Pada 1hb Januari setiap tahun, kebanyakan negara di seluruh dunia meraikan permulaan tahun baru. Akan tetapi, sambutan tahun baru ini bukanlah sesuatu yang baru. Perayaan dan sambutan yang menandakan permulaan kalendar telah wujud selama ribuan tahun.

Sambutan tahun baru pada zaman purba selalunya dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting. Mesir Purba misalnya, Tahun Baru bermula apabila air mula membanjiri sungai Nil dan secara kebetulan sama dengan kemunculan bintang Sirius.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi kaum Phoenicia dan Parsi pula, Tahun Baru bermakna bermulanya musim bunga. Sementara itu, orang Yunani pula meraikan Tahun Baru sempena tibanya musim dingin.

Bagi Tahun Baru Cina, ia disambut pada bulan baru kedua setelah solstis musim dingin. Berikut adalah beberapa lagi tahun baru yang disambut pada zaman purba.

Perayaan Akitu di Babylon

perayaan akitu

Perayaan Tahun Baru terawal yang direkodkan ialah kira-kira 4,000 tahun yang lalu ketika zaman Babylon Kuno. Ia sangat berkait rapat dengan agama dan mitologi.

Bagi tamadun Mesopotamia purba, bulan baru yang pertama adalah mengikut kepada ekuinoks musim bunga sekitar akhir bulan Mac di mana jumlah siang dan malam adalah sama panjang.

Mereka percaya pada Tahun Baru inilah berlakunya kelahiran semula Dunia nyata. Mereka menandakan peristiwa itu dengan sambutan keagamaan yang dipanggil Akitu (barli dalam bahasa Sumeria), melibatkan ritual berbeza setiap 11 hari.

tiamat dan marduk

Tiamat dan Marduk

Patung-patung berhala akan diarak di seluruh kota dan undang-undang digubal semula bagi melambangkan kemenangan mereka terhadap kuasa kejahatan. Melalui upacara ini, kaum Babylonia percaya bahawa dunia telah dibersihkan dan diciptakan semula oleh para dewa untuk tahun baru.

Selain itu, sambutan Tahun Baru ini juga bagi merayakan kemenangan yang diperolehi tuhan langit Marduk ke atas dewi laut Tiamat yang jahat. Ia juga penting dari sudut politik kerana pada perayaan inilah seseorang raja baru itu ditabal atau diperbaharui mandatnya.

Tradisi aneh mereka ini menyaksikan raja Babylon akan dimalukan dengan dilucutkan pakaiannya, ditampar dan ditarik telinga menghadap patung Marduk. Ia dilakukan bagi membuatkan raja menangis, kerana air mata raja yang jatuh menandakan Marduk berpuas hati dengan pemerintahannya.

Perayaan Janus Rom purba

janus

Janus

Perayaan Tahun Baru Rom juga pada asalnya mengikut kepada ekuinoks musim bunga. Kalender awal Rom yang dibuat oleh pengasas Rom iaitu Romulus pada abad ke-8 SM terdiri daripada 10 bulan bersamaan 304 hari.

Walau bagaimanapun, selama beberapa abad kemudian kalendar itu didapati tidak selari dengan matahari. Pada tahun 46 SM, Maharaja Julius Ceasar memutuskan untuk menyelesaikan masalah ini dengan berunding bersama ahli astronomi dan matematik terhebat pada zamannya.

Dia kemudian memperkenalkan kalendar Julian, kalender yang berasaskan solar dan hampir menyerupai kalender Gregorian seperti yang kebanyakan daripada kita gunakan pada hari ini.

kalendar rom purba

Kalendar Rom purba

Ceaser telah memilih 1hb Januari sebagai hari pertama dalam tahun baru sebegai menghormati nama Janus, tuhan perubahan dan permulaan dalam kepercayaan Rom. Mereka percaya bahawa Janus mempunyai dua muka, untuk melihat perkara lampau dan masa hadapan.

Orang Rom merayakan 1hb Januari dengan melakukan upacara korban kepada Janus agar memperolehi nasib yang baik untuk tahun baru. Mereka juga menghiasi rumah dengan ranting pokok dan mengadakan pesta keraian. Pada hari ini jiran dan kenalan akan bertukar-tukar ucapan serta hadiah seperti buah tin atau madu.

Zaman pertengahan : 1hb Januari dimansuhkan

majlis gereja kristian

Pada abad pertengahan di Eropah, perayaan-perayaan yang disambut sempena Tahun Baru telah dianggap sebagai sembahan pagan dan tidak bercirikan agama Kristian.

Sekitar tahun 567 Masihi, Majlis Tertinggi Gereja-gereja telah mengharamkan perayaan disambut pada 1hb Januari sebagai permulaan Tahun Baru. Ia digantikan dengan hari-hari yang lebih berkaitan dengan sambutan keagamaan seperti 25hb Disember atau 25hb Mac.

Walau bagaimanapun, 1hb Januari tetap mempunyai kepentingan dalam Kristian dan ia dikenali sebagai Feast of the Circumcision, di mana hari kelapan Jesus dilahirkan.

Mengikut tradisi Yahudi, bayi yang baru dilahirkan akan dikhatankan dan diberi nama secara rasmi pada usia 8 hari. Namun, sehingga kini tarikh kelahiran Jesus pada 25hb Disember masih lagi diperbahaskan.

Kalender Gregorian : 1hb Januari dikembalikan

pope gregory xiii

Pope Gregory XIII

Pada tahun 1582 apabila kalender Gregorian diperbaharui, Pope Gregory XIII telah membenarkan semula sambutan hari Tahun Baru pada 1hb Januari. Kebanyakan negara-negara Kristian Katolik telah menggunakan kalendar Gregorian dengan serta-merta. Manakala negara-negara Kristian Protestan pula secara perlahan-lahan menukar kepada kalender baru ini.

Sebagai contoh, British tidak menggunakan kalender Gregorian yang diperbaharui ini sehinggalah pada tahun 1752. Sebelum itu, British dan koloni Amerika di bawah mereka masih menyambut perayaan Tahun Baru pada bulan Mac.

Rujukan:

1. World History

2. History

3. TIME




Hakcipta iluminasi.com (2017)