Tanjung Rambutan ialah sebuah pekan kecil di daerah Kinta yang terletak di timur laut bandar raya Ipoh di negeri Perak. Namun, pekan kecil ini sering dikaitkan dengan stigma buruk dan sering kali dijadikan bahan jenaka yang hanya dikaitkan dengan pesakit mental.

hospital tanjung rambutan 3

Credit photo : orangperak

Dengar sahaja mengenai 'hospital bahagia' atau 'hospital gila' Tanjung Rambutan, ramai pasti yang membayangkan ia adalah suatu tempat yang menyeramkan, terpencil dan sunyi. Penghuni yang berada di sini pula sering kali disalah sangka sebagai agresif, ganas dan berbahaya.

Semuanya bermula apabila seorang ahli psikiatrik British, Dr. W.F. Samuels, mengilhamkan agar sebuah pusat rawatan khusus untuk merawat pesakit mental dibangunkan di pekan ini pada tahun 1908. Pada tahun 1910, pusat kesihatan mental yang pertama di Tanah Melayu ini mula dibina berhadapan stesen kereta api Tanjung Rambutan.

Walau bagaimanapun, hospital mental atau lebih dikenali sebagai hospital bahagia ini tidak pernah menggunakan nama pekan Tanjung Rambutan sebagai nama yayasan ini secara rasmi.

hospital tanjung rambutan

Credit photo : orangperak

Pada asalnya, Dr. Samuels telah mencadangkan kerajaan agar membina sebuah hospital mental yang dinamakan sebagai Federal Lunatic Asylum. Setelah pembinaan siap pada tahun 1911, Dr. Samuels telah dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama di hospital mental itu.

Pada peringkat awal, Federal Lunatic Asylum ini merupakan sebuah yayasan psikiatri yang hanya mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan sahaja dan ianya dipisahkan oleh satu ruang dapur.

Pada tahun 1928, hospital mental ini telah diubah namanya kepada Central Mental Hospital pula. Pada awal tahun 1970, nama hospital ini sekali lagi diubah menjadi Hospital Bahagia Ulu Kinta, menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri dan pandangan serta penerimaan masyarakat terhadapnya.

hospital bahagia ulu kinta 834

Dengan keluasan asal Hospital Bahagia Ulu Kinta mencecah 544 ekar ini, 300 ekar daripadanya telah digunakan untuk mendirikan pelbagai bangunan dan kelengkapan untuk kakitangan dan pesakit. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira 78 wad di hospital ini di mana 53 wad adalah untuk pesakit lelaki manakala 25 wad untuk pesakit wanita dengan jumlah katil mencecah sebanyak 1,800 buah.

Jumlah purata pesakit yang berada di hospital bahagia ini sepanjang masa ialah seramai hampir 1500 orang, di mana 2/3 daripadanya adalah penghuni lelaki.

Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan pusat psikiatri paling besar daripada empat buah hospital bahagia yang wujud di negara kita. Hospital bahagia ini juga merupakan satu-satunya hospital di Malaysia yang mempunyai muziumnya sendiri.

hospital tanjung rambutan 2

Pada tahun 2007, sebanyak 41 daripada 544 ekar tanah hospital bahagia di Tanjung Rambutan ini telah diserahkan untuk pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta.

Manakala baki selebihnya kawasan di hospital ini pula digunakan untuk aktiviti-aktiviti pemulihan pesakit. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sini untuk pesakit adalah seperti pertanian, penternakan dan juga perikanan.

pesakit melakukan aktiviti penternakan

Pesakit melakukan aktiviti penternakan

Hospital Bahagia Ulu Kinta ini menawarkan rawatan seperti penjagaan, rawatan klinikal, psikologi, pendidikan, kaunseling, pelajaran moral dan kerohanian bagi mereka yang mengalami masalah mental atau lebih dikenali dengan panggilan sakit jiwa, gila atau tekanan perasaan.

Bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah mental yang serius, terdapat bengkel pertukangan untuk pesakit lelaki dan juga bengkel kerja tangan bagi pesakit wanita. Semua aktiviti-aktiviti ini mempunyai nilai rawatan yang dinamakan sebagai terapeutik bagi membantu pesakit menjadi pulih semula.

pesakit melakukan aktiviti pertanian

Pesakit sedang bercucuk tanam

Pada hakikatnya, pesakit yang dirawat di hospital ini bukanlah semuanya 'gila' atau 'liar'. Bahkan, ada juga yang memohon untuk ditempatkan di sini dengan tujuan untuk menenangkan fikiran, jauh dari tekanan kerja dan hidup. Tambahan pula kawasan hospital yang luas ini dikelilingi panorama indah dan penuh dengan kehijauan alam semula jadi.

Para petugas di hospital bahagia ini memerlukan kemahiran berkomunikasi dan berfikir secara kreatif dan inovatif. Mereka sering berdepan dengan pesakit yang tidak boleh dijangka tingkah lakunya atau reaksi terhadap sesuatu keadaan. Oleh itu, kesabaran dan pengalaman amatlah diperlukan.

wad wanita hospital bahagia ulu kinta

Salah satu wad wanita di Hospital Bahagia Ulu Kinta

Saban tahun, Hospital Bahagia Ulu Kinta menerima semakin ramai pelawat, antaranya ialah kumpulan perubatan, kumpulan berlainan bidang dan ada juga kunjungan daripada orang awam yang ingin belajar lebih lanjut mengenai penjagaan kesihatan mental.

Lawatan sebegini telah mengikis sedikit demi sedikit stigma dan persepsi buruk masyarakat terhadap hospital bahagia yang sering dikongsikan melalui lisan tanpa sebarang bukti.

Rujukan:

1. Utusan

2. Orang Perak

3. Qwaliman

4. Hospital Bahagia Ulu Kinta



Hakcipta iluminasi.com (2017)