sejarah kedatangan kemasukan bible di malaysia

Percayakah anda jika kami katakan usaha menterjemahkan kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu sebenarnya sudah pun bermula sejak abad ke 16 lagi?

Wujud gesaan daripada gerakan penyebaran Kristian untuk mempercepatkan usaha penyebaran agama Kristian ke kawasan-kawasan Asia Tenggara, berikutan kepentingannya pada aktiviti ekonomi era tersebut. Pengaruh orang Belanda yang berjaya menguasai kepulauan nusantara di mana Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan utama, memberi kesan besar pada usaha menterjemahkan kitab orang Kristian itu kepada bahasa tempatan.

Hasilnya, gerakan Kristian mengambil keputusan menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu, menjadikan Bible berbahasa Melayu versi pertama terjemahan di benua Asia.

Usaha awal pedagang dan kerani

bible bahasa melayu

Pada awalnya, usaha menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa Melayu dimulakan oleh dua orang pekerja syarikat India Timur Belanda atau VOC, seorang peniaga bernama Albert Cornelius Ruyl dan kerani bernama Jan Van Hasel. Prosesnya memakan masa lebih 40 tahun keseluruhannya, bermula pada tahun 1628.

Versi pertama kitab Bible diterjemahkan menggunakan sistem tulisan jawi, sebelum versi yang menggunakan huruf roman disiapkan dan terus diambil sebagai standard. Ini kerana tulisan jawi didapati sukar untuk menterjemahkan tulisan yang ada dalam Bible, berikutan jumlah huruf vokal yang terhad iaitu a,i dan u sahaja.

Selain itu usaha terjemahan juga berdepan kesukaran dalam pemilihan perkataan dan dialek yang mahu digunakan dalam ayat. Ini kerana bahasa Melayu yang digunakan ketika itu (dan sekarang) meminjam banyak istilah dan perkataan daripada bahasa lain sehingga menyukarkan penterjemah melakukan pemilihan terma yang sesuai.

al kitab berita baik bible versi bahasa melayu roman

Walaupun penterjemah dihantar untuk belajar bahasa Melayu di beberapa kawasan seperti Aceh dan Ambon, mereka hanya terhad kepada dialek pertuturan dan tidak mempelajari seni literatur bahasa Melayu, melalui karya-karya sedia ada pada waktu tersebut.

Selepas melalui pelbagai kajian dan perbincangan berdasarkan versi awal Ruyl dan Hasel, akhirnya usaha menterjemahkan versi akhir kitab Bible ke bahasa Melayu dimulakan secara rasminya oleh Dr. Melchior Leidekker pada tahun 1691 atas arahan Gereja Batavia sendiri, dengan dana tajaan penuh VOC bagi memastikan segala kecacatan yang ada dapat diperhalusi.

Dr. Leidekker tidak sempat menyiapkan sepenuhnya terjemahan beliau, meninggal dunia pada tahun 1701. Usaha beliau ketika itu sudah hampir 90 peratus siap disambung Reverend Peter van der Vorm.

Peranan Munshi Abdullah dalam menjaga kualiti penterjemahan

buku bible terjemahan bahasa

Usaha yang dimulakan sejak 1691 akhirnya tamat pada tahun 1733, dengan kitab Bible rasmi pertama berbahasa Melayu diterbitkan menggunakan tulisan roman di Belanda, dikenali sebagai versi Leidekker. Versi tulisan jawi dikeluarkan pada tahun 1758 dan kekal digunakan selama lebih dua abad sebagai versi standard, dengan penggunaannya hanya berjaya dihentikan pada tahun 1853 di Malaysia dan 1916 di Indonesia.

Versi tulisan jawi itu walaupun lama digunakan, masih tidak dapat lari daripada pelbagai jenis kesalahan khasnya penggunaan istilah pinjaman daripada bahasa Parsi dan Arab.

Kedatangan orang British ke Tanah Melayu memulakan gerakan baru memperbaiki versi Bible yang ada di sini. Seorang pendakwah Kristian bernama Robert Hutchings yang bertugas di Pulau Pinang memeriksa kembali Bible versi terjemahan Leidekker di bawah kendalian VOC. Beliau mendapati wujud 10,000 kesilapan pada terjemahannya.

sejarah bible malaysia

London Missionary Society (LMS) sebuah pertubuhan Kristian beroperasi di Britain dengan kerjasama British and Foreign Society (BFBS) mula mendapatkan pandangan daripada Abdullah bin Abdul Kadir, yang lebih terkenal dengan gelaran Munshi Abdullah seorang pakar bahasa Melayu zaman tersebut. Pendapat Munshi Abdullah sendiri menyebut, wujud terlalu banyak kesilapan dalam terjemahan versi VOC dengan penggunaan istilah yang tidak sesuai yang mengelirukan pembacaan.

Bagi membetulkan kesalahan-kesalahan yang ada, LMS menghantar seorang penterjemah bernama Claudius Thomsen bagi mempelajari bahasa Melayu dan  menjadi salah seorang anak murid Munshi Abdullah. Bagaimanapun, hubungan mereka agak dingin kerana Thomsen kurang mahu mendengar kata dan nasihat yang diberikan gurunya.

Walau demikian, Thomsen tetap berjaya menterjemahkan beberapa bahagian kitab Bible dengan nasihat Munshi Abdullah, sehinggalah dia pulang ke England pada 1832. Bagaimanapun usaha terjemahan yang dilakukan Thomsen dikritik tidak dapat difahami LMS dan BFBS. Istilah seperti 'Kerajaan Syurga' (Kingdom of Heaven), 'Mulut Allah' (Word of God) dan 'Anak Allah' (Son of God) dikritik tidak sesuai dengan bahasa Melayu serta mampu memberikan gambaran yang salah terhadap agama Kristian, di kalangan pembaca berbahasa Melayu.

Pemberhentian usaha terjemahan ke bahasa Melayu

bible bahasa melayu 9jo88

Berikutan tarikan dakwah di China yang dilihat lebih menarik, kebanyakan usaha penterjemahan mula memfokuskan pada terjemahan bagi menyesuaikan Bible dengan masyarakat negara tersebut. LMS sendiri dilihat kurang berminat untuk meneruskan usaha Claudius Thompsonmenterjemahkan Bible sehingga lengkap, berikutan kesukaran yang dihadapi.

Usaha itu dipikul kembali oleh seorang individu bernama Benjamin Keasberry yang terus mendapatkan tunjuk ajar Munshi Abdullah, dibantu serba sedikit oleh BFBS. Usaha ini menampakkan hasil dengan penerbitan Perjanjian Baru pada tahun 1852 menggunakan tulisan roman sebelum Perjanjian Baru versi Jawi diterbitkan pada tahun 1856. Bagaimanapun, kedua-dua versi ini tidak diedarkan di Semenanjung Malaysia, hanya diedar untuk masyarakat Borneo dan Sumatera sahaja.

Tahun 1852 dianggap sebagai tahun terakhir usaha penterjemahan Bible dilakukan dan segala usaha dihentikan buat sementara, dengan versi Keasberry digunakan selama lebih 30 tahun -  sebelum anggota gereja Anglican Singapura meminta semakan semula dilakukan berikutan masalah bahasa yang digunakan.

bible dalam bahasa melayu sejarah

Pihak gereja berpendapat laras bahasa yang digunakan oleh Keasberry sepatutnya mensasarkan golongan Eurasia, orang Cina dan juga orang Kling (India) yang ada di Singapura dan Malaysia. Untuk itu, seorang penterjemah bernama William Shellabear dilantik namun Shellabear pula mempunyai pandangan yang 100% berbeza dengan apa yang dimahukan kumpulan gereja.

Dia merasakan penambahbaikan kepada kualiti terjemahan patut mensasarkan pembacaan di kalangan orang Melayu sebagai keutamaan utama dengan kaum Baba keutamaan kedua. Shellabear juga mahu menjadikan tulisan Jawi sebagai asas terjemahan baru, bagi memudahkan orang Melayu mendalami isi kandungannya.

Terjemahan baru di bawah kendalian William Shellabear

william shellabear

Selepas mendapat persetujuan daripada Bible Society, Shellabear memulakan usaha terjemahan dengan bantuan beberapa orang individu lain. Tempoh mereka menterjemah agak panjang, mengambil masa 9 tahun sehingga akhirnya Shellabear diminta bekerja sepenuh masa atas arahan BFBS.

Shellabear yang ketika itu turut sama mengusahakan syarikat percetakannnya sendiri mula lebih serius dalam usahanya, mendapat bantuan Dato' Dalam salah seorang anak kepada Munshi Abdullah. Jika anda belum tahu lagi, William Shellabear adalah pengasas kepada syarikat percetakan Mission Press, yang kemudiannya dikenali sebagai Methodist Publishing House sebelum bertukar menjadi Malaya Publishing House atau MPH. Beliau juga adalah seorang penulis yang prolifik, gemar mengkaji sejarah dan budaya Melayu.

buku tulisan william shellabear

Buku lain tulisan William Shellabear

Pada tahun 1912, versi terjemahan Shellabear berjaya diterbitkan menitikberatkan istilah bahasa Melayu yang lebih sesuai di dalamnya. Perkataan berunsur Arab seperti 'fasik' dibuang digantikan dengan perkataan 'jahat'. Salah satu sumbangan paling besar Shellabear dalam terjemahannya adalah usaha beliau menjaga sensitiviti masyarakat Muslim. Shellabear tidak mahu menggunakan istilah 'Allah' dalam terjemahannya, menggantikannya dengan 'Tuhan' agar pembaca berbangsa Melayu beragama Islam tidak merasa tersinggung apabila membacanya.

Bagaimanapun, berbeza dengan versi Belanda yang menamakan Jesus sebagai 'Yesus' atau 'Jesus', Shellabear melakukan perubahan memilih untuk menggunakan nama 'Isa' dalam terjemahannya atas alasan komuniti Muslim akan merasa lebih senang dengan nama 'Isa'.

Berjaya menerbitkan versi terjemahannya sendiri, Shellabear masih belum berpuas hati dan merasakan langkah terbaik adalah dengan menyatukan kesemua versi terjemahan yang dilakukan sebelum ini menjadi Bible bahasa Melayu dalam satu versi sahaja. Cadangan yang dimulakan oleh Shellabear sendiri mula digerakkan pada tahun 1929.

Usaha tergendala selepas penubuhan negara baru

al kitab

Selepas kemerdekaan Indonesia dan Malaysia, serta tamatnya perang dunia ke 2 - usaha menterjemahkan Bible ke bahasa Melayu terpaksa dihentikan ekoran kewujudan penggunaan bahasa kebangsaan berbentuk baru, di kedua-dua buah negara tersebut.

Perubahan ini sekaligus menyebabkan semua versi terjemahan yang ada sebelum itu dianggap tidak lagi sesuai untuk digunakan oleh masyarakat Kristian. Selain itu, badan penyelia Bible juga memperkenalkan peraturan melarang penggunaan istilah 'Isa al-Masih' dalam Bible yang dikatakan menyeleweng ajaran sebenar Kristian, kerana berbunyi mirip Islam dan hanya menggunakan nama 'Jesus' atau 'Yesus.'

Usaha menterjemah kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu versi yang ada sekarang dimulakan kembali pada tahun 1969. Penerbitan versi pertama di bawah judul Perjanjian Baru berjaya dikeluarkan pada tahun 1974. Gabungan kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru di bawah judul 'Alkitab' dikeluarkan pada tahun 1987 mengakhiri usaha penterjemahan yang telah berlangsung selama lebih 4 abad lamanya.

Rujukan

The history of the translation of the bible into Bahasa Malaysia

Biografi Munshi Abdullah



Hakcipta iluminasi.com (2017)