Oleh pada 25 Jun 2020 kategori

Orang Melayu itu rumpunnya di nusantara. Itu adalah pendapat yang dipegang, hasil daripada sejarah masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan ini sejak sekian lama.

Cabang Melayu itu dikatakan luas, bukan saja terhad kepada orang di Malaysia (kini) sebaliknya turut meliputi kawasan Indonesia, selatan Thailand sehinggalah sejauh Champa yang kini terletak dalam Kemboja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga kini kita ada orang Melayu Bugis, Melayu Pattani, Melayu Sri Lanka, Melayu Filipina, Melayu Brunei dan banyak lagi pecahan orang Melayu, merangkumi apa yang diistilahkan sebagai 'orang Austronesia' dalam lapangan kajian sains.

Persoalan utamanya di sini, jika sejarah orang Melayu menyatakan Melayu itu besar jejaknya - kenapa pula orang Indonesia menggunakan nama 'Indo' tidak menggunakan nama 'Melayu'?

Nama-nama awal Indonesia

peta pulau jawa dahulu

Kawasan asal Indonesia sejak zaman dahulu kala mempunyai banyak gelaran, bergantung kepada tanah asal orang yang menyebutnya.

Orang tanah besar China menggelarkan kepulauan Indonesia sebagai 'Nan-hai' yang membawa makna pulau di bahagian selatan lautan.

Nama Indonesia bagi rujukan orang tanah besar India pula adalah 'Dwipantara', diambil daripada gabungan bahasa Sanskrit 'dwipa' yang membawa makna pulau dan 'antara' yang bermakna seberang, jadi Dwipantara merujuk kepada sebuah pulau yang berada jauh di seberang.

Orang-orang Arab pula menggelarkan Indonesia sebagai 'Jazair al-Jawi' yang merujuk kepada kepulauan diduduki oleh orang-orang berketurunan Jawa.

Tidak ada istilah 'Indo' digunakan dalam semua nama di atas. Mana datangnya istilah itu?

Pengaruh penjajah dalam menamakan lokasi

nederlands indiesch

Disebabkan oleh kekangan pengetahuan masyarakat barat zaman dahulu tentang tanah dan benua di bahagian Asia Tenggara, mereka lebih gemar menggunakan istilah 'India Timur' bagi merujuknya.

Gerakan kolonial Belanda yang bermula pada abad ke 16 di bawah Syarikat India Timur Belanda yang menjajah Indonesia, menamakan kawasan Indonesia sebagai 'Dutch East Indies' bagi merujuk kepada koloni mereka.

Seluruh kawasan tersebut dianggap sebahagian daripada koloni Belanda bermula pada tahun 1800 dengan nama rasminya dalam istilah Belanda 'Nederlandsch-Indiƫ.'

Istilah itu pula datang daripada istilah yang digunakan oleh orang barat untuk merujuk kepada tanah besar India, diambil daripada perkataan Latin 'indus' kerana pada masa itu, mereka beranggapan tanah besar India itu luas dengan taburan etnik yang besar.

Pada era ini, nama Indonesia di kalangan pihak barat wujud dalam pelbagai format. Ada yang menggelarkannya East Indies, ada yang menggelarkannya Insulinde (Kepulauan India) dan ada juga yang menamakannya sebagai 'Indian Archipelago.'

Selain itu, gelaran yang turut digunakan adalah 'Oost-Indie,' ' Indische Archipel', ' East Indian Archipelago', 'Eastern Archipelago' dan beberapa gelaran lain. Kesemuanya berkisar kepada penggunaan istilah 'India' yang sebenarnya agak kurang tepat.

Usaha menamakan semula Indonesia

james richardson logan

Disebabkan oleh pengetahuan bahawa tanah besar India dan kepulauan Indonesia bukanlah berkait antara satu sama lain, usaha orang barat untuk menamakan semula Indonesia mula dijalankan, bagi merungkai kekeliruan yang ada.

Dua nama yang kerap disebutkan sebagai penyebab utama kewujudan nama 'Indonesia' sekarang, adalah George Samuel Windsor Earl seorang peguam dan penulis dari Britain dan James Richardson Logan, seorang peguam dan penulis Scotland yang berkhidmat di Pulau Pinang.

Kedua-dua individu sudah sekian lama belayar di sekitar Asia Tenggara, sebelum kedua-duanya bertemu dan bekerjasama di bawah satu firma yang terletak di Singapura pada tahun 1850.

Earl mencadangkan dua nama, sama ada 'Indunesia' atau 'Melayunesia.' Kedua-duanya merupakan gabungan perkataan asal iaitu 'Indies' atau 'Melayu', dicantumkan dengan perkataan Greek 'nesos' yang membawa maksud pulau.

Bagi Earl, nama 'Melayunesia' yang membawa makna Kepulauan Melayu untuk merujuk Indonesia, bertepatan dengan susur galur masyarakat yang menetap di situ serta lebih spesifik berbanding istilah 'Indies' atau 'Hindu' yang mereka gunakan.

Logan dalam tulisannya yang terbit selepas tulisan Earl menganggap pilihan Earl tidak tepat, kerana nama 'Indunesia' yang dicadangkan Earl lebih baik.

Bagi Logan 'Indunesia' mengambil kira faktor geografi kedudukan kepulauan tersebut, berbanding 'Melayunesia' yang menggunakan nama etnik penduduk di situ.

Bagaimanapun, dalam tulisannya juga Logan tidak menggemari istilah Greek yang digunakan, sebaliknya mencadangkan agar penyelidik barat memperkenalkan satu istilah Inggeris yang lebih sesuai bagi menggantikan 'nesos'.

Nama 'Indonesia' mula popular

adold bastien indonesia

Walaupun tidak menggemari terma gabungan 'Indies' dan 'Nesos' (Nesia), Logan tetap menggunakan istilah itu dalam tulisannya bagi merujuk kepada kepulauan tersebut berbeza dengan Earl yang terus berhenti menggunakan istilah tersebut - walaupun dia yang mencadangkannya sendiri.

Satu perubahan yang dilakukan Logan adalah ejaannya. Logan menukarkan ejaan asal Earl daripada 'Indunesia' kepada 'Indonesia.'

Malang bagi mereka berdua, penggunaan istilah 'Indonesia' hanya mula popular selepas penerbitan koleksi tulisan seorang pengkaji Jerman bernama Adolf Bastian pada tahun 1884.

Dalam bukunya 'Indonesian oder die Inseln des Malayischen' yang diterbitkan di Berlin, istilah 'Indonesia' mula digunakan secara meluas sehinggakan Bastian dikreditkan sebagai pencipta nama Indonesia yang sebenar; walaupun Bastian sendiri pernah merekodkan nama Logan sebagai rujukan beliau dalam tulisan lebih awal pada tahun 1869.

Namun sehingga kini masih ramai yang tersalah sangka menganggap Adolf Bastian adalah pencipta istilah 'Indonesia' sedangkan Logan mengambilnya daripada istilah cadangan Windsor Earl, yang tidak digemari perekanya sendiri.

Identiti Indonesia mula berkembang

revolusi indonesia menjelang kemerdekaan

Bermula sebagai rujukan geografi, istilah 'Indonesia' mula berkembang menjadi satu identiti dan budaya sebelum mula dipilih menjadi nama komuniti.

Pada bulan November 1917, kumpulan pelajar Indonesia di Belanda mula menggunakan nama 'Indonesisch Verbond van Studeerenden' atau Persatuan Pelajar Indonesia, menandakan kali pertama istilah tersebut digunakan secara rasmi dalam bentuk pergerakan.

Kongres Pemuda yang dianjurkan di Betawi pada tahun 1928 menjadi titik penting pembentukan identiti baru 'Indonesia', selepas persidangan tersebut berjaya mencapai persetujuan untuk menggunakan ideologi satu bangsa (bangsa Indonesia), satu bahasa (bahasa Indonesia) dan satu tanahair (Indonesia) sebagai penyatu identiti masyarakat mereka.

Disebabkan oleh gerakan nasionalis yang dilihat semakin hangat bermula, kerajaan Belanda yang pada ketika itu melihat penyatuan identiti ini sebagai satu ancaman yang besar pada kedudukan mereka.

Beberapa pihak cuba menenggelamkan identiti yang menyatukan hampir keseluruhan masyarakat ketika ini, menyamakan 'Indonesia' sebagai satu taktik ciptaan komunis dalam menjatuhkan kerajaan kolonial yang sah.

Akhirnya selepas desakan demi desakan yang menuntut agar Belanda keluar bagi membolehkan sebuah negara republik baru dibentuk, penjajah Belanda akhirnya bersetuju untuk mengiktiraf terma 'Indonesia'; meminda perlembagaan yang dibuat Belanda pada tahun 1948 - memadamkan nama rasmi Nederlandch-Indie digantikan dengan nama baru 'Indonesie' atau Indonesia yang ada sekarang.

Rujukan

Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor

Earl, Logan and "Indonesia"




Hakcipta iluminasi.com (2017)