Oleh pada 09 Jun 2019 kategori

Murtad merupakan satu fenomena aqidah yang menjadi sangat popular pada zaman sekarang. Penulis yang merupakan seorang peminat syarahan-syarahan agama, kerap kali melihat sendiri betapa terbukanya masyarakat luar daripada Malaysia khasnya di negara-negara Eropah dalam mengakui mereka sudahpun murtad.

Ada yang kelihatan bangga dengan tindakannya dan ada juga yang seakan keliru serta sedang mencari jawapan kepada persoalan dalam hatinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Aqidah merupakan tiang kepada kepercayaan dan keyakinan seorang umat Islam. Runtuh tiang ini, akan runtuhlah pegangannya. Bergegar keyakinan beliau, maka akan lebih mudahlah tiang itu diretakkan dan seterusnya dirobohkan untuk digantikan dengan tiang lain.

Memahami murtad

gadis murtad tanpa disedari 751

Murtad merupakan sebuah perkataan yang diambil daripada bahasa Arab. Dari segi bahasanya, asal sebenar perkataan 'murtad' datang daripada perkataan 'riddah' atau 'irtiddah.' Riddah membawa makna 'kembali atau merujuk kepada sesuatu yang lain atau berbeza.'

Sementara itu 'irtiddah' pula merujuk kepada golongan yang 'meninggalkan Islam untuk memilih pegangan agama lain.'

Apakah hukum murtad? Keluar daripada Islam merupakan satu perbuatan yang sangat-sangat dilarang oleh Allah swt. dalam firmannya yang berbunyi;

“Sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, orang yang sedemikian rosak binasalah amal usahanya di dunia dan di akhirat. Mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya.” (surah al-Baqarah ayat 217)

Bolehkah kembali pada Islam selepas murtad?

artis indonesia murtad

Daripada segi konteksnya, perbuatan murtad dilihat sebagai satu penyakit yang menjangkiti kepercayaan atau spiritual seseorang - dan boleh diubati. Jadi, seseorang yang murtad perlulah dipulihkan oleh mereka yang berada di sekeliling beliau, seperti ahli keluarga, saudara mara dan rakan serta sahabat.

Secara amnya, seandainya ada orang Muslim yang murtad dan kemudiannya tersedar daripada penyakitnya itu, dia masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat kepada Allah swt. Asalkan dia bersungguh-sungguh menyesali kesilapannya serta tidak mengulangi apa yang telah dia lakukan.

Larangan yang paling jelas berkenaan perbuatan ini ada disebutkan dalam al-Quran yang berbunyi : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran - Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.” (an-Nisaa ayat 137).

Dalam gejala murtad, perkara yang paling ditakuti sekiranya seseorang itu tidak diubati adalah pelaku murtad itu berupaya untuk menyebarkan wabaknya pada orang lain, seterusnya menghasut lebih ramai untuk mengambil tindakan serupa.

Tiga kategori perbuatan murtad

gejala murtad

Perlu diperjelaskan terlebih dahulu - menolak hukum Islam yang terang dan nyata juga mampu menyebabkan seseorang itu murtad. Hukum seperti pengharaman arak, larangan memakan babi atau tidak mempercayai kebenaran al-Quran boleh menjadi punca murtad. Bagaimanapun, menolak hukum yang mempunyai khilaf atau perbezaan pendapat tidak boleh menyebabkan jatuhnya murtad.

Mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan pandangan Islam juga mampu menyebabkan seseorang jatuh murtad seperti ayat yang popular iaitu 'cara Islam tidak lagi sesuai untuk zaman moden' atau 'menutup aurat bagi wanita merupakan perbuatan kuno.'

Oleh kerana ada banyak cara untuk menjadikan seseorang murtad, secara ringkasnya ada 3 kategori perbuatan yang boleh menyebabkan murtad. Yang pertama adalah melalui kata-kata atau murtad qawli seperti yang penulis jelaskan di atas. Mengeluarkan kata-kata atau perkataan yang menolak hukum dan prinsip Islam yang jelas hukumnya jatuh dalam kategori 'murtad qawli.'

Kategori perbuatan menjatuhkan murtad kedua adalah 'murtad fi'il.' Murtad fi'il berlaku menerusi perbuatan seperti seseorang yang menyembah manusia lain, patung, berhala, matahari atau planet lain. Aktiviti penyembahan sebarang objek atau makhluk lain yang dilakukan oleh Muslim akan dikira sebagai murtad fi'il.

Kategori terakhir adalah murtad i'tiqadi yang berlaku apabila seseorang Muslim meyakini ajaran agama lain lebih baik atau sama sahaja dengan ajaran Islam, melalui pengingkaran melalui hatinya. Murtad i'tiqadi berlaku melalui kepercayaan atau spiritualiti yang meletakkan Islam tidak berbeza dengan kepercayaan lain, seterusnya menyebabkan seseorang Muslim tidak yakin dengan kebenaran yang dibawa.

Rujukan

Irsyad al-Fatwa




Hakcipta iluminasi.com (2017)