selepas ingin bersara altimet terima tawaran label antarabangsa 1

Kredit foto: Instagram Altimet

Bintang hip hop, Altimet yang sebelum ini menyatakan hasratnya untuk berhenti daripada dunia nyanyian pada 27 November ini, baru-baru ini dikejutkan dengan tawaran untuk menyertai sebuah syarikat rakaman antarabangsa sebagai Pengurus Artis & Repertoire (A&R).

Altimet yang juga pelakon dalam pementasan Ola Bola The Musical di Panggung Sari, Istana Budaya, akui menyambut baik pelawaan itu.

Begitupun, pemilik nama sebenar Ahmad Abdul Rahman ini menegaskan ia masih dalam proses perbincangan dan belum mempunyai hitam putih.

Beliau menganggap pekerjaan itu bersesuaian kerana pengalaman dalam bidang muzik yang diperolehnya sepanjang pembabitan dua dekad ini.

selepas ingin bersara altimet terima tawaran label antarabangsa 2

Kredit foto: Instagram Altimet

"Saya perlu menilai perancangan masa depan label terbabit. Jika saya lihat ia memenuhi apa yang saya cari, mengapa saya harus menolaknya?

"Jiwa saya terhadap muzik masih tebal, jadi saya cuba manfaatkan pengalaman yang ada untuk membantu menaikkan industri muzik," katanya kepada portal BH Online.

Tidak sekadar itu, pelantun lagu Amboi ini juga bersedia menerima sebarang bentuk tawaran lakonan yang dirasakan sesuai dengan dirinya.

"Begitu juga dengan kerjaya lakonan, saya tidak akan menolak jika tawaran diberikan menarik. Saya ingin mencuba watak antagonis. Namun, keghairahan saya terhadap lakonan tidak sama seperti kecintaan terhadap muzik," katanya.

Dalam perkembangan lain, 'otai' hip hop itu bercadang untuk memperkenalkan sebuah lagi single berjudul 'Hutang' selepas melancarkan 'Mambang' pada 26 Februari lalu.

Mengulas lanjut, bekas ahli kumpulan Teh Tarik Crew ini merasakan 'Mambang' kurang mendapat perhatian daripada pihak stesen radio.

selepas ingin bersara altimet terima tawaran label antarabangsa 3

Kredit foto: Instagram Altimet

"Mungkin ada yang bertanya, mengapa jarak untuk mempromosikan Mambang dan Hutang begitu dekat? Berbanding single terdahulu, saya tidak begitu yakin Mambang mampu menarik perhatian stesen radio.

"Justeru, saya cuba perkenalkan Hutang dan insya-Allah, sebelum November beberapa lagu lagi akan menyusul. Saya juga akan muncul dengan dua album, masing-masing menemui peminat pada akhir bulan ini dan November nanti," katanya.

Sebelum 'tutup buku', Altimet juga bakal muncul dengan siri persembahan jelajah yang dibuat khusus untuk para peminat yang telah menyokong kariernya sejak menceburi bidang itu pada tahun 2000.

"Saya merancang persembahan berskala kecil dan eksklusif. Mungkin juga satu daripadanya akan berlangsung dalam skala besar. Saya berharap apa yang dirancang ini akan menjadi kenyataan nanti," katanya.


tags : , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)