Bercakap tentang piramid, minda kita biasanya akan terus berlegar ke binaan-binaan piramid yang terletak di Mesir.
Ini kerana berdasarkan kajian arkeologi yang telah dijalankan selama ini, piramid tertua di dunia dipercayai terletak di Mesir, dibina oleh raja pertama dinasti ketiga yang pernah wujud di sana iaitu Djoser, dibina dengan bantuan jurubina bernama Imhotep - berusia sekitar 4,700 tahun.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi peminat filem, Imhotep ni macam familiar kan? Hahaha. Tetapi kajian yang baru dilaporkan pada bulan Oktober 2023 telah mencabar dapatan ini. Uniknya, piramid yang kini masih dalam kajian ini bukan saja berusia berkali-kali ganda umurnya; piramid ini terletak tidak jauh dari kita....di Pulau Jawa, Indonesia.
Piramid Gunung Padang - piramid tertua dunia?
Piramid Gunung Padang terletak di puncak gunung tersebut, berada di Jawa Barat, Indonesia.
Pada awal penemuannya, Gunung Padang dikatakan adalah sebuah tapak megalitik tetapi kajian menunjukkan binaan-binaan yang ditemui di sana telah menunjukkan petanda Gunung Padang bukan sekadar tapak megalitik biasa.
Ini kerana berdasarkan kajian bertahun-tahun yang telah dijalan dan dilaporkan melibatkan pasukan ahli arkeologi, geofizik, geologi dan juga paleontologi, berkemungkinan besar piramid yang ada di sana merupakan piramid tertua di dunia, jauh mendahului piramid di Mesir - dengan anggaran usia di antara 25,000 ke 14,000 tahun lamanya.
Ditemui oleh kumpulan ekspedisi wakil penjajah Belanda pada awal abad ke-20, penemuan itu membawa kepada minat para penyelidik untuk mengkaji struktur mirip piramid, menjadi subjek kajian dan kekaguman di kalangan penyelidik dan sejarawan.
Struktur unik hasil kerja berabad manusia
Piramid Gunung Padang berdasarkan laporan yang telah diwartakan, cukup unik dalam strukturnya.
Perimeternya memanjang, meliputi kawasan seluas kira-kira 15 hektar (150,000 meter persegi).
Apa yang disangkakan 'gunung', sebenarnya adalah lapisan-lapisan struktur yang berbeza dibuat penduduk di kawasan tersebut, melalui beberapa peringkat atau fasa selama beribu-ribu tahun; setiap lapisan mewakili zaman yang berbeza.
Setakat apa kita ketahui kini, lapisan terawal piramid itu dibentuk menggunakan lahar gunung berapi yang diukir sehingga menutupi sebuah gunung berapi tidak aktif. Binaan itu kekal dalam bentuk sedemikian sehinggalah sekitar abad 7900 ke 6100SM, di mana teknologi zaman tersebut membolehkan manusia membentuk batuan untuk binaan disokong oleh tiang-tiang ukiran batu.
Lapisan seterusnya yang belum dapat dikenalpasti bila berlaku dibentuk daripada tanah yang menutupi keseluruhan binaan yang ada, sehingga menyembunyikan binaan tersebut.
Lapisan terakhir yang membentuk permukaan Gunung Padang sekarang pula dipercayai terbentuk hasil kerja tangan manusia zaman tersebut menambakkan tanah, membina tiang-tiang batu sebagai tempat pemujaan dan beberapa elemen lagi. Proses ini dikatakan terjadi sekitar 2000 ke 1100SM.
Apa yang sangat menakjubkan, berdasarkan penemuan yang telah dibuat - keseluruhan Gunung Padang itu dipercayai dibuat menggunakan tangan manusia.
Binaan gergasi visi raja dalam legenda
Bagi komuniti tempatan, Gunung Padang bukan hanya sekadar tapak arkeologi untuk dijadikan kajian.
Semenjak disahkan sebagai salah satu binaan piramid yang telah 'terkubur' dek perubahan zaman pada tahun 2021, kawasan ini telah menjadi destinasi penyelidik dan juga pelancong yang mahu melihat sendiri binaan gergasi ini.
Dikenali dengan nama "punden berundak," yang bermaksud "piramid bertingkat," tapak ini dianggap suci oleh masyarakat Sunda. Mereka percaya piramid ini adalah salah satu peninggalan Raja Siliwangi, seorang raja masyarakat di sana yang sangat terkenal dalam hikayat legenda tempatan.
Salah satu hikayat yang diceritakan secara lisan menyebut, Raja Siliwangi mempunyai hasrat untuk membina sebuah istana dalam satu malam. Struktur yang telah dibina di Gunung Padang itu dipercayai mereka sebagai binaan yang telah berjaya dibina semasa zaman pemerintahan raja itu.
Menjawab persoalan yang telah lama diungkapkan
Laporan penyelidikan terbaru ini walaupun belum mendapat liputan media secara lebih meluas, telah menjawab satu pertikaian yang lama berlegar di kalangan penyelidik dan penduduk tempatan.
Adakah Gunung Padang ini sebuah gunung atau sebuah binaan manusia sepenuhnya Dengan bentuknya yang seakan-akan benar menyerupai sebuah piramid, statusnya sebagai sebuah gunung sering dipertikai.
Dengan menggunakan teknologi radar, mesin pengimbas X-Ray, GPS serta mesin penggali, telah ditemui petunjuk bahawa gunung tersebut bukan sebuah gunung - sebaliknya adalah piramid yang telah terlindung.
Anggaran lebih awal yang telah dilaporkan beberapa tahun sebelum ini bahawa piramid Gunung Padang berusia hanya sekitar 8,000 tahun juga sedang dicabar pasukan penyelidik. Kerana mereka menemui bahan yang apabila diuji usia karbonnya, sudah berusia sekitar 25,000 tahun.
Misteri aneh yang belum terungkai
Walaupun kami menulis berkenaan topik ini, kami harus nyatakan kepada anda laporan ini masih diperdebatkan penyelidik di seluruh dunia. Maklumlah, bukan mudah untuk rekod sejarah dunia signifikan seperti ini diubah begitu saja.
Selain itu, masih ada banyak misteri yang belum dapat dijawab berkenaan piramid Gunung Padang. Antaranya adalah kenapa penduduk di sana memilih untuk menutup binaan yang telah siap dengan sengaja?
Yang kedua, dalam laporan serupa ada diceritakan - selepas proses penggerudian menggunakan mesin di beberapa tapak dilakukan pada kedalaman tertentu, dipercayai wujud ruangan besar dalam piramid tersebut, belum diketahui sama ada binaan semulajadi seperti gua atau mewakili ruangan hasil binaan manusia.
Sekiranya anda terpilih untuk menjadi manusia pertama masuk ke dalam ruangan tersebut, sanggupkah anda?
Apa agaknya yang akan anda jumpa?
Rujukan
Geo-archaeological prospecting of Gunung Padang buried prehistoric pyramid in West Java, Indonesia
New evidence strongly suggests Indonesia's Gunung Padang is oldest known pyramid