Oleh pada 08 Jun 2018 kategori

Hutan sememangnya kaya dengan pelbagai sumber semulajadi. Penebangan dan kemusnahan hutan mempunyai kesan buruk kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu dan kemusnahan habitat semulajadi haiwan.

Akibat permintaan yang tinggi terhadap kayu misalnya, manusia semakin rakus membuat aktiviti pembalakan. Sumber kayu ini mendapat banyak permintaan terutamanya dalam industri pembuatan perabot, pembangunan dan banyak lagi. Malah di Malaysia sekalipun, ada pihak yang sanggup melakukan aktiviti pembalakan secara haram.

Bagi mengatasi sumber kayu-kayan ini semakin berkurang, maka perancangan untuk penanaman semula adalah penting. Malangnya, aktiviti penanaman semula ini juga tidak mudah, mahal dan mengambil masa yang lama. Dengan cara konvensional, tanah perlu dikorek, diletakkan benih dan dibaja untuk membolehkan pokok tumbuh dan hidup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cara ini mungkin praktikal sekiranya anda menanam tumbuh-tumbuhan dan pokok di ladang milik anda. Bagaimana pula sekiranya anda hendak menanam semula pokok-pokok di kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari akses kenderaan? Seedball mungkin jawapannya.

Apa itu Seedball?

Seedball bukanlah sesuatu yang baru malah dikatakan sudah wujud sejak zaman Mesir Purba lagi untuk melakukan penanaman semula ladang akibat daripada banjir dari Sungai Nil yang berlaku setiap tahun. Ianya kemudian dipopularkan kembali di Jepun oleh Masanobu Fukuoka.

Seperti namanya, Seedball (nendo dango dalam bahasa Jepun) bermaksud bebola yang mengandungi pelbagai rumusan khas seperti benih, baja dan nutrien yang mencukupi untuk membolehkan pokok bercambah dan tumbuh membesar secara semulajadi.

seedball bercambah 471

Kebiasaannya, lapisan luarnya diperbuat daripada tanah liat dan arang untuk mengelakkannya daripada dimakan oleh binatang dan serangga. Bagaimanakah caranya untuk menanam seedball ini? Mudah. Hanya campakkannya kemana-mana kawasan tanah lapang yang mahu ianya tumbuh.

Projek Seedball di Kenya

Di negara-negara Afrika seperti Kenya, kayu-kayan merupakan sumber semulajadi untuk membina tempat tinggal dan juga sebagai bahan bakar. Menurut kajian yang dijalakan, pengurangan pokok in kawasan Kenya ini memberi kesan kepada binatang seperti zirafah yang amat bergantung padanya untuk makanan dan tempat berteduh.

Akibatnya, pada tahun 2016, pihak International Union for Conservation of Nature juga telah menyenaraikan zirafah kedalam senarai binatang yang diancam kepupusan di Kenya. Perkara ini semestinya membimbangkan dan memerlukan solusi yang pantas bagi menyelamatkan zirafah ini daripada terus berkurang.

Cuaca setempat yang panas dan lokasi yang terpencil juga menyukarkan proses penanaman semula dilakukan. Apabila hujan, air hujan akan melarutkan salutan lapisan luar seedball ini, seterusnya membolehkan pokok mula bercambah.

pokok bercambah dari seedball

Menyedari akan kepentingan penanaman semula pokok, maka sebuah projek yang diberi nama Seedballs Kenya telah dilancarkan pada tahun 2016. Statistik daripada laman web rasmi Seedballs Kenya melaporkan semenjak projek ini dilancarkan, mereka sudah "menanam" kira-kira 2.5 juta seedball di seluruh Kenya sahaja.

Penghutanan semula melalui udara

penghutanan semula dari udara

Projek Seedballs Kenya mendapat sambutan baik daripada para penduduk di kampung-kampung di Kenya dan juga sekolah di sana. Kebanyakan penduduk menyambut baik program ini memandangkan ianya begitu mudah dilakukan, mereka hanya perlu mencampakkan seedball ini dimana-mana sahaja kawasan yang dirasakan sesuai.

Selain itu, program ini turut menggunakan teknik penghutanan semula melalui udara. Untuk tujuan ini, kapal terbang dan helicopter turut digunakan bersama-sama dengan teknologi GPS untuk mengesan kawasan-kawasan penting yang sangat memerlukan penghutanan semula.

Antara inisiatif yang dilakukan adalah membekalkan seedball ini kepada syarikat-syarikat pengangkutan helikopter yang membawa pelancong ke serata kawasan di Kenya. Ini secara tidak langsung menjimatkan kos, selain turut mengajak pelancong untuk turut sama menyertai kempen penghutanan semula ini.

Cara penghutanan semula ini dikatakan cara paling efektif dan menyeluruh. Dalam tempoh 20 minit sahaja, 20,000 seedball berjaya berjaya ditanam. Syarikat yang menghasilkan seedball ini berkata, buat masa ini mereka sudah mula mengeksport seedball ini ke Congo dan mereka berharap dapat mengeksportnya ke seluruh dunia pada masa akan datang.

Kredit:

  1. BBC
  2. Seedballs Kenya
  3. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)