sambutan tahun baru pada tarikh berbeza

Setiap 1 Januari, kebanyakan negara di dunia menyambut sambutan tahun baru meraikan pertukaran kalendar ke tahun berikutnya.

Walaupun demikian, bukan semua negara dunia meraikan sambutan tersebut disebabkan oleh perbezaan sistem kiraan hari yang digunapakai ataupun berpunca daripada perbezaan kepercayaan agama masing-masing.

Berikut adalah lima sambutan di lima negara yang tak menyambut sambutan tahun baru setiap 1 Januari, sebaliknya menyambutnya pada tanggal berbeza mengekalkan tradisi lama masyarakat mereka.

1. Tahun Baru Ortodoks di Russia

russian orthodox sambutan tahun baru

Bagi beberapa buah negara Eropah seperti Russia, Macedonia, Serbia dan Ukraine, mereka masih mengamalkan penggunaan kalendar Julian dalam kiraan hari masyarakat mereka.

Jika anda nak tahu kisahnya, anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini bagi memahami sebabnya.

Disebabkan oleh perbezaan kiraan di antara kalendar Julian yang digunapakai dengan kalendar Gregory yang dipakai majoriti masyarakat dunia, tahun baru beberapa negara ini jatuh pada tarikh 14 Januari setiap tahun berdasarkan kalendar Gregorian sepanjang abad ke 21.

Kewujudan dua sistem kalendar dan dua perayaan berbeza di kalangan masyarakat Eropah ini menyebabkan perayaan tahun baru Ortodoks dinamakan masyarakat Eropah sebagai 'Old New Year' berbanding 'New Year'.

2. Enkuhatash di Ethiopia

enkuhatash ethipia

Bagi dua buah negara di benua Afrika iaitu Ethiopia dan Eritrea, sambutan tahun baru mereka hadir setiap 11 September setiap tahun. Dalam kalendar mereka, hari itu dirujuk sebagai 1 Meskerem.

Kalendar rasmi Ethiopia mempunyai sistem kiraan 12 bulan dengan 30 hari tetap dalam setiap satu bulan. Berdasarkan kiraan tertentu yang ditetapkan, kalendar negara itu kemudiannya akan ditambah sama ada 5 atau 6 hari tambahan bagi mewakili bulan ke 13.

'Enkuhatash' walaupun mempunyai akar daripada kepercayaan Kristian, kini telah mula disambut secara lebih terbuka oleh masyarakat mereka berbilang agama.

Walaupun demikian, perayaan tahun baru mereka masih dimulakan dengan sambutan di gereja pada awal pagi sebelum perhimpunan keluarga dilakukan serentak dengan jamuan makan beramai-ramai.

3. Tahun Baru Assiria

tahun baru orang assiria

Masyarakat tempatan di sebahagian kawasan negara Iraq, Syria, Turki dan Iran, masih mengekalkan sambutan 'Akitu' yang juga dikenali sebagai 'Kha b-Nisan', sambutan Tahun Baru masyarakat Assiria setiap tanggal 1 April.

Sambutan tahun baru ini diraikan kini oleh masyarakat Kristian yang mewarisi kepercayaan lama orang Assiria, pernah menetap di sana sekitar abad ke pertama sehingga ke empat mengikut tarikh Masihi.

Kha b-Nisan bukan saja menandakan bermulanya tahun baru mengikut kalendar lama orang Assiria, bahkan menandakan pertukaran iklim ke musim panas yang dipercayai masyarakat kini dan terdahulu sebagai tanda bermulanya kehidupan baru.

Asal-usul perayaan ini dikatakan bermula sebagai tarikh perkahwinan di antara Dewi cinta masyarakat mereka yang berpasangan dengan Dewa yang menguasai tanah. Penyatuan dua Dewa dan Dewi mereka itu kekal diraikan walaupun kepercayaan agama penduduk di sana yang menyambutnya juga telah berubah.

4. Nyepi di Indonesia

perayaan nyepi di bali indonesia

Nyepi merupakan satu sambutan besar bagi komuniti penduduk Pulau Bali di Indonesia yang beragama Hindu. 

Dikenali juga dengan nama Isakwarsa atau 'tahun baru Saka', sambutan Nyepi disambut dalam keadaan sunyi dan diam selama sehari bagi menandakan bermulanya sambutan tahun baru mereka mengikut kalendar Saka.

Tarikh perayaannya berubah-ubah setiap tahun disebabkan oleh sistem kalendar Saka yang berbeza kiraannya, dengan tarikh 25 Mac menjadi tarikh sambutan 2020 sementara bagi tahun 2021 jatuh pada tanggal14 Mac.

Ritual agama, acara puasa dan pemujaan yang dilakukan secara senyap menjadi kaedah utama sambutan, diadakan selama 24 jam pada tarikh jatuhnya sambutan berlangsung daripada seawal jam 6 pagi.

Selepas tempoh itu selesai, festival meraikan tahun baru Saka mula dijalankan dengan meriah.

5. Pohela Boishakh di Bangladesh

sambutan tahun baru bukan 1 januari

Sekiranya orang Hindu Bali meraikan Nyepi dengan suasana sunyi, bagi sebahagian masyarakat di Bangladesh dan India yang meraikan Pohela Boishakh atau tahun baru orang Bengali; mereka meraikannya dengan cara yang cukup meriah.

Diraikan setiap 14 April di Bangladesh dan 15 April di beberapa negeri di India, perayaan ini disambut masyarakat di sana tanpa mengira agama kerana sejarah sambutan ini datang daripada adunan kisah sejarah masyarakat mereka.

Pendapat paling popular menyebut sambutan ini bermula daripada idea pemerintah kerajaan Islam empayar Mughal, yang bernama Akbar berhasrat mahu memudahkan sistem kutipan cukai masyarakat mereka sekitar abad ke 16.

Ketika itu penggunaan kalendar Hijrah berasaskan kitaran bulan, menyukarkan urusan pertanian di sana yang masih perlu bergantung dengan kitaran matahari.

Bagi menyelesaikan masalah itu ahli falak kerajaan Mughal bernama Fathullah Shirazi bertanggungjawab menggabungkan kedua-dua kalendar yang ada berasaskan kitaran bulan dan matahari menjadi satu. Tarikh pertama dalam kalendar itu menjadi hari di mana cukai kepada barangan pertanian perlu diselesaikan kepada kerajaan.

Kiraan tahun pertama hari pertama kalendar Bengali ini bermula pada tahun 1556 Masihi, bersamaan dengan tahun Akbar menaiki takhta. Kerajaan Bangladesh secara rasmi kembali menggunakan sistem kalendar ini pada tahun 1987, seiring dengan penggunaan kalendar Hijrah dan Gregorian.

Pohela Boishakh terus menjadi festival keramaian yang kekal disambut sehingga ke hari ini, dengan perarakan bernama Mangal Shobhajatra menjadi antara elemen utama sambutan mereka; diiktiraf sebagai salah satu festival warisan rasmi dunia oleh UNESCO pada tahun 2016



Hakcipta iluminasi.com (2017)