unit 8200 idf israel 628

Sama seperti warga Israel lain ketika berusia 18 tahun, K memulakan khidmat tentera mandatori. Dia bersedia untuk ditugaskan di mana-mana bidang sekalipun, tetapi berharap akan diletakkan dalam unit risikan tentera negaranya.

Selepas menjalani ujian penilaian, K diberikan kelulusan untuk menyertai Unit 8200 Israel Defence Force, unit risikan terulung dalam angkatan tentera mereka yang cukup terkenal di seluruh dunia disebabkan oleh satu perkara.

Majoriti lulusan unit 8200 selepas tamat perkhidmatan ramai yang mampu menjadi individu berpengaruh dalam industri berasaskan teknologi asalkan mereka sanggup mengharungi tempoh perkhidmatan 5 tahun; berbeza dengan unit-unit lain yang mewajibkan 24 bulan untuk wanita dan 32 bulan untuk lelaki.

K melihat peluang yang ada merupakan peluang seumur hidup - apatah lagi ditawarkan masuk ke Unit 8200 yang mahsyur prestijnya.

bagaimana israel boleh power perang siber atas talian

Kajian yang dijalankan oleh media Israel, Haaretz menunjukkan 80% daripada anggaran lebih 700 syarikat sekuriti siber di Israel merupakan alumni unit risikan IDF; menawarkan perkhidmatan teknologi pemantauan di banyak negara seperti Malaysia, Peru, Nigeria, Mexico, Kazakhstan, Colombia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Setiap tahun kumpulan individu bernasib baik seperti K akan memulakan latihan mereka, disokong dana kerajaan Israel yang besar - bagi memastikan alumni-alumni IDF terus menguasai masa depan peperangan siber dunia, mengukuhkan kedudukan Israel sebagai antara pendahulu pembangun teknologi sekuriti siber.

Firma teknologi Israel dengan teknologi luar biasa

nso group firma teknologi israel

Di kalangan pemain industri sekuriti siber Israel sendiri, wujud persaingan yang kuat dan sihat antara syarikat dalam meletakkan diri mereka sebagai pendahulu teknologi.

Nama seperti NSO Group yang membangunkan sistem Pegasus, sistem risikan yang mampu menggodam telefon dengan mudah; menjadi sebutan disebabkan oleh penggunaan sistem itu oleh kerajaan Arab Saudi dalam memantau pergerakan Jamal Kashoggi yang mati dibunuh dengan cara kontroversi.

Cellebrite pula memfokuskan pada pembangunan sistem yang membolehkan data dijana semula dalam sesuatu peranti, walaupun sudah dipadamkan. Circles pula menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang mahu menjejaki sesiapa saja secara fizikal hanya dengan menggunakan nombor telefon.

Reputasi yang dibawa oleh syarikat-syarikat Israel hasil keluaran Unit 8200 ini nampak gah, hebat dan mengagumkan. Namun berdasarkan pengalaman berkhidmat selama 5 tahun bersama unit 8200, K mengakui kebanyakan reputasi yang dijaja adalah retorik semata.

Unit risikan Israel dalam IDF masih kerap kali terpaksa bergantung kepada kaedah-kaedah tradisional atau konvensional dalam mendapatkan maklumat; menggunakan ugutan yang disebar dalam bentuk digital bagi membolehkan mereka memecah masuk ke dalam sesuatu sistem yang diperlukan.

Ada juga pihak mendakwa teknologi yang digebang oleh syarikat-syarikat sekuriti siber milik alumni Unit 8200, sebenarnya indah khabar dari rupa.

Dalam satu satu kontroversi melibatkan pembangun aplikasi Signal dengan Cellebrite, Signal secara terbuka menidakkan keupayaan syarikat Israel tersebut dan menyifatkan syarikat itu hanya sebuah syarikat teknologi berstatus amaturyang perlu bergantung kepada reputasi, bukan keupayaan sendiri.

Individu seperti K aneh kerana menjadi antara alumni yang terbuka mengkritik reputasi yang telah berjaya dibina Unit 8200 di seluruh dunia. Bagi Raphael Ouzan pula, dia percaya semua yang dimilikinya ketika ini datang akibat penyertaannya dalam unit tersebut.

Peluang sejak awal untuk berkecimpung dalam industri sekuriti

sekolah di israel berasaskan teknologi

Ouzan mula mempelajari dan obses denganbidang komputer sejak berusia kecil, walaupun tinggal di kawasan pedalaman di Champagne, Perancis. Berikutan minatnya serta sokongan keluarganya sendiri yang berasal dari Israel, mereka kembali berhijrah ke negara asal mereka semasa Ouzan berusia 16 tahun.

Di Israel, Ouzan mula mengorak langkah besar berikutan peluang yang ditawarkan; memenangi anugerah Saintis Muda terbaik tahun 2006 dalam pertandingan anjuran kerajaan Israel dengan kerjasama syarikat Intel.

Hasil reputasi beliau, Ouzan mendapat tawaran untuk bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi di Boston, Amerika Syarikat pada usia 17 tahun sebelum kembali ke Israel bagi memenuhi tuntutan perkhidmatan mandatori.

Dia mula dilatih hari ke hari untuk memperkembangkan pengetahuannya dalam bidang sekuriti siber, diberikan peluang mengetuai sebuah unit dalam Unit 8200 untuk tujuan pembangunan teknologi risikan pada usia 20 tahun.

Apa yang membezakan Israel dengan negara-negara lain menurut Ouzan, adalah asas teknologi menjadi sesuatu yang dititik beratkan sistem pendidikan mereka sejak peringkat menengah. Mereka yang berbakat akhirnya akan diberikan laluan ke dalam program elit di bawah seliaan Unit 8200 seperti dirinya.

Tamat perkhidmatan dan bergelar alumni Unit 8200 IDF, Ouzan membangunkan syarikat aplikasi sekuriti dinamakan BillGuard; 5 tahun selepas itu syarikat itu dibeli pada nilaian RM135 juta.

Menurut Ouzan, karier beliau sehingga kini banyak dibantu jaringan kenalan yang turut sama menerima latihan di Unit 8200; dipercayai beliau sangat berpengaruh kerana ramai antara mereka sudah memulakan syarikat sendiri yang menawarkan perkhidmatan yang ditagih kerajaan-kerajaan dunia.

Namun pengaruh yang dibina juga dibimbangi mampu membuatkan Israel jadi terlalu berkuasa. Itulah yang dibimbangi Eitay Mack, seorang warga Israel, peguam dan aktivis yang berpendapat keupayaan teknologi Israel ketika ini mampu menyebabkan banyak penyalahgunaannya dilakukan.

Pemantauan dan kawalan - eksport ekonomi rejim Israel

perkhidmatan mandatori tentera

Untuk beberapa dekad kebelakangan ini, Mack melihat wujud kebergantungan besar negara-negara dunia ke atas senjata siber yang dibangunkan di Israel yang akan digunakan bagi mencapai matlamat tertentu.

Hasil siasatannya, Mack berjaya menyenaraikan beberapa insiden di mana teknologi milik warga Israel telah mula disalah guna (menurut beliau) untuk tujuan yang melanggar hak asasi pihak lain.

Kerajaan Indonesia dilaporkan pada bulan November tahun 2020 sudah mula menjalinkan kerjasama dengan Cellebrite bagi memantau peranti telefon milik individu yang disyaki musuh politik kerajaan. Teknologi sama juga digunakan bagi memecah masuk telefon milik aktivis pembebasan Hong Kong.

Lebih menakutkan, beberapa jabatan pendidikan di Amerika Syarikat turut sama mula menggunakan teknologi Israel bagi memantau penggunaan telefon milik pelajar untuk tujuan yang tidak diperjelaskan.

Bagi individu seperti Mack, penyalahgunaan seperti yang telah disenaraikan di mana teknologi digunakan bagi tujuan melanggar privasi merupakan antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Kritikan Mack tidak berakhir di situ.

Beliau juga percaya apa yang berlaku, sebenarnya berlaku disebabkan restu kerajaan Israel sendiri, yang dilihat sengaja membiarkan fokus diberikan kepada syarikat milik warga mereka sementara mereka terus memperkembangkan agenda utama mereka.

Firma teknologi sebagai tangan gelap tentera Israel

israel pakar sekuriti siber

Kemampuan syarikat teknologi milik swasta membangunkan aplikasi dan peranti berstatus senjata siber, yang akhirnya menjadi eksport utama Israel dilihat mampu membahayakan banyak nyawa - bukan sahaja masyarakat luar, bahkan komuniti Israel sendiri.

Langkah kerajaan Israel membenarkan penjualan teknologi yang dibangunkan warga mereka sebagai pemudah cara hubungan diplomatik, khasnya apabila melibatkan negara yang sebelum ini lantang mengkritik pendudukan Israel di Palestin; seperti Arab Saudi dan Maghribi - dikhuatiri akan dilihat sebagai kaedah menghalalkan jenayah dengan melakukan jenayah lain di negara luar.

Kumpulan aktivis seperti yang disertai Mack mengkritik kerajaan Israel sanggup memejam sebelah mata melihat teknologi yang dibangunkan rakyat mereka digunakan, asalkan keuntungan serta faedah diperolehi mereka.

Apa yang lebih dibimbangi - kerajaan Israel sendiri sudah mula mensasarkan senjata siber ini ke arah kumpulan aktivis yang lantang membantah.

Amnesty International sudah mula merasai bahangnya selepas beberapa orang petugas mereka mula diawasi oleh NSO Group. Kes itu yang dibawa ke mahkamah di Tel Aviv, mendapati Amnesty gagal membuktikan dakwaan seperti yang berlaku dan kes tersebut digugurkan.

Pengkritik dan aktivis di kalangan warga Israel walaupun angkanya kecil, terus konsisten mendesak agar akta menghalang penjualan senjata baik berbentuk fizikal mahupun digital ini dipantau, dengan harapan agar penyalahgunaannya tidak berleluasa sehingga semakin ramai nyawa terkorban.

Masa depan yang sukar dijangka

pemasangan cctv pantau pergerakan palestin

Pada ketika artikel ini ditulis, K sudah mula bekerja sebagai seorang juruanalisis data di Israel.

Selepas beberapa tahun dia menamatkan perkhidmatan tentera dengan Unit 8200, K mula secara terbuka menjadi salah seorang pengkritik tindakan kerajaan Israel dalam menggunakan taktik peperangan siber dalam kehidupan seharian mereka di sana serta usaha campur tangan Israel dalam urusan kerajaan dunia - melalui firma-firma teknologi yang dibangunkan warga mereka.

K mula melihat Israel dari perspektif berbeza, selepas menyaksikan sendiri kehidupan di Tebing Barat serta Gaza. Dia mula aktif dalam gerakan aktivis Palestin. Hasilnya, K mula menyedari ada di kalangan alumni Unit 8200 turut menyimpan pandangan serupa.

Pada tahun 2014 K disertai 34 orang bekas veteran IDF Unit 8200, melalui surat terbuka dialamatkan kepada empat pemimpin tertinggi negara itu termasuklah Perdana Menteri mereka, menyatakan teguran dan kritikan ke atas langkah-langkah yang diamal kerajaan Israel khasnya Unit 8200 dalam penggunaan teknologi yang dibangunkan untuk terus menindas penduduk Palestin.

warga israel pantau palestin guna dron

Desakan mereka agar perubahan diperkenalkan oleh kerajaan Israel bagi mengelakkan penggunaan senjata-senjata siber ini terus di salahguna, tampak tidak berjaya membawa perubahan apa-apa.

Ini kerana jika dibandingkan dengan kritikan yang dihamburkan kumpulan kecil ini, majoriti penduduk Israel dikatakan yakin ada keperluan besar untuk mereka terus memperalatkan teknologi yang dibangunkan mereka sendiri sebagai senjata, demi keselamatan mereka semua.

Apabila semua rakyat mereka sudah diberikan pendedahan dan latihan berasaskan tentera yang bersifat mandatori membentuk minda dan objektif mereka, susah untuk kesepakatan mereka digugat hanya dengan segelintir yang cuba bersuara.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Inside Israel’s lucrative — and secretive —cybersurveillance industry terbitan Rest of World pada 9 Mac 2021.

Rujukan

Edward Snowden: Israeli spyware was used to track and eventually kill Jamal Khashoggi



Hakcipta iluminasi.com (2017)