Bunga api di sini merujuk kepada bunga api yang ditembak ke langit, menghasilkan corak dan warna yang menarik. Siapa sangka bunga api sebenarnya telah dicipta sejak ribuan tahun lalu, dan penciptaannya adalah secara tidak sengaja. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarahnya.
Sejarah Penciptaan Bunga Api Yang Berasal Dari China
BESARKAN TEKS A- A+
Kebanyakan para sejarawan percaya bahawa bunga api sebenarnya dicipta di China, namun terdapat beberapa pendapat lain yang menyangkal dakwaan ini, kerana golongan tersebut sebaliknya percaya bahawa bunga api 'dilahirkan' sama ada di Timur Tengah atau India.
Namun, bukti menunjukkan bahawa sekitar tahun 800 A.D., beberapa orang ahli kimia berbangsa China telah mencampuri bahan-bahan seperti potasium nitrat, sulfur dan arang yang akhirnya menghasilkan serbuk letupan kasar, menurut American Pyrotechnics Safety and Education Foundation.
Bukanlah menjadi niat mereka untuk menghasilkan bahan tersebut, sebaliknya ia tercipta secara tidak sengaja. Niat sebenar mereka adalah untuk mencipta sebuah resipi untuk kehidupan yang abadi. Apapun, ciptaan mereka itu tetap mengubah dunia. Menyedari akan kegunaan serbuk tersebut, masyarakat China pada masa itu percaya bahawa letupan yang dihasilkan berupaya untuk menghalau roh-roh jahat.
Bagi menghasilkan bunga api yang pertama, mereka akan memasukkan serbuk letupan tersebut ke dalam pucuk buluh, dan membaling buluh tersebut ke dalam api yang membara, yang akhirnya menghasilkan letupan yang kuat. Kemudiannya, evolusi bunga api mula berkembang.
Contohnya, batang buluh digantikan dengan tiub kertas, dan berbanding membaling tiub tersebut ke dalam api, sumbu yang diperbuat daripada kertas nipis ditambah. Ini antara pengolahan awal yang dilakukan.
Sehingga abad ke-10, masyarakat China purba mula sedar bahawa serbuk letupan tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain. Mereka menemui cara untuk menghasikan bom menggunakan serbuk tersebut, di mana mereka melekatkannya pada anak panah untuk ditembak ke arah musuh.
Dalam tempoh 200 tahun berikutnya, bunga api melalui evolusi, diolah dalam bentuk roket, lebih efisyen untuk tujuan peperangan. Teknologi yang sama masih digunakan hari ini bagi pertunjukan bunga api.
Tersebarnya Teknologi Serbuk Letupan dan Bunga Api
Pada tahun 1295, Marco Polo telah membawa bunga api dari Asia ke Eropah. Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa bangsa Eropah telah diperkenalkan dengan senjata serbuk letupan ketika Perang Salib, beberapa tahun sebeumnya, menurut laman sesawang Smithsonian.
Kemudiannya, sekitar abad ke-13, serbuk letupan bersama resipi penghasilannya telah sampai ke Eropah dan tanah Arab melalui para diplomat, pengembara dan mubaligh Franciscan. Daripada situ, kuasa-kuasa Barat membangunkan teknologi ini kepada senjata yang lebih berkuasa, yang hari ini kita kenali sebagai meriam dan senapang (musket).
Untuk beberapa abad seterusnya, masyarakat Barat tetap mengekalkan fungsi asal bunga api, dan menggunakannya ketika sambutan perayaan. Para penghibur turut menghiburkan orang dengan bunga api ketika zaman pertengahan di England. Di sana, para pemerintah menggunakan bunga api untuk menghiburkan penyokong-penyokong mereka.
Bunga api diraja yang pertama telah dipersembahkan di istana Henry VII ketika hari perkahwinan baginda pada tahun 1486. Pada tahun 1685, penobatan James II turut disertai dengan persembahan bunga api. Maharaja Rusia sekitar abad ke-16, iaitu Czar Peter turut tidak ketinggalan menggunakan teknologi sama, di mana baginda menghidangkan rakyatnya dengan persembahan bunga api sebagai menyambut kelahiran puteranya.
Tersebarnya Teknologi Bunga Api ke Amerika Syarikat
Di kala bangsa Eropah mengembara ke Dunia Baru (New World / Amerika Syarikat), resipi tersebut turut dibawa bersama. Terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa Captain John Smith (pengembara British) telah memasang bunga api pertama di daerah yang baru ditemui itu, secara khususnya di Jamestown, Virginia pada tahun 1608.
Pada 4 July 1777, ketika sambutan ulang tahun pertama Kongres Kontinental a.k.a. Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, bunga api telah ditembak ke langit, yang sehingga hari ini kekal menjadi tradisi negara berkenaan.
Walaubagaimanapun, tidak semua orang suka akan bunga api. Pada tahun 1731, Rhode Island (salah sebuah negeri di AS) telah mengharamkan penggunaan bunga api bagi tujuan 'jahat'. Pada tahun 1890an, beberapa negeri dan bandar lain turut mengikut jejak langkah yang sama, mencipta peraturan dan undang-undang bagi mengawal penggunaan bunga api.
Di Malaysia, mercun dan bunga api diharamkan sama sekali kerana sebelum ini pernah menyebabkan korban nyawa. Namun, pihak berkuasa dilihat enteng dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan bahan ini, terutamanya ketika musim perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, mahupun ketika sambutan Tahun Baru Cina.
Sementara itu di China, mereka masih lagi dalam perniagaan bunga api, menghasilkan dan mengeksport lebih banyak bunga api daripada lain-lain negara di dunia.
Sumber dan Bacaan Tambahan: