asal usul parkir kereta berbayar

Zaman sekarang, ke mana-mana dengan kenderaan tak sahlah kalau kita tak dikenakan caj parkir kereta. Kalau ada kawasan parkir percuma tu, seolah-olah tak percaya pula kewujudannya.

Bagaimanapun, satu masa dulu parkir kereta pernah tak dikenakan sebarang caj dan tidak ada pihak yang nak kutip pun bayaran parkir ni. Semuanya berubah selepas seorang peguam dan usahawan bernama Carl C. Magee memperkenalkan ciptaannya - meter bayaran parkir kereta pertama dunia.

meter parkir syiling klasik penang

Carl C. Magee mempunyai pengalaman kerja yang banyak dalam bidang perbicaraan dan juga terbabit dalam bidang kewartawanan. Berikutan pengaruhnya, pandangannya ditagih oleh banyak pihak sehingga membuatkan nama Magee menjadi agak terkenal jugalah.

Penciptaan meter parkir pertama dunia

pencipta parkir kereta

Berasal daripada Oklahoma City, karier Magee membawa beliau ke banyak tempat seperti New Mexico dan Wyoming, sebelum dia mengambil keputusan kembali ke kampung halamannya bagi memulakan penerbitan surat khabar baru, di bawah kendaliannya sendiri.

Pengurusan bandar Oklahoma City ketika itu menghadapi satu masalah - mereka kekurangan kawasan parkir kereta dan menguruskannya menjadi satu bebanan besar. Jadi mereka pun meminta pandangan Magee.

Magee pun menjalinkan kerjasama dengan dua orang profesor di Oklahoma State University bernama George Thuesen dan Gerald A.Hale untuk mencipta satu peranti mudah bagi menyelesaikan masalah pengurusan bandar yang dihadapi.

Kedua-duanya berjaya menyiapkan rekaan sebuah meter parkir menggunakan duit syiling pada tahun 1933. Meter itu kemudiannya dipersembahkan pada majlis perbandaran Oklahoma City oleh Magee dan diperkenalkan pada orang ramai buat kali pertama pada bulan Mei tahun 1935.

Penduduk Oklahoma City mula membayar parkir

sejarah parkir kereta

Hasil ciptaan itu mendapat maklum balas yang berbeza-beza daripada ahli masyarakat. Ada yang dapat melihat faedah di sebalik keperluan pembayaran parkir. Namun ramai yang mengkritik mesin tersebut kerana merasakan bayaran parkir merupakan satu bentuk cukai ke atas orang ramai.

Itu tidak menghalang Magee menerusi syarikatnya Dual Parking Meter Company memasang barisan meter parkir bermula bulan Julai 1935 dengan nama 'Park O'Meter.' Dengan bayaran 1 nickel (5 sen) satu jam, ciptaan itu mendapat sokongan dan juga tentangan masyarakat. Pihak pekedai melihat ciptaan itu membolehkan keluar masuk pelanggan berlaku dengan lebih kerap.

Idea memperkenalkan bayaran parkir kereta dilihat berjaya menghadkan masa orang ramai menggunakan parkir. Bagi melindungi pengguna, kerajaan tempatan ketika itu mengehadkan hasil kutipan hanya sekadar untuk mendapatkan semula kos pemasangan dan penyelenggaraan meter-meter yang dipasang, bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Namun pihak pengurusan bandar mendapati mereka berdepan kekangan kos, selepas perlu melantik lebih ramai pegawai trafik bagi menguruskan peraturan meter parkir. Jadi kelonggaran mula diberikan.

Semua orang mula membayar parkir

parkir kereta di hospital sesak

Hasil ciptaan itu mula ditiru di beberapa negeri lain. Miami memperkenalkan rekaan serupa dengan pemasangannya dimulakan pada tahun 1936. Bagi melindungi ciptaannya, Carl C.Magee berjaya dianugerahkan paten bagi rekaan meter parkir itu pada tahun 1938, 3 tahun selepas diperkenalkan.

Pengenalan parkir meter seterusnya mula diadaptasi di banyak lagi kawasan di sekitar Amerika Syarikat dengan 140,000 ribu unit meter parkir dianggarkan telah dipasang pada awal era 1940.

Terpulang kepada anda sama ada anda mahu melihat bayaran parkir sebagai sesuatu yang memudahkan atau menyusahkan, kerana pada kami perkara itu subjektif. Walau bagaimanapun, inilah kisahnya bagaimana bayaran parkir dimulakan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)