Oleh pada 07 Dec 2018 kategori

Sup ayam sememangnya mengandungi khasiat terapi dan penyembuhannya. Sudah menjadi suatu kebiasaan untuk kita melihat nenek moyang kita dahulu yang selalu akan masakkan sup ayam apabila anak-anak mereka sakit. Budaya turun-temurun ini bukannya budaya orang Melayu atau di Malaysia sahaja, tetapi terkenal di seluruh dunia.

Apabila disediakan kepada sesiapa yang sedang sakit seperti demam atau selsema, sup ayam bukan sahaja senang disuap dan dimakan, malah ia juga merupakan terapi yang baik kerana kelazatan supnya. Kita digalakkan untuk makan sup ayam sewaktu hujan lebat dan cuaca sejuk di luar yang mengakibatkan kita mudah dijangkiti selsema dan mengalami demam.

Sup ayam cukup dikenali sebagai immune booster kepada pesakit. Jika pesakit susah mahu telan nasi pula, kita boleh masakkan bubur nasi. Kemudian, masukkan sup ayam sebagai perisa untuk menjadikannya bertambah lazat.

Sup ayam enak jika dihirup panas-panas dan boleh dimakan bersama nasi atau mihun.

Sup Mamak Cicah Roti John

Kuah sup mamak yang pekat dengan rahsia bahan tersendiri dimakan dengan roti john telur

Bahan-bahan:

  • Seekor ayam
  • Sepeket kecil rempah sup (25gm)
  • 2 sudu besar rempah kurma
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1 sudu besar lada hitam tumbuk
  • 2 buku bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 biji bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 3 akar ketumbar (satu sepanjang 3 inci) - jangan ambil yang halus-halus
  • 2 sudu besar atau lebih tepung gandum 
  • Kentang dan lobak merah
  • Kiub ayam
  • Garam
  • Cili diketuk (pemilik resepi tidak letak)

Bahan pelengkap:

  • Daun ketumbar / daun sup / daun bawang
  • Bawang goreng

Cara penyediaan:

1. Kisar semua bahan-bahan, kecuali buah pelaga, bunga lawang dan kayu manis.

2. Tumis semua bahan sehingga naik bau.

3. Masukkan ayam.

4. Masukkan kentang, lobak merah dan perasakan. Apabila semua empuk, masukkan tepung gandum yang dilarut dengan sedikit air. Tambah tepung gandum mengikut kepekatan yang bersesuaian dengan selera.

Resepi Bonus: Sup Ayam Organik Herba Cina

sup ayam organik herba cina 1

Sup herba yang menyihatkan dan memberi kesegaran badan dari usia sebenar

Kredit foto: Dayang Zainuriah Amn (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah) 

Bahan-bahan:

  • 1 paket herba cina (dibeli di kedai jual herba cina di pasar).

Antara yang terdapat dalam paket tersebut ialah kurma merah, barli cina, longan kering, biji teratai, dried magnolia petals, wai san, gingko, herba kayu dan satu lagi namanya tidak diketahui.

  • 1 mangkuk ayam organik (elok guna ayam organik atau ayam kampung)
  • 500ml air
  • Sedikit halia
  • 1 sudu lada hitam
  • Garam secukup rasa

Cara-cara membuat:

1. Rebuskan barli cina dan biji teratai sehingga lembut.

2. Masukkan ayam organik, wai san, herba kayu dan dried magnolia petals.

3. Masukkan halia, lada hitam dan garam.

4. Reneh api kecil dalam 30 minit.

5. Kemudian, baru masukkan longan kering, kurma merah dan gingko. Tips: Tidak perlu lama. Jika tidak, ia menjadi tidak sedap.

6. Renehkan lagi dalam 15 minit.

sup ayam organik herba cina

Rasanya amat lazat dan badan berpeluh-peluh apabila dimakan

Sup ini bagus diberikan kepada ibu mengandung, ibu dalam pantang, orang-orang tua serta kanak-kanak yang demam dan selsema kerana ia mempunyai khasiat seperti berikut:

  • Anti radang, anti virus, anti batuk, anti kekejangan dan decongestant yang dipercayai bertindak secara sinergi dalam meredakan penyakit-penyakit, demam, selsema dan flu.
  • Meningkatkan kesihatan rambut dan kuku kerana kandungan gelatin dan pelbagai mineral termasuk zink.
  • Menguatkan tulang-tulang.
  • Memberi kesegaran badan yang lemah dan penat.

Sumber:

1. Amie Samuri [1, 2]

2. Deyana Hatazad [1, 2]

3. Syahida Shukri (syahidashukri.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)