Artikel ini adalah sambungan daripada 'Sejarah Perpecahan Yugoslavia Kepada Bosnia and Herzegovina, Slovenia, Croatia, Serbia, Montenegro dan Macedonia'. Artikel Bahagian 1 itu membincangkan tentang pembentukan Yugoslavia, bagaimana konflik perpecahan tercetus, dan kemerdekaan beberapa buah republik seperti Croatia, Slovenia dan Macedonia.

Sejarah Tercetusnya Peperangan Berdarah di Bosnia and Herzegovina

BESARKAN TEKS     A-  A+

sejarah perang bosnia

Bosnia and Herzegovina mempunyai kepelbagaian etnik yang paling banyak berbanding lain-lain republik, terdiri daripada 3 etnik utama. Etnik paling besar antara semuanya adalah Bosniaks, yang selalunya dirujuk sebagai 'Bosnian Muslims', diikuti oleh majoriti etnik Serbs dan minoriti Croats. Pemimpin parti Bosnian Serbs (pemberontak etnik Serbs di Bosnia) mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan Bosnia untuk tidak meneruskan kemerdekaan.

Namun, pada Februari 1992, Bosnia and Herzegovina telah turut mengadakan sebuah referendum kemerdekaan. Kebanyakan Bosniaks dan Croats (etnik Croatia, sama ada tinggal di Croatia atau Bosnia) mengundi untuk keluar daripada Yugoslavia, manakala sebahagian besar Serbs telah memboikot undian referendum tersebut.

Keesokan harinya, seorang etnik Serbs di Bosnia telah mati dibunuh oleh seorang Bosniaks, dan Serbs bertindak balas dengan mengadakan sekatan jalan di ibu negaranya, Sarajevo. Sebahagian besar bandar tersebut telah ditawan oleh Bosnian Serbs.

sejarah perang bosnia and herzegovina 1990an 703

Mereka memaksa kerajaan Bosnia untuk berhenti meminta pengiktirafan antarabangsa demi mencapai kemerdekaan. Serbs di Bosnia telah mengisytiharkan kemerdekaan republik mereka sendiri, iaitu 'Republika Srpska'. Kesemua Serbs di dalam tentera Yugoslavia telah dipindahkan untuk bersama tentera Bosnian Serbs.

Pada 27 April 1992, Socialist Federal Republic of Yugoslavia secara rasmi berakhir apabila sebuah perlembagaan baharu telah diterima pakai bersama dengan pengisytiharan Federal Republic of Yugoslavia, terdiri daripada 2 daripada 6 republik asal, iaitu Serbia dan Montenegro.

United Nations (UN) telah menolak permintaan mereka untuk secara automatik meneruskan keahlian sebagai Yugoslavia.

Bosnian Serbs dan Bosnian Croats Mempunyai Impian Masing-Masing

tentera bosnian serbs

Bosnian Serbs (etnik Serbia yang tinggal di Bosnia) mula menawan wilayah-wilayah Bosnia yang didominasi oleh etnik mereka, serta kebanyakan bandar Muslim yang berhampiran dengan sempadan Serbia. Selain itu, mereka turut melancarkan serangan mortar secara gerila ke atas Sarajevo.

Ibu negara Bosnia itu dikepung oleh tentera Bosnia Serbs selama hampir 4 tahun. Ketika permulaan Perang Bosnia, Bosniaks dan Croats merupakan sekutu antara satu sama lain, kerana mereka mempunyai musuh yang sama.

Namun, Bosnian Croats juga mempunyai idea yang sama seperti Bosnian Serbs, yakni untuk menawan wilayah Bosnia yang didominasi secara majoriti oleh etnik Croats, dan kemudiannya bersatu menyertai Croatia.

Seperti pemberontak Bosnian Serbs, pemberontak Bosnian Croats bukan sahaja menguasai bandar-bandar majoriti Croats, mereka turut mengambil alih kawasan-kawasan lain.

United Nations Mengatur Pelan Vance-Owen Sebagai Jalan Perdamaian

philippe morillon wakil un di srebrenica

Bosnian Croats mengisytiharkan wilayah di bawah penguasaan mereka sebagai The Croatian Republic of Herzeg-Bosnia, sebuah negara asing daripada Bosnia and Herzegovina.

Pada Mei 1993, seorang komander daripada UN telah dihantar ke bandar Srebrenica, kawasan yang menjadi tempat perlindungan bagi Bosniaks yang melarikan diri daripada rumah mereka.

Kehadiran beliau adalah sangat dialu-alukan, namun apabila tiba masa untuk beliau pulang, orang ramai enggan melepaskan beliau. Mereka mahu beliau memberikan jaminan akan keselamatan mereka, serta merayu pertolongan daripada Barat.

Pada waktu itu, tentera Bosnian Serbs sudah mengepung bandar berkenaan. Komander tersebut telah mengambil tindakan bertentangan dengan polisi UN, dengan mengumumkan bandar tersebut adalah di bawah perlindungan UN.

perang di srebrenica

tentera un di bosnia 433

Kemudiannya, secara sebulat suara sebuah resolusi UN telah diterima pakai, dan mengisytiharkan Srebrenica dan lain-lain kawasan yang didominasi oleh Bosnian Muslim sebagai 'kawasan selamat'.

Komuniti antarabangsa mula menyusun sebuah pelan, iaitu Pelan Vance-Owen, yang mengasingkan negara tersebut kepada 10 wilayah etnik, terdiri daripada 3 Bosniaks, 3 Serbs, 3 Croats dan sebuah wilayah neutral, Sarajevo.

Presiden Bosnia, presiden Croatia dan pemimpin Bosnian Croats, kesemuanya bersetuju akan pelan tersebut. Presiden Serbia menggesa Bosnian Serbs untuk menyetujui pelan berkenaan. Namun melalui penaklukan ketenteraan, mereka sudah berjaya mengambil alih hampir 70 peratus tanah Bosnia and Herzegovina.

Menerima Pelan Vance-Owen bermaksud mereka terpaksa melepaskan 25 peratus daripada wilayah yang telah berjaya dikuasai. Jadi, mereka menolak pelan tersebut, dan usaha sama komuniti antarabangsa gagal.

pertemuan presiden dalam pelan vance owen 595

Tidak lama kemudian, Bosniaks dan Croats telah menandatangani sebuah perjanjian damai di Washington, kerana gesaan Amerika Syarikat terhadap Croatia untuk berhenti memerangi Bosniaks, atau mereka akan dikenakan sekatan ekonomi.

Croatia bersetuju kerana mereka memerlukan bantuan daripada Barat untuk mengambil semula tanah mereka yang dikuasai oleh tentera Croatian Serbs.

Penglibatan NATO Dalam Perang Bosnia

nato menghantar bantuan ketenteraan ke bosnia

Pada Februari 1994, sebuah serangan mortar terhadap pasar di Sarajevo telah mengakibatkan kematian sebanyak 68 orang awam. Sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut, North Atlantic Treaty Organization (NATO) mengeluarkan sebuah ultimatum (arahan akhir) kepada Bosnian Serbs untuk beredar daripada pergunungan Sarajevo dalam masa 10 hari.

Pemberontak Bosnian Serbs menolak ultimatum tersebut. Bosnian Serbs mahu mempamerkan kekuasaan ketenteraan mereka kepada Bosniaks, dan menunjukkan bahawa mereka tidak akan dibuli oleh Barat.

Mereka melancarkan sebuah lagi serangan terhadap sebuah hospital di bandar Gorazde, sebuah kawasan selamat UN. NATO bertindak balas dengan serangan udara terhadap pusat operasi Bosnian Serbs, dan mereka menyerang balas dengan mengepung dan mengambil tebusan seramai 150 orang kakitangan UN.

pembunuhan beramai ramai di srebrenica

Sebuah lagi kawasan selamat UN, Srebrenica yang berada di bawah perlindungan ketenteraan UN, telah melalui sebuah detik sejarah yang sangat menyedihkan, yang dikenali sebagai Srebrenica Massacre, di mana ribuan orang awam dibunuh tanpa sebarang perasaan belas kasihan.

Dengan kekejaman yang semakin memuncak di Bosnia, berlaku sebuah lagi serangan mortar di Sarajevo yang membunuh seramai 37 orang awam. Akhirnya, NATO mula melancarkan kempen pengemboman berskala besar terhadap Bosnian Serbs.

Kekejaman Bosnian Serbs Semakin Berterusan

Presiden Milosevic daripada Serbia menuntut agar Bosnian Serbs membenarkan beliau untuk berunding sebuah perjanjian damai untuk pihak mereka, di samping memutuskan hubungan dan sokongan daripada Belgrade (Serbia).

Sementara itu di Croatia, kerajaannya sudah beberapa tahun melakukan persediaan untuk mengambil semula tanah mereka daripada Croatian Serbs.

Pada Mei dan Ogos 1995, Croatia telah melancarkan 2 buah serangan ketenteraan berskala besar terhadap wilayah Croatia yang dikuasai oleh pemberontak Croatian Serbs. Sehingga saat itu, tentera Croatia sudah mempunyai kekuatan ketenteraan untuk menewaskan pemberontak.

Sebahagian besar Croatian Serbs melarikan diri ke Serbia, termasuklah komuniti yang telah hidup di Croatia berabad lamanya. Banyak perkampungan Serbs telah dibakar hangus, bagi memastikan agar mereka tidak pulang semula.

Dengan Bosnians Serbs semakin lemah, Croats dan Bosniaks bekerjasama semula di Bosnia untuk menguasai sebanyak kawasan yang boleh. Bosnian Serbs melarikan diri ke Serbia dan Montenegro. Amerika Syarikat mengarahkan mereka untuk berhenti, kerana mereka mahu sebuah perjanjian damai ditandatangani.

Rundingan damai telah dibincangkan di Dayton, Ohio, AS. Pelannya adalah untuk mengekalkan Bosnia and Herzegovina sebagai sebuah negara, yang terbahagi kepada 2 entiti perundangan yang berbeza, iaitu The Bosniak-Croat Federation dan Republika Srpska.

Selepas 17 hari berunding dan beberapa kali pemetaan sempadan dilakukan, perjanjian damai akhirnya berjaya ditandatangani antara semua pihak.

Perjanjian damai tersebut yang bertujuan untuk menghentikan kesemua peperangan di Yugoslavia, namun gagal mencapai matlamatnya apabila kekejaman semakin berterusan.

republika srpska di bosnia

perang bosnia tamat pada 1995

Sebenarnya secara rasminya Bosnia and Herzegovina sudah mencapai kemerdekaan pada 1 Mac 1992 melalui sebuah referendum kemerdekaan. Walaupun sudah beberapa tahun merdeka, Bosnia and Herzegovina masih berada dalam kancah perperangan, terutamanya disebabkan keenganan Bosnian Serbs dan negara Serbia untuk menerima kenyataan bahawa Bosnia bukan lagi sebahagian daripada Yugoslavia. Perang Bosnia akhirnya tamat pada 14 Disember 1995.

Konflik di Kosovo Yang Turut Mahukan Kemerdekaan

Di penghujung tahun 1990an, sebuah peperangan telah meletus antara etnik majoriti Albania di Kosovo (kawasan autonomi di Serbia), dengan Serbia, kerana mereka ingin mendapatkan kemerdekaan.

Dengan sokongan NATO, Kosovo Liberation Army berjaya menawan Kosovo. Perang tersebut berakhir pada tahun 1999. Pada tahun 2008, The Republic of Kosovo mengisytiharkan negaranya sebagai sebuah negara bebas, namun situasi tersebut masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

Pada tahun 2000, selepas penggulingan Slobodan Milosevic, Serbia and Montenegro menghentikan niat mereka untuk terus menjadi satu-satunya pengganti Yugoslavia, dan mereka menyertai UN sebagai ahli baru.

Pada tahun 2003, mereka menukarkan nama rasmi kepada The State Union of Serbia and Montenegro. Tindakan tersebut hanya bertahan selama 3 tahun, sebelum Montenegro berjaya mengadakan referendum kemerdekaan pada tahun 2006.

Kesimpulan dari kisah ini

perpecahan yugoslavia dan perang bosnia

Yugoslavia dahulunya adalah sebuah negara yang dibina atas nilai perpaduan dan persaudaraan, namun akhirnya runtuh disebabkan konflik dalaman dan perang saudara.

Negara tersebut mungkin sudah tidak wujud lagi, namun legasinya terus hidup. Malangnya, kenangan yang paling diingati tentang Yugoslavia sudah pasti sejarah perit yang sangat menyedihkan.

Kesemua republik yang pernah menjadi sebahagian daripada Yugoslavia kini aman damai serta menjadi negara-negara yang makmur. Bosnia and Herzegovina adalah negara yang paling terkesan akibat perpecahan Yugoslavia.

Perang Bosnia telah membunuh ramai orang Islam negara itu, dan tindakan kejam etnik Serbs dan negara Serbia seharusnya dikutuk sekeras-kerasnya, dan mereka yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan. Semoga Bosnia tabah menghadapi segala dugaan yang mereka terpaksa lalui.

Situasi di Kosovo masih belum selesai sehingga ke hari ini, dan peperangan pada masa akan datang di kawasan Balkan adalah suatu kemungkinan. Marilah kita mendoakan agar ianya tidak lagi berlaku, dan situasi tersebut dapat diselesaikan secara aman.

ESKTRA - Gambar-Gambar Perang Bosnia

operasi grapple di bosnia

tentera british un di sarajevo

tentera unhcr di bosnia

pelarian di tuzla bosnia

Sumber:




Hakcipta iluminasi.com (2017)