sejarah lorem ipsum

Tugas seorang pereka memerlukan seseorang itu menghasilkan rekaan terlebih dahulu, kebiasaanya sebelum maklumat dan informasi dalam bentuk teks dimasukkan ke dalam rekaan.

Bagi mereka yang pernah cuba menghasilkan rekaan, penggunaan teks 'lorem ipsum' merupakan satu kemestian sebagai panduan bagaimana teks itu akan kelihatan dalam rekaan akhir kelak.

img 20181026 092249

Teks 'lorem ipsum' ini digunakan secara meluas dalam industri percetakan, media tradisional, media elektronik, rekaan grafik, perisian, pembangunan web dan bermacam lagi kegunaan-kegunaan lain.

Dari mana datangnya teks lejen ni?

tugu cicero penulis lorem ipsum

Petikan teks yang terkandung dalam petikan 'Lorem ipsum' sebenarnya diambil daripada sebuah tulisan literatur Latin yang ditulis pada tahun 45BC. Teks itu ditulis oleh seorang ahli politik Rom bernama Marcus Tullius Cicero dalam lima jilid yang diberikan tajuk 'De finibus bonorum et malorum' atau 'Pada penghujung kebaikan atau kejahatan.'

Cicero sepanjang hayatnya dianggap sebagai antara orator dan penulis terhandal generasinya. Walau pun sumbangannya pada dunia kebanyakannya datang daripada hasil penulisan beliau, Cicero secara peribadi menganggap sumbangannya dalam bidang politik mengatasi segalanya.

'De finibus bonorum et malorum' ditulis dalam tempoh satu setengah bulan, berdasarkan kajian yang telah memakan masa bertahun-tahun. Selepas siap, Cicero mendedikasikan penghargaannya pada pemerintah Rom waktu itu.

Petikan teks 'lorem pisum' pula datang daripada jilid pertama buku itu, yang berjudul Liber Primus di mana Cicero menulis pandangannya terhadap sifat hedonisme yang melanda masyarakat Rom ketika itu.

Siapakah yang memulakan trend baru ini?

teks cicero lorem ipsum

Tidak diketahui siapakah yang memulakan trend penggunaan petikan teks 'lorem ipsum' sebagai teks sementara. Kajian mendapati teks ini sebenarnya telah pun digunakan sebagai 'dummy text' atau teks sementara, sejak tahun abad ke 16 lagi!

Teori seorang professor kajian bahasa bernama Dr. Richard McClintock dari Hampden Sydney College di Virginia, Amerika Syarikat menyebut besar kemungkinan dalam abad ke 16, salah seorang pencetak buku diminta untuk menunjukkan cara penghasilan buku dalam pelbagai jenis muka huruf.

Mungkin kerana tidak mahu bakal pelanggan atau pelabur terganggu dengan teks yang dicetak kerana lebih sibuk membacanya, pencetak itu memilih untuk meniru teks yang ada dalam buku Cicero dan menjadikannya petikan yang akan dicetak. Harus diingatkan, ini adalah teori yang belum dibuktikan berikutan ketiadaan bukti.

Apa yang mengagumkan, trend penggunaan teks 'lorem ipsum' ini mampu bertahan beratus tahun lamanya, daripada zaman percetakan tradisional, percetakan moden sehinggalah zaman digital di mana kita tidak lagi perlu mencetak terlebih dahulu, untuk melihat bagaimana rupa hasil akhirnya.

Apa makna petikan 'lorem ipsum' ni?

lorem ipsum penuh

Jika dibandingkan dengan petikan asal yang ditulis oleh Cicero, teks 'lorem ipsum' yang digunakan sebenarnya adalah campuran-campuran perkataan serta ayat tulisan CIcero yang tidak lagi membawa makna, walaupun turutan perkataannya tidak berubah.

Individu yang bertanggungjawab mencipta teks 'lorem ipsum' ini bertindak untuk mengambil sekerat-sekerat tulisan Cicero yang kemudiannya diubah untuk mencantikkan bentuk susunannya. Lagipun, penemuan teks asal 'lorem ipsum' ini pun boleh dikatakan baru, hanya ditemui pada tahun 1985 oleh McClintock semasa dia cuba menterjemah beberapa ayat latin, yang membawanya kepada penemuan tulisan Cicero.

Oleh kerana 'lorem ipsum' itu adalah keratan-keratan ayat, jadi makna yang ingin disampaikan juga agak ke laut berbanding apa yang cuba disampaikan oleh Cicero.

Teks asal petikan lorem ipsum berbunyi;

"Lorem ipsum dolor sit amet, consectetaur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation ullamco laboris nisi ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis aute irure dolor in reprehenderit in voluptate velit esse cillum dolore eu fugiat nulla pariatur."

cicero sejarah lorem ipsum

Terjemahannya pula adalah :

"Cinta atau kemahuan atau nafsu adalah kesakitan yang dicari, kerana itu adalah kesakitan tapi, situasi di mana seseorang itu merasa kesengsaraan yang besar, mengambil contoh yang ringkas, di mana kita, bekerja keras, apa faedah yang kita dapat? Siapa pula, cari kesalahan, sukakan keseronokan, satu, elak kesengsaraan, tiada hasil, dibutakan kerana nafsu, seseorang tidak nampak, kesalahan ditanggung mereka yang gagal dalam tugas kerana kelemahan akal, sama seperti seseorang yang melarikan diri dari merasakan kepayahan."

Kan kami dah kata, berterabur! Ini bermakna selama ini majoriti pereka dan penulis di seluruh dunia menggunakan teks yang menceritakan tentang kesengsaraan dalam kerja mereka. Kini anda dah tahu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)