Ratusan tahun dahulu sebelum orang Eropah menjejakkan kaki ke tanah yang kini dikenali sebagai Kenya, seorang tukang tilik daripada etnik tempatan bernama Kimnyole membuat ramalan suatu hari nanti tanah mereka akan diserang oleh seekor raksasa "ular besi".

"Ular besi" ini akan datang melintasi dataran berumput, membunuh binatang ternakan, merampas tanah penduduk tempatan dan menimbulkan kekacauan dalam kalangan penduduk tempatan. Menurutnya lagi, raksasa ini akan membawa masuk orang luar ke kawasan tersebut dan mengambil alih tampuk pimpinan daripada kuasa penduduk tempatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun ramalan tersebut tidak begitu jelas, ianya memberi satu petanda buruk kepada penduduk tempatan. Ianya menggambarkan penduduk tempatan akan mengalami suatu zaman kesusahan yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum itu.

Penentangan daripada penduduk asal tempatan

singa afrika

Rupa-rupanya, raksasa "ular besi" yang diramalkan oleh Kimnyole ini merupakan sebuah projek pembinaan kereta api akan menghubungkan kawasan Uganda dan Kenya. Orang British menggelarnya "Ekspres Lunatic" kerana ianya dianggap projek gila yang telah menyebabkan pembaziraan duit dan kematian banyak nyawa manusia sewaktu pembinaannya.

Etnik Nandi iaitu penduduk asal disini pada awalnya sangat menentang pembinaan landasan kereta api ini. Mereka telah berjuang berhabis-habisan dengan pendatang berkulit putih ini sehinggakan ribuan daripada mereka telah terkorban.

Walaupun ramalan Kimnyole terbukti benar, kedatangan "ular besi" ini telah menyebabkan perubahan drastik kepada tanah dan kehidupan penduduk tempatan yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum itu.

Keghairan penjajah barat menerokai kawasan baru

pelabuhan mombasa 331

Projek pembinaan landasan kereta api ini lahir pada masa kuasa-kuasa Eropah sedang ghairah meneroka ke seluruh dunia untuk mencari tanah jajahan baru dan meluaskan empayar mereka di Afrika.

Menjelang penghujung abad ke 19, banyak koloni Eropah telah mewujudkan kawasan perdagangan di kawasan pesisir pantai. Namun, hanya sedikit sekali yang berjaya meneroka kawasan baru terutamanya di kawasan pedalaman.

Pada waktu itu, penguasaan British dapat dilihat kebanyakannya di sekitar Mesir, Afrika Selatan dan Afrika Timur. Kawasan di bahagian pantai timur ini kemudiannya berpecah kepada 20 buah negara yang ada pada masa kini.

Sementara itu, penguasaan Perancis pula tertumpu kepada kawasan Afrika Barat dan daripada situ, mereka secara perlahan-lahan mula menerokai ke kawasan pedalaman Afrika. Matlamat mereka pada ketika itu adalah membina sebuah empayar besar yang meliputi kawasan daripada kawasan timur ke barat.

Bagi menghalang Perancis meneruskan matlamatnya itu, pihak British telah membina landasan kereta api yang menghubungkan pelabuhan di Mombasa ke bahagian pantai timur di Tasik Victoria, iaitu sumber air Sungai Nil, sebelum akhirnya menguasai Sungai Nil itu sendiri.

Sungai Nil adalah sungai yang membahagikan kawasan selatan dan utara. Dengan penguasaan terhadap sungai ini, ianya dapat menghalang mana-mana kuasa daripada menubuhkan empayar yang meliputi kawasan timur dan barat. Selain itu, penguasaan terhadap sungai ini juga mempunyai kelebihan komersil memandangkan ianya merupakan laluan perdagangan.

Idea pembinaan landasan kereta api Kenya-Uganda

kereta api kenya uganda

Pada Disember 1895, George Whitehouse seorang jurutera British telah ditugaskan untuk membuat lakaran laluan kereta api yang akan bersambung ke pelabuhan di Mombasa. Lakarannya ini menunjukkan landasan kereta api ini akan dibina ribuan kilometer jauhnya dan merupakan salah satu projek kejuruteraan terbesar British pada ketika itu.

George Whitehouse sedar bahawa projek ini bukan sahaja begitu mahal, tetapi mereka bakal berdepan pelbagai kesukaran seperti cabaran fizikal dan bentuk muka bumi kawasan yang terlibat. Sebagai contoh, di bahagian barat Mombasa terdapat satu kawasan luas yang langsung tidak mempunyai sumber air.

Selain itu, landasan kereta api ini turut akan melintasi kawasan hutan dan padang pasir sejauh 500km yang merupakan kawasan habitat singa liar dan nyamuk. Kemudian, landasan itu akan merentasi kawasan dataran tinggi gunung berapi. Seterusnya, 150km yang terakhir pula landasan ini akan merentasi kawasan tanah yang lembap.

Pembinaan landasan kereta api ini bermula dari Mombasa pada tahun 1896. Majoriti pekerja yang terlibat dalam projek pembinaan ini datangnya daripada kawasan jajahan British India. Pihak British berjaya menghasut para pekerja ini dengan menawarkan gaji yang lumayan, makanan percuma dan percutian percuma.

Digelar projek gila 

pembinaan jalan kereta api

Dianggarkan 37,000 orang pekerja mahir dan tidak mahir terlibat dalam projek ini. Dalam tempoh 1 tahun sahaja, hampir separuh daripada pekerja ini telah menarik diri akibat pelbagai penyakit. Malah, kepanasan melampau dan ribut pasir menjadikan keadaan begitu sukar dan merbahaya kepada para pekerja.

Kira-kira 2500 orang pekerja terbunuh dalam projek pembinaan ini. Daripada jumlah asal yang terlibat, anggaran 6700 telah bersetuju untuk meneruskan projek ini dan mereka inilah yang telah membentuk komuniti India pertama di Kenya.

Kos awal untuk membina landasan kereta api ini dikatakan sekitar $5 juta pada nilai ketika itu. Namun, kosnya meningkat sehingga $9 juta untuk British menyiapkan projek ini. Kos yang terlalu tinggi ini telah menarik minat media dan pihak pembangkang yang rata-rata tidak senang dengan tindakan kerajaan British ini.

Dengan kos yang tinggi serta jumlah pekerja yang terbunuh, maka tidak hairanlah ramai yang menggelarkan projek pembinaan landasan kereta api ini sebagai "lunatic" yang bermaksud gila. Maka wujudlah istilah "Lunatic Express", istilah yang digunakan oleh Charles Miller dalam bukunya "The Lunatic Express: An Entertainment in Imperialism" yang diterbitkan pada tahun 1971.

Sumbangan Ekspres Lunatic kepada tanah Afrika

nairobi

Beratus tahun selepas siapnya projek ini, ianya memainkan peranan penting kepada perkembangan tanah Afrika dan memudahkan penerokaan kawasan Timur Afrika dan menghubungkannya dengan kawasan Barat.

Sebelum wujudnya landasan kereta api ini, Nairobi merupakan sebuah kawasan tanah paya yang terbiar. Kini, ianya merupakan bandar yang terbesar di Kenya dengan populasi melebihi 3 juta manusia.

Khidmat kereta api Ekspres Lunatic ini terus beroperasi selama 116 tahun sebelum dihentikan pada tahun 2017. Kini, servisnya diganti pula dengan kereta api baru yang lebih laju di mana landasannya dibina selari dengan landasan asal Ekspres Lunatic.

Walaupun dianggap sebagai projek gila, sumbangan projek ini terhadap perkembangan Nigeria tidak dapat dinafikan. Memetik kata Charles Elliot, pegawai tinggi British di Afrika Timur antara 1900 dan 1904, beliau berkata "Sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah negara membina landasan kereta api, namun ianya sangat luar biasa sesebuah landasan kereta api mampu membina sebuah negara".

Kredit:

  1. Daily Mail Online
  2. SCMP
  3. HuffPost



Hakcipta iluminasi.com (2017)