Oleh pada 07 Jun 2021 kategori

Era Victoria terkenal dengan amalan sosialnya yang pelik. Namun, salah satu sejarah gelap abad ke-19 adalah amalan "Penternakan Bayi" yang berlaku di England dan Amerika Utara

Bayi yang tidak diingini

Baby Farming adalah istilah yang digunakan pada Era Victoria untuk menggambarkan amalan menjaga kanak-kanak yang tidak diingini oleh ibu bapa mereka.

baby farming

Sebelum adanya teknologi alat kawalan kelahiran, ramai wanita terutamanya dari golongan bawahan yang hamil menghadapi masalah untuk membesarkan anak-anak mereka. 

Bagi golongan yang mampu, mereka akan menempatkan anak-anak mereka di rumah pengasuh berbayar. Bagi mereka yang tidak mampu atau mendapat anak tidak sah taraf pula, mereka terpaksa mencari jalan yang lebih murah dan berbeza.

Pilihan yang lebih murah adalah menghantar anak-anak mereka membesar di luar bandar. Pada abad ke-19, kawasan desa dilihat sebagai tempat yang sesuai membesarkan anak-anak berbanding kota yang penuh dengan penyakit, pelacuran dan masalah lain.

Namun, golongan ibu bapa lebih mementingkan pekerjaan di bandar di mana mereka dibayar lebih tinggi. Ini menyebabkan sejenis rumah jagaan baru yang digelar Baby Farming berkembang pesat di kawasan desa England dan Amerika.

Industri penjagaan bayi luar bandar

Ramai golongan wanita di desa yang menawarkan perkhidmatan Baby Farming ini. Sebilangan penjaga mempunyai niat yang baik dan berusaha sedaya upaya untuk menguruskan kanak-kanak di bawah jagaannya. Namun, sebilangan lagi melakukannya demi memperolehi keuntungan dalam sistem perniagaan ini.

baby farm chicago

Ada yang meminta bayaran mingguan untuk makanan dan pakaian kanak-kanak jagaan mereka dan ada pula meminta bayaran penuh sekaligus.

Biasanya, penjaga yang meminta bayaran penuh sekaligus sering menggunakan istilah "adopsi" atau anak angkat. Ibu bapa yang memilih jenis perkhidmatan ini seolah-oleh memberikan terus anak-anak mereka untuk diuruskan oleh penjaga.

Perniagaan ini mungkin menyalahi undang-undang pada hari ini tetapi pada abad ke-19, ia adalah perkara biasa kerana belum ada sebarang peraturan mengenainya.

Pada zaman di mana wanita sukar untuk memperolehi wang sendiri, peluang ini dilihat sangat menarik. Penjaga boleh memaksimumkan keuntungan dengan mengambil lebih banyak anak dan mengurangkan kos jagaan.

Lebih menyedihkan lagi, ada pengusaha "Ladang Bayi" ini yang memanipulasikan keadaan demi keuntungan. Anak angkat yang diserahkan meninggal dunia awal dan ini memberi ruang untuk mengambil lebih banyak kanak-kanak. Ia merupakan satu kitaran yang membawa keuntungan berterusan.

Akhirnya, Baby Farming telah menyebabkan kematian ribuan kanak-kanak dan merupakan satu kisah hitam dalam sejarah moden. Berikut adalah beberapa "Penternak Bayi" kejam yang terkenal dalam sejarah.

Amelia Dyer

amelia dyer

Amelia Dyer adalah salah seorang pembunuh bersiri paling kejam abad ke-19. Dia merupakan seorang janda yang pernah dilatih sebagai jururawat. Pada akhir 1860-an, dia mula mengiklankan perkhidmatannya di akhbar tempatan.

Dalam iklannya, dia menyatakan bahawa dia sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak sedia mengambil anak angkat yang sihat dengan harga serendah £ 10. Dia juga memberi jaminan bahawa akan menyediakan tempat tinggal yang selesa dan memberi layanan yang penuh kasih sayang.

Malangnya, ramai kanak-kanak yang meninggal dunia tidak lama selepas diserahkan kepadanya. Mereka dipercayai mati kelaparan atau diberikan air bercampur dadah yang digelarnya sebagai "Rakan Ibu" untuk membuatkan kanak-kanak diam.

Dyer juga dipercayai mencekik ramai kanak-kanak sehingga mati untuk mendapat lebih banyak anak angkat dalam masa yang cepat.

Dia akhirnya ditangkap pada 1879 apabila seorang doktor curiga mengenai jumlah kematian bayi dalam jagaannya. Dyer dijatuhkan hukuman penjara dan dikerah melakukan kerja buruh selama enam bulan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

Apabila dibebaskan, Dyer membuat beberapa perubahan. Dia sering berpindah bagi mengelak dicurigai dan mula membuang mayat kanak-kanak supaya tidak dikesan. Dia akhirnya ditangkap setelah seorang mayat kanak-kanak ditemui di dalam Sungai Thames.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam sebuah bungkusan yang mempunyai tulisan "Mrs. Thomas", iaitu nama samaran yang digunakan Dyer. Amelia Dyer akhirnya dijatuhi hukuman gantung pada 10 Jun 1896. 

Walaupun dihukum mati atas satu pembunuhan yang dibuktikan, Dyer dipercayai bertanggungjawab atas sekurang-kurangnya 400 kematian kanak-kanak lain.

Margaret Waters

margaret waters

Wanita yang dikenali sebagai Brixton Baby Farmer ini adalah wanita pertama di England yang dijatuhkan hukuman gantung berkaitan industri Baby Farming. Sama seperti Amelia Dyer, dia dibuktikan melakukan satu pembunuhan tetapi dianggarkan telah menyebabkan sehingga 19 kematian.

Setelah kematian suami pada 1864, Margaret memilih Baby Farming sebagai punca pencarian. Dia mengiklankan perkhidmatannya sebagai "orang tengah" walaupun pada hakikatnya dia sendiri yang akan "menguruskan" bayi-bayi yang diserahkan dengan harga £ 10.

Margaret akan memberikan candu bagi menyekat selera makan kanak-kanak jagaannya dan akhirnya mereka akan mati kelaparan. Dia akan memasukkan mayat mereka ke dalam beg kertas coklat dan membuangnya di jalanan.

Walaupun kejam, amalan membuang mayat di jalanan adalah perkara biasa pada abad ke-19 kerana kos pengebumian yang tinggi.

Pada 1870, Margaret ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh seorang anak luar nikah kepada gadis berusia 17 tahun.

Kes Margaret membawa kepada kejuwudan Akta Perlindungan Bayi 1872, yang mewajibkan rumah jagaan dengan dua orang bayi di bawah usia setahun perlu didaftarkan dan diperiksa pihak berkuasa.

Amelia Sach dan Annie Walters

annie walters dan amelia sach 939

Amelia Sach dan Annie Walters dikenali sebagai Finchley Baby Farmer pada permulaan kurun ke-20. Mereka bekerjasama membangunkan rumah jagaan di East Finchley demi mengaut keuntungan.

Kebanyakan pelanggan yang menghantar bayi mereka di "ladang bayi" Amelia dan Annie merupakan wanita kelas bawahan yang mahu anak mereka dijaga secara rahsia. Ini memudahkan Amelia dan Annie melakukan kerja terkutuk mereka.

Mereka akan membunuh bayi-bayi yang diserahkan menggunakan klorodin iaitu sejenis ubat yang mengandungi morfin. Mayat kanak-kanak malang itu kemudian dibuang ke dalam Sungai Thames.

Mereka akhirnya ditangkap setelah tuan rumah mereka curiga dengan aktiviti yang dilakukan. Amelia dan Annie akhirnya dihukum gantung pada 1903 dan dipercayai telah membunuh lebih daripada 12 orang kanak-kanak.

William dan Lila Young

william dan lila young

Kes pasangan Young ini adalah yang paling terkini berbanding individu lain dalam senarai ini. Mereka membuka Ideal Maternity Home yang beroperasi sejak 1928 hingga 1947.

Mereka akan memperdagangkan bayi yang baru lahir dan menjualnya kepada keluarga angkat. Namun, bayi yang tidak memenuhi standard tertentu sering mati dalam keadaan misteri.

Ideal Maternity Home adalah pusat jagaan bayi yang khusus dalam perkhidmatan bersalin untuk ibu yang belum bernikah di Nova Scotia, Kanada. Menerusi iklan, mereka menggambarkan Ideal Maternity Home sebagai tempat perlindungan yang penuh kasih sayang.

Bayi-bayi diletakkan di tempat tidur bayi dan dipamerkan untuk ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat. Namun, hanya bayi berkulit putih, cantik dan sihat sahaja yang dipamerkan.

Bayi-bayi malang lain dibiarkan mati dan ditanam di dalam hutan di belakang Ideal Maternity Home atau dibuang di Lautan Atlantik.



Hakcipta iluminasi.com (2017)