Oleh pada 05 Aug 2018 kategori

Sejarah perang sangat menarik untuk dibaca, apatah lagi apabila melibatkan tokoh-tokoh yang mempunyai kemahiran mengagumkan seperti Simo Hayha, penembak Finland terkenal sebagai pemegang rekod berjaya membunuh musuh paling ramai sehingga digelarkan 'The White Death.'

Selain kisah Hayha, dalam rekod-rekod perang muncul seorang lagi penembak jarak jauh yang tak kurang hebatnya. Namanya Lyudmila Pavlichenko. Dia adalah penembak jarak jauh wanita paling handal dalam sejarah mana-mana perang dunia zaman moden.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah Lyudmila menjadi penembak tentera

lyudmila semasa perang

Lyudmila berada di Odessa semasa perang melibatkan negaranya Russia dengan Jerman bermula. Pihak tentera Russia ketika itu meragui keupayaan beliau namun selepas berjaya menembak mati dua orang lelaki yang didapati menjadi pengintip Jerman, Lyudmila diterima masuk menyertai tentera.

Dilahirkan pada tahun 1916 di Balaya Tserkov, sebuah pekan kecil tidak jauh dari Kiev, Lyudmila adalah anak seorang pekerja kilang dan ibunya seorang guru. Terkenal sebagai seorang gadis yeng mempunyai perwatakan keras, Lyudmila juga dikenali rakan sekelasnya sebagai seorang yang tidak mengalah.

Dia belajar menembak sendiri kerana minatnya timbul selepas dicabar budak lelaki yang mengakui perempuan tidak mampu menembak sebaik mereka. Lyudmila mendapat peluang bekerja dalam kem tentera yang membolehkan dia mempertajamkan lagi kemahirannya.

Menyambung pengajian di Universiti Kiev tampak bakal menjadikan guru sebagai karier Lyudmila, namun perang yang meletus membuatkan Lyudmila menawarkan diri berperang. Lyudmila diletakkan di dalam Divisyen Rifel Chapayev ke 25, pasukan penembak jarak jauh yang dinamakan sempena penembak legenda Russia, Vasily Chapayev.

Hari pertama bertugas

lyudmila pavlichenko 839

Walaupun pernah membunuh, hari pertama beliau menyertai peperangan bermula dengan langkah kiri.

Sedang meninjau dekat dengan garisan tentera Jerman, Lyudmila serta seorang lagi remaja lelaki sepasukannya diserang mengakibatkan remaja itu mati ditembak. Lyudmila kaget melihat apa yang berlaku, tidak mampu mengangkat senjatanya namun berjaya menyelamatkan diri.

Melihat dengan mata sendiri apa yang boleh dilakukan tentera Jerman ke atas masyarakatnya, Lyudmila nekad untuk membuang rasa takut dalam dirinya serta tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Pada hari yang sama, Lyudmila kembali bertugas dan berjaya membunuh dua invididu tentera Jerman sedang ditugaskan memantau kawasan tempat dia berkawal.

Rekod cemerlang Lyudmila

wanita penembak tepat russia

Dua tentera Jerman itu menjadi permulaan kepada kehebatan Lyudmila menembak musuhnya. Lyudmila terus ditugaskan di sekitar Odessa dan Moldavia, dengan lebih 100 pegawai tentera Jerman berjaya ditundukkan.

Walau bagaimanapun, kekuatan tentera Jerman tidak boleh dinafikan dan mereka berjaya masuk lebih dalam, memaksa Lyudmila dan pasukannya berundur ke Sevastopol di semenanjung Crimea. Pasukannya bertugas di Sevastopol selama lebih 8 bulan berdepan dengan jumlah tentera Jerman yang jauh melebihi mereka.

Ketika inilah Lyudmila diberikan tugasan paling mencabar sebagai seorang penembak jarak jauh - taktik peperangan yang digelarkan 'countersniping' di mana dia diberikan tugasan untuk memburu penembak jarak jauh tentera Jerman secara sendirian. Perlawanan satu lawan satu biasanya memakan masa dengan pertarungan paling lama Lyudmila mengambil masa tiga hari. Ada ketikanya beliau terpaksa duduk diam selama 20 jam bagi mengenalpasti kedudukan musuh dan lebih penting, melindungi kedudukannya.

Lyudmila berjaya mengalahkan 36 penembak Jerman dalam pertarungan satu lawan satu dan rekod sepanjang perkhidmatannya mencatatkan 257 orang mangsa tembakannya secara keseluruhan hanya di Sevastopol, menjadikan nama Lyudmila terkenal bukan saja di kalangan tentera Russia malahan di kalangan tentera Jerman juga, ekoran salah seorang daripada tentera Jerman daripada 36 yang terkorban itu mempunyai rekod 500 bunuhan semasa perang.

Rekod keseluruhan Lyudmila secara rasmi sepanjang kariernya adalah 309 orang meletakkan beliau sebagai penembak jarak jauh wanita terhandal di dunia.

Mula menjadi wajah propaganda Russia

menemui president roosevelt dan isteri

Dalam salah satu pertempuran, muka Lyudmila terkena serpihan letupan bom mengakibatkan kondisi beliau terjejas. Melihat apa yang berlaku, tentera Soviet mengambil langkah menugaskan Lyudmila untuk melatih penembak jarak jauh agar pelatih beliau dapat dilahirkan.

Lyudmila dinaikkan pangkat sebagai seorang liutenan dan mula diangkat sebagai ikon perang propaganda Russia. Beliau dijemput ke Amerika Syarikat atas jemputan Eleanor Roosevelt, isteri kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Franklin Roosevelt. Lyudmila diberikan peluang berucap menceritakan pengalamannya berdepan tentera Jerman bagi menguatkan lagi sokongan masyarakat dunia supaya bangun menentang tentera Jerman ketika itu.

Ketika ditanya apa perasaannya membunuh tentera Jerman semasa perang, Lyudmila menjawab dengan jujur membunuh tentera Jerman samalah seperti perasaan seorang pemburu berjaya menembak mati buruannya dan tentera Jerman yang tidak bernyawa, tidak akan mengganggu orang lain.

Lyudmila terus menjelajah Amerika Syarikat sebelum diterbangkan ke Great Britain bagi menyambung kempen propaganda anti Jerman, sebelum pulang ke Russia. Tiba di Russia, Lyudmila dianugerahkan pangkat 'Hero of the Soviet Union' atas jasanya kepada negara serta wajahnya dipaparkan dalam setem peringatan negaranya.

Kempennya di Amerika Syarikat dan Britain tidak membawa kepada perubahan segera. Lyudmila perlu menunggu lebih dua tahun sebelum negara-negara lain mula menyerang balas dalam melawan ancaman Jerman dengan operasi Normandy di Perancis menjadi titik permulaan kepada kekalahan tentera Jerman.

Selepas tamatnya perang

lyudmila pavlichenko penembak soviet

Lyudmila mengakhiri kariernya sebagai askar dan kembali menjalani kehidupan biasa. Dia memilih untuk menyambung pengajiannya yang tertangguh disebabkan perang lalu kembali menjadi pelajar di Universiti Kiev.

Berikutan minatnya terhadap bidang pendidikan serta pengalaman hidupnya sendiri, Lyudmila mula berkhidmat sebagai seorang pengkaji sejarah dan penyelidik di dalam tentera laut Russia, daripada tahun 1945 sehinggalah tahun 1953. Lyudmila akhirnya berjaya menikmati keamanan yang diperjuangkan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Walaupun terkenal sebagai antara legenda tentera Soviet Union, nasibnya pada hujung usia agak terabai. Kegagalan kerajaan Soviet Union mewujudkan sistem penjagaan yang baik untuk veteran perang mereka membuatkan Lyudmila yang mempunyai masalah ketagihan alkohol hidup menderita.

Pada 10 Oktober 1974, ketika berusia 58 tahun, Lyudmila menghembuskan nafas terakhirnya ketika dipangku anak lelakinya, Rostislav Pavlichenko yang ketika itu berumur 26 tahun selepas terkena serangan angin ahmar. Menurut menantunya isteri kepada Rostislav bernama Lyubov Davydovna, sebelum meninggal dunia ibu mertuanya tidak henti-henti mengutuk nasib yang menimpa dirinya kerana dibiarkan susah tanpa bantuan oleh negara yang dipertahankannya.

Lyudmila dikebumikan di tanah perkuburan Novodevichy yang terletak di Moscow. Walaupun kehidupannya berakhir dengan diabaikan, nama Lydumila sehingga kini terus disebut sebagai contoh wanita yang mampu berdikari sendiri serta tidak terikut-ikut dengan tatacara adat masyarakat, yang selalu meletakkan wanita sebagai insan yang lemah serta hanya mampu dilindungi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)