Dengan mengamalkan konsep negara tertutup, tidak banyak informasi yang diketahui mengenai negara Korea Utara. Diketahui umum sebagai sebuah negara yang memiliki senjata nuklear, pemerintahan diktator di negara ini menyebabkan rakyatnya terpaksa taat setia sepenuh hati kepada pemerintah.

Di Iluminasi, kami sudah menulis banyak topik mengenai Korea Utara antaranya senarai aktiviti harian yang diharamkan di Korea Utara, tempat-tempat pelik di Korea Utara dan banyak lagi. Kebanyakan gambar yang diambil di Korea Utara juga diseludup keluar oleh pelancong memandangkan Korea Utara melarang pelancong mengambil gambar sesuka hati di sana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penghasilan senjata nuklear oleh Korea Utara membuktikan mereka sememangnya mempunyai ramai saintis dan jurutera yang mempunyai kelebihan mencipta barangan-barangan lain yang lebih hebat. Kali ini, kali ingin berkongsi 5 ciptaan atau inovasi yang sememangnya berasal daripada Korea Utara.

1. Sistem Operasi Red Star

sistem operasi red star

Kebanyakan rakyat Malaysia pastinya menggunakan sistem operasi Windows, Mac OS dan Linux. Di Korea Utara, mereka telah membangunkan sistem operasi sendiri untuk kegunaan rakyat yang diberi nama Red Star. Sistem operasi Red Star ini telah dibangunkan pada tahun 2002 dan merupakan sistem operasi yang diubah daripada sistem operasi Linux.

Daripada segi rekaan pula, ianya lebih mirip Mac OS milik Apple. Malah, sistem operasi ini turut didatangkan dengan pelayar internet Naenara dengan rekaan seakan-akan pelayar Mozilla Firefox. Dalam bahasa Korea Utara, Naenara juga bermaksud "Negara Saya". Walau bagaimanapun, pelayar ini hanya mengakses sistem intranet Korea Utara sahaja.

Penciptaan sistem operasi Red Star ini dibina bertujuan memantau segala capaian dan akses pengguna komputer di Korea Utara. Malah, ianya mempunyai sistem sekuriti yang kuat bagi menghalang pengguna mengubah sistem operasi ini seperti memadam fungsi Firewall dan sebagainya. Segala pemindahan data dan fail melalui sistem operasi ini juga dapat dipantau oleh pihak atasan.

2. Kereta Mewah Junma

kereta junma

Di Korea Utara, pemilikan kereta oleh rakyat begitu rendah. Secara umumnya, kereta hanya dimiliki oleh pemerintah tertinggi kerajaan dan beberapa golongan tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang Korea Utara daripada menghasilkan kereta buatan mereka sendiri yang diberi nama Junma.

Junma dihasilkan oleh syarikat Pyeonghwa Motors, sebuah syarikat kerjasama antara syarikat milik kerajaan Korea Utara dan sebuah syarikat rahsia daripada Korea Selatan. Dari segi rekabentuk, ianya mirip seperti kereta Mercedez Benz E-Class keluaran tahun 1990-an. Statistik penghasilan kereta ini tidak diketahui tetapi sesetengah pihak menganggarkan hanya kira-kira 1000 buah unit dihasilkan setahun memandangkan peratusan pemilikan kereta yang rendah di Korea Utara.

3. Peluru berpandu Hwasong-10

peluru berpandu korea utara 657

Peluru berpandu Hwasong-10 yang juga dikenali sebagai Musudan merupakan antara teknologi ketenteraan terbaru Korea Utara. Peluru ini didakwa mampu mencapai pangkalan tentera Amerika Syarikat yang berada di Lautan Pasifik. Korea Utara juga telah beberapa kali melakukan percubaan peluru berpandu ini, seterusnya telah menimbulkan kontroversi serta kebimbangan negara-negara yang berdekatan.

Bagi menghasilkan peluru berpandu ini, pihak Korea Utara telah mendapatkan kerjasama daripada jurutera Russia dan membinanya berdasarkan rekaan asal peluru berpandu Soviet Union suatu ketika dahulu. Projek pembinaannya bermula sejak 1990-an lagi dan Korea Utara sangat aktif menambah baik potensi peluru berpandu ini dari semasa ke semasa.

4. Mesingan Type 73 

senjata api korea utara

Mesingan Type 73 merupakan satu-satunya senapang yang digunakan oleh askar Korea Utara. Mesingan ini dibangunkan berdasarkan sistem mesingan milik Soviet Union, malah rekaannya dikatakan menyerupai mesingan Soviet PK milik Soviet Union suatu ketika dahulu.

Menariknya, mesingan ini pernah ditemui digunakan oleh militan di Afrika dan Timur Tengah. Dakwaan ini mungkin benar kerana mereka juga disyaki menjual senjata api ke pihak-pihak tertentu di pasaran gelap untuk menjana ekonomi negara.

Semasa perang antara Iran dan Iraq suatu ketika dahulu, Korea Utara juga dikatakan pernah membekalkan senjata kepada pihak Iran ini. Daripada senjata yang diberikan oleh Korea Utara ini, Iran telah bertindak meniru sistem dan rekaan mesingan ini dan menghasilkan mesinga versinya sendiri dalam skala yang besar.

5. Telefon pintar Arirang

telefon pintar korea utara

Tidak hanya sistem operasi bagi komputer, malah Korea Utara juga didakwa membangunkan telefon pintarnya sendiri yang diberi nama Arirang. Sama seperti sistem operasi Red Star, telefon pintar ini juga bertujuan untuk mengawal segala komunikasi rakyat Korea Utara. Telefon pintar Arirang ini juga menggunakan sistem operasi khas yang dibina berdasarkan sistem operasi Android.

Dari segi capaian internet pula, telefon ini hanya boleh mengakses beberapa laman web tertentu yang berada dalam sistem intranet Korea Utara. Selain itu, Koryolink iaitu penyedia servis komunikasi telefon juga mengehadkan panggilan kepada panggilan domestik sahaja bagi mengelakkan telefon pintar ini disalah guna oleh rakyat Korea Utara.

Kredit:

  1. News Network
  2. The Guardian
  3. Missile Threat
  4. AutoWeek



Hakcipta iluminasi.com (2017)