gambar dari filem berjudul "Padmaavat"

Kesultanan Delhi adalah kesultanan Islam yang wujud di India antara abad ke-13 hingga abad ke-16. Bertempat di Delhi, wilayah kesultanan Islam ini kebanyakannya terletak di bahagian utara negara itu. Pada waktu kemuncak kesultanan ini, kebanyakan wilayah lain di India juga berada di bawah pentadbirannya. 

Sepanjang sejarahnya, Kesultanan Delhi ini telah diperintah oleh lima dinasti yang berbeza iaitu Dinasti Mamluk, Dinasti Khalji (juga dikenali sebagai Khilji), Dinasti Tughluq, Dinasti Sayyid dan Dinasti Lodi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setelah sultan yang terakhir daripada Dinasti Lodi terbunuh dalam peperangan, berakhirlah legasi Kesultanan Delhi dan bermulalah pula asas Empayar Mughal.

Dinasti Hamba

pahlawan mamluk

Sebelum penubuhan Kesultanan Delhi, tentera Islam dari Asia Tengah kerap menyerbu dan bertempur dengan kerajaan-kerajaan di utara India. Kejadian ini berterusan sehingga pemerintahan Muhammad Ghor, sultan Dinasti Ghurid dari Pakistan. Dia berusaha menubuhkan sebuah negeri Islam secara tetap di utara India, bukan sekadar menjajah tanah-tanah di kawasan ini.

Ketika itu, Muhammad Ghor tidak mempunyai anak lelaki sebagai pewaris. Apabila dia dibunuh pada tahun 1206, kerajaannya itu dibahagikan di kalangan hamba-hambanya yang berbangsa Turki. Salah seorangnya ialah Qutbu I-Din Aibak yang kemudian menjadi pemerintah di Delhi, sekaligus menubuhkan Kesultanan Delhi.

Dinasti pertama Kesultanan Delhi ini telah dirujuk sebagai Dinasti Mamluk, juga dikenali sebagai Dinasti Hamba atau Dinasti Ghulam. Dinasti ini telah meneruskan dasar yang dibawa oleh Almarhum Muhammad Ghor tentang peluasan kuasa. 

makan razia sultana

Makam Razia Sultana, satu-satunya pemimpin wanita Kesultanan Delhi dari 1236-1240

Pada pertengahan abad ke-13, kekuasaan Dinasti Mamluk ini sudahpun tersebar dan menguasai kawasan di utara India dari Genting Khyber di barat sehingga ke Bengal di Timur.

Dinasti Mamluk ini berakhir pada tahun 1290 kerana perbalahan di kalangan golongan bangsawan sendiri. Sultan terakhir daripada Dinasti Mamluk iaitu Muiz ud-Din Qaiqabad telah mati dibunuh oleh Jalal ud-Din Khalji, pengasas Dinasti Khalji.

Salah seorang tokoh paling menonjol dalam Dinasti Mamluk adalah Razia Sultana. Dia merupakan salah seorang pemerintah wanita yang sangat sedikit jumlahnya dalam sejarah Islam dan satu-satunya pemerintah wanita dalam Kesultanan Delhi.

Dinasti seterusnya

gerbang alai dan qutub minar

Gerbang Alai dan Qutub Minar dibina semasa Dinasti Mamluk dan Khalji

Dinasti kedua dalam Kesultanan Delhi adalah Dinasti Khalji. Pengasas dinasti ini merupakan pecahan puak daripada Dinasti pertama dan telah memerintah Kesulatanan Delhi selama 3 dekad sehingga tahun 1320.

Walaupun pemerintahan Dinasti Khalji ini tidaklah begitu lama, namun mereka merupakan penakluk yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahan mereka hingga ke Deccan.

Selain itu, tentera Dinasti Khalji juga berjaya sampai ke bahagian selatan India dan penguasaan kerajaan-kerajaan Hindu yang utama di sana juga telah dikurangkan.

bangunan binaan empayar tughluq

Bangunan bercirikan senibina Empayar Tughluq

Namun, pencapaian terbesar Dinasti Khalji adalah dalam perang mereka menentang Mongol. Atas kekuatan pasukan tentera mereka, Dinasti Khalji berjaya menangkis beberapa serangan besar yang dilakukan puak Mongol.

Sama seperti Dinasti pertama Kesultanan Delhi, Dinasti Khalji juga berakhir apabila pemerintah terakhirnya dibunuh. Pembunuh itu adalah Ghiyath al-Din Tughluq, pengasas kepada Dinasti Tughluq. 

Semasa pemerintahan salah seorang sultan Dinasti Tughluq yang bernama Muhammad bin Tughluq, Kesultanan Delhi mencapai tahap kegemilangan yang tinggi. Namun, kegemilangan itu hanya berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dari 1330 hingga 1335.

duit syiling kesultanan delhi

Wang syiling Kesultanan Delhi

Banyak pemberontakan telah berlaku selepas itu dan mengakibatkan Kesultanan Delhi kehilangan banyak wilayah. Selain itu, pemerintah Dinasti Tughluq tidak cuba untuk mendapatkan kembali wilayah-wilayah yang hilang ini.

Sebagai contoh, kaum bangsawan Islam di Deccan berjaya menggulingkan Kesultanan Delhi di situ dan menubuhkan Kesultanan Bahmani pada tahun 1347. Pada 1351 pula, Empayar Hindu Vijayanagara pula ditubuhkan setelah mendapat kemerdekaan daripada Kesultanan Delhi. Pada tahun 1398/99, Kesultanan Delhi mengalami kekalahan terbesar mereka di tangan Tamerlane.

Dinasti Tughluq terus memerintah sehingga 1413. Selepas itu ia digantikan pula oleh Dinasti Sayyid. Secara politiknya, dinasti ini hanya mempunyai sedikit catatan tentang pencapaiannya selain pengukuhan Islam di rantau Kashmir.

Kejatuhan Kesultanan Delhi

sultan ibrahim lodi

Sultan Ibrahim Lodi, pemerintah terakhir Kesultanan Delhi

Dinasti terakhir Kesultanan Delhi adalah Dinasti Lodi, pemerintah yang berasal dari Afganistan. Pengasas dinasti ini ialah Bahlul Lodi yang telah berkhidmat sebagai gabenor Punjab. Dia telah merampas kuasa setelah sultan terakhir dari Dinasti Sayyid meninggal dunia tahun 1451.

Walau bagaimanapun, sultan-sultan Dinasti Lodi sudah tidak dapat membendung lagi kejatuhan mereka. Kesultanan Delhi akhirnya berakhir ketika pemerintahan sultan ketiga iaitu Sultan Ibrahim Lodi.

Sultan terakhir ini direkodkan sebagai seorang pemimpin yang lemah dan korup. Salah seorang gabenor daerahnya yang juga keturunan Dinasti Lodi telah menjemput Babur, pengasas kepada Empayar Mughal untuk menakluk Kesultanan Delhi dan menamatkan pemerintahan kesultanan Islam di Delhi itu.

Rujukan:

1. New World Encyclcopedia

2. Columbia

3. Britannica




Hakcipta iluminasi.com (2017)