Kredit foto: Instagram Altimet

Penyanyi rap, Altimet, mengumumkan tiada lagi penyertaannya dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas ini.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 40, mendedahkan perkhabaran itu menerusi laman Instagramnya, semalam.

"Alhamdulillah. Segala pujian kepada ALLAH SWT. Empat kali bertanding, #ajl32 #ajl30 #ajl28 #ajl26.

"Cukuplah itu, semalam saya labuhkan tirai penglibatan saya membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu," tulisnya.

Altimet merangkul kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi ciptaan Navigator di AJL32 yang berlangsung pada Ahad.

Menyingkap penyertaan terdahulu, beliau bertanding menerusi karya Kalau Berpacaran kolaborasi dengan Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan pada AJL 26, diikuti Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL 28) dan Not For Sale duet dengan Stacy (AJL 30).

Kejayaan terbaru yang diraih ini tidak mengubah perancangan awalnya untuk bersara.

altimet nekad bersara 2

Kredit foto: Instagram Altimet

"Masih tiada rappers yang bertanding dalam AJL sebanyak saya. Saya kata ini bukan kerana riak, tapi kerana ini tanda dari ALLAH kepada saya untuk mengundurkan diri, membuka jalan untuk yang lain.

"Saya doakan nanti ada seorang atau sekumpulan rappers yang akan pecahkan rekod saya ini," doanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua terutama ibunya, Jamalah Agil Alsagoff yang mendoakan kejayaan beliau dalam pertandingan tersebut.

"Terimalah kasih semua yang mengundi, dan semua yang menyanyi bersama.

"Terimalah kasih kawan-kawan yang menjayakan persembahan ini. Ini bukan usaha saya seorang. Jauh sekali.

"Terima kasih kepada ibu saya yang sentiasa mendoakan kejayaan semua anak-anaknya. Kami belajar bekerja keras dan mengejar mimpi kami daripada Mama. Peace," tulisnya lagi.

Altimet terlebih dahulu menyatakan niat untuk bersara sempena ulang tahun kelahiran yang ke-40 pada 27 November ini.

Begitupun, atas minat yang mendalam, beliau masih bekerja di belakang tabir sebagai penulis dan komposer lagu kepada penyanyi lain.

Tidak hanya itu, sebelum tarikh persaraan itu juga akan terbit dua album terakhirnya.

"P/s.. bulan tiga kita layan album baru ok?!" katanya bersama tanda pagar #amboiamboiamboi #amboi.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)