Oleh pada 07 Mar 2018 kategori

altimet tiada niat serang malique

Kredit foto: Instagram Altimet & tv14.my

Penyanyi Rap Altimet menafikan dakwaan dia cuba menyerang bekas anggota kumpulan Too Phat iaitu Malique menerusi lirik single terbaharunya berjudul Mambang.

Pemilik nama penuh Ahmad Abdul Rahman ini bagaimanapun menjelaskan senikata lagu itu merupakan kisah peribadinya.

“Tidak. Ia bukan berkenaan atau ditujukan kepada sesiapa dan perkara ini memang banyak yang bertanya dengan saya.

“Tahun lalu saya dapat idea menghasilkan lagu ini daripada seorang teman apabila dia kata perjalanan dunia seni saya sudah jauh berjalan.

“Lirik lagu itu sebenarnya mengenai diri saya yang dahulu dan saya ‘tembak’ (menyentuh) diri saya yang sekarang. Saya lawan dengan diri sendiri,” katanya kepada Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis kesyukuran bersama anak-anak Pusat Pengurusan Al-Firdaus sempena kejayaannya merangkul trofi Persembahan Terbaik pada acara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), 11 Februari lalu.

altimet tiada niat serang malique 2

Kredit foto: Instagram Altimet

Seramai 40 orang kanak-kanak diraikan Altimet dalam majlis yang berlangsung di sebuah restoran di Petaling Jaya pada malam Ahad.

Sementara itu, penyanyi berusia 40 tahun ini redha sekiranya ada pihak yang mendakwa dia berbohong.

Apatah lagi dia sudah menjelaskan tentang lirik Mambang secara terperinci menerusi akaun peribadi Twitternya.

“Mambang itu merujuk kepada diri saya yang lama dan pada tahap sekarang saya tak kisah jika masih ada yang tak percaya.

“Saya sendiri memang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku sebelum melancarkan Mambang.

“Tetapi Alhamdulillah di sebalik itu Mambang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat walaupun ia tidak banyak dimainkan di radio,” katanya.

Sehingga kini, video lirik single itu telahpun meraih lebih 635,000 tontonan dan berada di kedudukan kelapan carta trending laman Youtube Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Altimet bakal muncul dengan buah tangan album terbaharu berjudul Air pada hujung Mac ini, diikuti sebuah lagi album terakhir pada November sebelum mengambil tindakan bersara pada bulan sama.

“Kejayaan Amboi di AJL32 dan penerimaan memberangsangkan Mambang pada saat-saat saya mahu mengundurkan diri tidak membuatkan saya berbelah bahagi untuk menarik balik keputusan dibuat sebelum ini.

“Insya-Allah saya akan lancarkan dua buah album sebelum bersara selain merancang untuk mengadakan konsert jelajah,” katanya.

Selain itu, Altimet menegaskan kerjayanya di belakang tabir sebagai penggubah lagu serta kerja menggilap bakat-bakat baharu akan diteruskan.

“Saya cuma berhenti daripada menyanyi rap dan menghasilkan lagu rap untuk diri sendiri tetapi kerja-kerja belakang tabir tetap saya teruskan.

“Malah jika ada tawaran dalam bidang lakonan, teater atau apa-apa berkaitan saya tidak akan menolak cuma saya tidak menyanyi lagi.

“Alhamdulillah ada syarikat rakaman bertaraf antarabangsa menawarkan saya bekerja dengan mereka tetapi saya masih berfikir dengan tawaran itu,” katanya.


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)