sejarah kedatangan islam di tanah melayu

Pemikiran masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam, lebih bercirikan kepada pemahaman animisme yang meyakini setiap benda atau objek mempunyai jiwa masing-masing.

Atas sebab itulah sehingga sekarang, masih ada di antara kita percaya ada tempat yang berpenunggu sehingga kita diajar untuk 'minta izin daripada Datuk, cucu tumpang lalu' semasa kecil. Masyarakat Melayu zaman dahulu juga mengamalkan tradisi menyembah pantai dan memberi makan pada semangat yang wujud di lokasi-lokasi tertentu.

lelaki melayu kelantan zaman dulu sebelum islam 286

Tahukah anda asal-usul perkataan 'sembahyang' juga dikatakan berpunca daripada pemikiran berbentuk animisme ini?

Masyarakat Melayu zaman dahulu percaya 'hyang' atau semangat nenek moyang mereka perlu ditenangkan melalui upacara pemujaan, jadi mereka akan 'menyembah hyang', mempersembahkan makanan atau pemujaan supaya tenaga roh-roh tadi melindungi mereka, memberikan orang Melayu kehidupan dalam bentuk yang baik.

Menerima ajaran Hindu dan Buddha

gadis melayu dulu dulu berkemban

Atas sebab itulah ajaran yang dibawa agama Hindu atau Buddha menjadi pilihan masyarakat Melayu dahulu kala..

Selepas menerima kedatangan agama Hindu atau Buddha, upacara-upacara animisme tadi berubah menjadi semakin formal berikutan penyatuan agama dan kepercayaan lama dalam kehidupan seharian. Penyerapan itu mudah berlaku kerana kedua-dua agama dikatakan tidak bercanggah dengan budaya masyarakat Melayu zaman tersebut, memperkukuhkan kepercayaan lama tanpa perlu membuangnya.

Berikutan pengaruh pemerintah yakni raja-raja masa lalu, penyebaran kepercayaan Hindu dan Buddha mula merebak ke seluruh pelusuk masyarakat. Konsep Dewa-Dewa dan kewujudan Tuhan yang diperkenalkan dalam agama tersebut mula diajarkan kepada masyarakat Melayu, membentuk pemahaman spiritual orang Melayu bahawa adanya kuasa lain yang lebih besar pada mereka; selain daripada kepercayaan kepada 'hyang' dan semangat nenek moyang yang dipercayai.

Orang Melayu mula berevolusi dari segi spiritual, berbanding hanya melakukan upacara pemujaan menyembah 'hyang', masyarakat Melayu mula menerima adanya kuasa yang lebih besar seperti Dewa yang mempunyai kuasa sakti dan ghaib.

Di sinilah bermulanya pemahaman masyarakat Melayu terdahulu tentang 'konsep Tuhan.'

Kedatangan Islam kepada orang Melayu

orang melayu zaman dahulu

Walaupun ada pendapat mengatakan agama Islam sebenarnya sudah tiba ke kepulauan Nusantara lebih awal sekitar abad ke 9, pendapat paling popular menyebut Islam hadir ke alam Melayu sekitar abad ke 13 dan 14.

Dipercayai proses penghayatan Islam melibatkan masyarakat Melayu dilakukan dalam dua fasa; fasa pertama bermula sekitar abad 13 dan 14 dan fasa kedua pula berlaku pada abad ke 15 hinggalah abad ke 18.

Fasa pertama bermula dengan pengenalan konsep asas tentang pegangan tauhid yang terlebih dahulu memperkenalkan wujudnya Allah yang satu. Fasa kedua pula pula adalah fasa penggantian atau lebih senang dikatakan fasa pembetulan dalam memperjelaskan adat resam orang Melayu ketika itu yang masih kuat mempercayai elemen animisme seperti kewujudan penunggu; digantikan dengan kepercayaan wujudnya Allah swt.

Beberapa amalan yang telah diamalkan sekian lama diberikan perspektif berbeza dan ini membantu memudahkan masyarakat Melayu menerima 'agama baru' itu.

Pengenalan istilah mirip untuk terma 'sembahyang' dan 'jampi' diperkenalkan dengan istilah 'solat' serta 'ruqyah', membantu mempercepatkan pemahaman orang Melayu mengasimilasikan pemahaman mereka terhadap agama Islam.

Jampi atau mentera yang dibaca orang Melayu untuk bercucuk tanam yang memetik 'Datuk Petala Bumi' atau 'Jin Tanah' pula dididik untuk digantikan dengan lafaz 'Bismillahhirrahmanirrahim' yang lebih bersifat tauhid. Dari situ kita boleh memahami bagaimana ulama' terdahulu mendakwahkan orang Melayu - mereka tidak mengubah sepenuhnya amalan masyarakat Melayu tetapi sebaliknya menyamakan elemen lama kepada elemen Islam, untuk dimulakan tabiatnya.

Proses integrasi Islam ke dalam hidup masyarakat Melayu berlaku dengan cara yang organik kerana orang Melayu dapat melihat wujudnya persamaan di antara kepercayaan dan pegangan lama mereka, membolehkan Islam diterima dengan lembut dan semulajadi tanpa berlakunya penolakan bahkan pergolakan.

Perubahan paling penting yang berlaku dalam jiwa setiap orang Melayu yang menerima Islam ketika itu - adalah penerimaan terhadap konsep 'Abdullah' yang membawa makna 'Hamba Allah'; menjadikan setiap diri masyarakat Melayu mula meyakini wujudnya Dia Yang Maha Kuasa.

Orang Melayu mula sedar setiap antara kita sebenarnya hanyalah makhluk kecil yang mempunyai tanggungjawab mengabdikan diri pada Tuhannya.

Fasa ketiga pengukuhan Islam

orang minangkabau zaman dahulu

Walaupun Islam datang ke kepulauan Melayu dengan cara yang lunak serta teratur penyebarannya, ini juga memberi kesan pada kita; menyebabkan masyarakat kita sehingga kini masih ada lagi yang mengamalkan beberapa adat dan pantang larang yang berasal daripada kepercayaan masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam.

Kami sudah menulis tentang 5 pantang larang masyarakat Melayu yang berasal daripada agama Hindu. Sehingga ke hari ini kepercayaan kepada amalan itu masih mempunyai sisanya dalam minda masyarakat Melayu bukan?

Upacara melenggang perut dan bercukur kepala bayi misalnya masih lagi diamalkan, namun digantikan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran. Secara jelas, kepercayaan-kepercayaan yang kuno walaupun masih diamalkan sehingga ke hari ini sudah tidak lagi berlawanan dengan pegangan akidah umat Islam dan lebih penting kebiasaannya diamalkan atas dasar tujuan yang baik.

Apa yang menarik untuk dibincangkan - kedatangan Islam ke alam Melayu juga membawa bersama pegangan-pegangan intelektual moden Kristian dan falsafah Greek yang membawa kepada perubahan jiwa dan minda masyarakat masyarakat Melayu. Orang Melayu mula lebih terbuka dengan konsep falsafah dan sains, serta bentuk-bentuk pemikiran sarjana barat yang tidak menyimpang daripada Islam.

Selepas berakhirnya fasa kedua kedatangan Islam ke sini, apa yang difahami sebagai fasa ketiga mula berlaku secara semulajadi selepas itu apabila orang Melayu mula keluar daripada belenggu pemikiran tahyul, mempercayai dongeng dan mitos - membentuk jiwa berlandaskan Islam disokong minda intelektual hasil pemikiran pemikir Barat.

Proses ini layak dikatakan bermula pada abad ke 18 serta masih berterusan sehingga ke hari ini.

Mengapa orang Melayu mudah menerima Islam tanpa perlu didesak?

prof wan mohd nor wan daud

Kami tidak mahu mengulas panjang perihal ini, jadi kami tinggalkan anda dengan satu petikan karangan Professor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, pengasas kepada CASIS di UTM yang dulu pernah bersama-sama Tan Sri Dr. Syed Muhammad al Naquib bin Ali al-Attas, membangunkan ISTAC di UIA. Pada kami, persoalan ini telah dijawab oleh beliau dengan cantik sekali;

Saya ingin mengetengahkan sebab utama kenapa umat Islam di Alam Melayu teguh berpegang kepada ajaran Islam walaupun kedatangan Islam ke sini tidak berlaku dengan kekuatan tentera dan ekonomi, dan walaupun kemudiannya umat Islam ditakluk oleh golongan Kristian yang kuat dan pintar.

Sebabnya tidak lain kerana pandangan alam dan kerangka keilmuan Melayu berteraskan Islam telah berakar dalam akal sanubari Melayu. Proses pengislaman ini berjaya kerana kewibawaan tokoh-tokoh pembawa agama itu, dan keikhlasan para pemimpin dan pembesar memeluk agama baru itu.


Jadi, pada pendapat penulis, amatlah menyedihkan apabila melihat ada di kalangan generasi baru orang Melayu yang tidak lagi mempedulikan hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam yang sebenarnya sudah tidak boleh dipisahkan lagi.

Pada pandangan penulis, jiwa seseorang Melayu itu amat unik kerana kita mudah menerima orang lain walaupun tidak sebangsa kita. Kedatangan agama-agama seperti Hindu dan Buddha sehinggalah kedatangan Islam kepada alam Melayu, semuanya berlaku kerana kesanggupan orang Melayu untuk beradaptasi dengan sesuatu yang asing bagi mereka.

Nasihat kami, janganlah berubah. Orang Melayu harus terus mengamalkan sikap terbuka yang telah kita amalkan sekian lama.

Apa yang lebih penting, sama-samalah kita pelihara Islam yang sudah bertaut di dalam masyarakat kita kerana ini adalah peninggalan nenek moyang kita, yang telah diwariskan untuk kita meneruskannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)