Oleh pada 20 Jul 2018 kategori

Dalam zaman moden, pemain bola sepak boleh diibaratkan seperti tentera bagi negara disokong oleh peminat-peminat mereka dan ungkapan itu sangat sesuai diperkatakan dalam hubungan bola sepak dengan politik Croatia.

Bola sepak Croatia telah melalui pelbagai pengalaman naik turun dalam tiga dekad dengan pertalian rapat sukan tersebut dengan politik negara, yang sukar ditemui di negara-negara lain seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Franjo Tudjman, Presiden pertama Croatia menyifatkan bola sepak mencorakkan identiti negara mereka sama seperti perang yang pernah negara muda mereka lalui. Tudjman adalah individu yang bertanggungjawab memisahkan negara kecil itu daripada Yugoslavia dan seterusnya membaca Croatia mengharungi perang Yugoslavia semasa era 1990-an.

Bola sepak sebagai agenda politik penyatuan

insiden stadium 13 mei 1990

Ada pendapat mengatakan, perang sebenar Croatia menuntut kemerdekaan bermula pada 13 Mei 1990 apabila peminat bola sepak daripada Zagreb dan Belgrade bertembung dalam pergaduhan besar-besaran di Stadium Maksimir, Zagreb.

Dua minggu selepas insiden itu ketika pasukan kebangsaan Yugoslavia mahu menjalani perlawanan persiapan Piala Dunia dalam stadium yang sama, petanda dan semangat kemerdekaan untuk Croatia semakin dirasai apabila ramai secara terbuka mengejek lagu kebangsaan Yugoslavia semasa pemain beratur di padang.

Tudjman akhirnya berjaya naik menjadi presiden negara merdeka Croatia pada Disember 1990, terkenal sebagai presiden yang mengangkat bola sepak menjadi sebahagian identiti negara yang diterajuinya.

Bagaimanapun, kisahnya tidaklah seindah fantasi yang cuba dijual pada orang ramai.

Menurut pendapat pakar sejarah wilayah Balkan bernama Dario Brentin, Tudjman memilih bola sepak sebagai alat propaganda kerana keberkesanannya dalam menyatukan masyarakat dalam satu suara. Menggunakan bola sepak sebagai alat untuk mengekalkan kuasa, amat mudah untuk ahli politik menghalalkan nepotisme serta korupsi yang dibayangi elemen bola sepak sebagai alat penyatuan.

Tradisi bola sepak Croatia menjadi salah satu identiti terpenting era pemerintahan Tudjman, dengan dokongan kuat oleh individu-individu tertentu. Salah seorang individu bertuah itu adalah Zdravko Mamic. Mamic adalah nama yang cukup terkenal sebagai salah seorang tulang belakang paling penting bola sepak Croatia. Beliau juga terkenal mempunyai terlalu banyak skandal-skandal penyalah gunaan kuasa melibatkan dana peruntukan pembangunan bola sepak Croatia.

Zdravko Mamic mula menjadi orang penting bola sepak Croatia

zdvrako mamic

Ketika pemerintahan Tudjman, kelab Dinamo Zagreb diberikan bantuan sepenuhnya kerajaan Croatia dalam usaha memastikan kelab ternama Croatia itu mampu melahirkan pemain baru, bagi membentuk pasukan kebangsaan yang handal.

Dalam merealisasikan impiannya, Tudjman melantik Miroslav Blazevic sebagai presiden dan jurulatih pasukan itu. Blazevic membawa masuk rakan baiknya, Zdravko Mamic bagi membantu beliau merealisasikan impian Tudjman mahu melihat Croatia bersaing pada peringkat dunia dalam sukan bola sepak.

Diberikan dana kerajaan yang banyak, gandingan Blazevic dan Mamic berjaya membawa Croatia ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 1998, memperkenalkan Croatia pada mata dunia.

Bagaimanapun, penyelewengan yang dilakukan oleh Mamic yang diberikan kuasa untuk mengurus dana dengan kepercayaan penuh mula disalah gunakan. Selepas naik menjadi Presiden kepada kelab Dinamo Zagreb dan naib presiden kepada Persatuan Bola Sepak Croatia ekoran kejayaannya membantu pasukan kebangsaan Croatia, Mamic mula menunjukkan belangnya.

Mengunakan kedudukan dan pengaruh atas kepentingan peribadi

mamic dan modric tandatangani perjanjian

Menggunakan pengaruhnya terhadap ahli politik serta dikenali sebagai orang kepercayaan Tudjman ekoran kejayaannya menaikkan pasukan kebangsaan Croatia, Mamic mula mengikat pemain-pemain muda berpotensi Croatia supaya menandatangani kontrak dengannya. Dalam perjanjian yang dilakukan, Mamic meletakkan syarat yang beliau akan mendapat sebahagian daripada yuran perpindahan pemain, sehingga ada yang dikenakan syarat 50 peratus.

Sebagai pertukaran, Mamic berjanji akan memastikan semua pemain yang mengikat kontrak dengannya mendapat pendedahan serta kontrak bersama kelab-kelab terbaik di sekitar Eropah.  Pengaruhnya dilihat memuka peluang besar pada pemain muda bagi memenuhi potensi mereka dalam karier bola sepak.

Mamic juga mula menggunakan kedudukannya menyeleweng dana yang datang daripada yuran perpindahan pemain Dinamo Zagreb ke kelab lain, untuk tujuan peribadi tanpa diketahui pihak pengurusan kelab.

Ramai pemain menjadi mangsa dan antara nama-nama yang terkena dengan helah Mamic adalah Eduardo da Silva, bekas penyerang kelab Arsenal di England, Dejan Lovren yang kini mewakili kelab Liverpool serta Luka Modric - kapten pasukan kebangsaan Croatia sendiri.

Kejatuhan Mamic bermula dengan konfrontasi berani Andrej Kramaric

andrej kramaric bongkar taktik jahat mamic

Andrej Kramaric adalah pemain kelahiran Zagreb yang bermain dalam pasukan pelapis Dinamo Zagreb. Kejayaannya menjaringkan 452 gol untuk kelab itu membuatkan dia dikatakan antara pemain paling berpotensi kelab tersebut. Mengenali bakat tulen di depannya, Mamic mula memainkan peranan memancing Kramaric serta keluarganya untuk menandatangani kontrak, dengan janji habuan lumayan serta faedah-faedah lain.

Kramaric memilih untuk tidak menandatangani sebarang kontrak dengan Mamic menyebabkan nasib beliau selepas itu mula berubah. Dia mula lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan kemudiannya dipinjamkan kepada kelab bawahan. Apa yang lebih menyedihkan, Dinamo Zagreb menghalang kelab-kelab lain menawarkannya kontrak, kerana Mamic mahu memaksa Kramaric bersetuju dengan tawarannya.

Kramaric mula menyerang taktik Mamic secara terbuka melalui media, yang menyebabkan Dinamo Zagreb terpaksa melepaskan beliau bagi mengelakkan krisis berlanjutan. Atas pendedahan berani itu, Kramaric mula diboikot kelabnya sendiri serta terpaksa merantau ke luar negara bagi meneruskan karier.

Bagaimanapun, pendedahannya memulakan siasatan ke atas salah laku pengurusan kelab Dinamo Zagreb dan hasil siasatan mendapati terlalu banyak penyelewengan berlaku dalam peringkat kelab, yang dilindungi ahli-ahli politik berpengaruh.

Ketika skandal melibatkan Mamic, Modric dan Lovren mula dibicarakan di mahkamah, Kramaric dipanggil menjadi saksi penting dalam perbicaraan itu.

Luka Modric menjadi musuh masyarakat Croatia

perbicaraan luka modric

Zvdravko Mamic didakwa melakukan penyelewengan dalam urusan penjualan kedua-dua pemain iaitu Luka Modric ke Tottenham Hotspurs di England dan Dejan Lovren ke Lyon, Perancis. Walaupun demikian, pihak yang menerima tempias negatif sebenar dalam kes ini adalah kedua-dua pemain tersebut kerana didakwa cuba melindungi Mamic.

Kisahnya, dalam kontrak awal yang ditandatangani kedua-dua pemain bersama Mamic, kedua-dua pemain mengesahkan tidak ada klausa yang mewajibkan mereka menyerahkan separuh daripada yuran perpindahan yang akan diterima kepada Mamic.

Bagaimanapun, selepas perpindahan selesai dengan jumlah yuran yang tinggi dipersetujui, kedua-dua pemain didapati dibayar 50 peratus daripada jumlah yuran perpindahan mereka - sesuatu prosedur yang tidak sepatutnya berlaku. Apa yang lebih menghairankan, kedua-dua pemain kemudiannya didapati memindahkan amaun yang telah diterima kepada akaun milik Mamic.

sisi gelap bola sepak croatia luka modric

Atas tindakan itu, Modric dan Lovren didakwa oleh peminat bola sepak Croatia cuba bersekongkol membantu Mamic menyeleweng dana yang sepatutnya menjadi milik kelab Dinamo Zagreb.

Keputusan mahkamah melibatkan kes Zvdravko Mamic diumumkan pada 6 Jun 2018, semasa pasukan Croatia sedang mengharungi Piala Dunia 2018 di Russia. Ketiga-tiga yang disiasat tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah dan hanya menghantar peguam masing-masing. Zdravko Mamic dijatuhkan hukuman penjara 78 bulan namun sempat melarikan diri ke Bosnia Herzegovina.

Dalam satu sidang media yang diadakan dari Bosnia Herzegovina, tidak lama selepas hukuman diumumkan, Mamic dengan angkuh menyatakan dia tidak mungkin akan kembali ke Croatia semula bagi menjalani hukuman dan menyifatkan apa yang berlaku adalah konspirasi bagi menjatuhkan beliau.

Tidak ada banyak pilihan bagi pihak berkuasa Croatia mengambil tindakan lanjut kerana Mamic mempunyai taraf kewarganegaraan Bosnia Herzegovina, yang menghalang penahanan secara ekstradisi dilakukan.

Nasib Luka Modric dan Dejan Lovren

luka modric dan dejan livren

Bagi dua bintang bola sepak yang didakwa, nasib mereka masih belum diketahui ekoran mahkamah belum berjaya menemui bukti kukuh mereka terlibat dalam membantu penyelewengan Mamic.

Bagaimanapun, hukuman ke atas Mamic menunjukkan besar kemungkinan Modric serta Lovren akan dikenakan hukuman ke atas kesalahan bekerjasama dalam urusan perpindahan mereka.

Dejan Lovren disiasat atas dakwaan memberi keterangan palsu di mahkamah semasa perbicaraan dijalankan. Bagi Luka Modric, kapten pasukan bola sepak kebangsaan Croatia yang baru saja dinobatkan pemain terbaik temasya Piala Dunia 2018, sekiranya pendakwaraya berjaya membuktikan dakwaan dia berkomplot dengan Mamic, Modric bakal berdepan hukuman minima enam bulan sehingga lima tahun di penjara.

Peranan Zvdravko Mamic yang kini hidup sebagai pelarian amat besar dalam sejarah bola sepak Croatia dan juga politik Croatia sendiri.

Dia bukan hanya sekadar individu yang membawa Luka Modric menjadi pemain terbaik bola sepak dunia. Dialah juga individu yang didakwa menyalurkan dana penyelewengannya membantu kempen politik pilihanraya Presiden Croatia, Kolinda Grabar-Kitarovic dalam memenangi pilihanraya lalu. Oleh sebab itulah nama Modric mungkin gah di seluruh dunia, tetapi di Croatia sangat berbeza sekali reputasinya.

Masyarakat Croatia merasakan Modric sengaja membenarkan dirinya dipergunakan individu-individu yang mahu terus kekal memegang tampuk kuasa, berbeza dengan Andrej Kramaric yang memilih jalan susah berusaha menjadi pemain bola sepak ternama dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)