak berkuasa dalam membendung gejala cetak rompak di alam maya yang semakin berleluasa lewat ini.

Sebelum ini ada juga beberapa filem yang turut menjadi mangsa mereka yang tidak tahu menghargai karya dan usaha anak seni. Besar harapan kami agar pihak berkuasa mampu menangani dan membanteras permasalahan ini agar ia tidak berulang lagi. Bayangkan berapa banyak kerugian yang terpaksa kami tanggung jika kes cetak rompak secara digital ini terus berleluasa, sedangkan di sinilah tempat kami mencari rezeki.
Sumber: Mstar

Filem televisyen #TerobekRaya yang disiarkan di Astro First Eksklusif antara lain turut membariskan pelakon Beto Kusyairi, Zizan Nin, Sherry Al Hadad, Marsha Milan, Azhan Rani, Tauke Jambu, Kazar Saisi, Achey Bochey, Riz Amin dan Ani Mayuni.




Hakcipta iluminasi.com (2017)