Oleh pada 29 Jun 2020 kategori

Quiche adalah sebuah hidangan istimewa atau makanan parti yang terkenal di Perancis. Ianya adalah sejenis savuri (makanan tidak manis) dengan base dari pastri yang diisi dengan kastard savuri (savoury custard) bersama dengan kepingan daging bakar, keju, makanan laut dan sayur-sayuran.

Hidangan lengkap ini sesuai dijadikan sebagai minum petang atau sarapan untuk seisi keluarga. Ia cukup sumber nutrien protein dari telur dan daging; karbohidrat dari pastri; dan vitamin dari cendawan.

Quiche Ayam dan Cendawan

quiche ayam dan cendawan default

Pastri

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (250gm) - diayak
  • Garam (secubit)
  • Mentega (170gm) - sejuk dan dipotong kepada kepingan kecil
  • Telur (1 biji) - dipukul perlahan
  • Air (sedikit) - jika perlu

Cara-cara membuat:

  1. Satukan tepung dan garam. Gaul dalam mentega dengan cepat menggunakan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti.
  2. Masukkan telur, jika perlu, tambahkan air supaya doh menjadi lembut.
  3. Bentuk doh menjadi bola dan balut dengan plastik. Simpan dalam peti sejuk selama setengah jam.
  4. Ambil sedikit doh dan tekankan ke dalam acuan tart yang sederhana seperti dalam gambar. Tekan-tekan dengan jari sehingga kemas dan buangkan lebihan doh. Cucuk sedikit dengan garfu di dasar doh.
  5. Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180ºC selama 15-18 minit.
  6. Apabila doh telah masak, biarkan ia di dalam acuannya. Jangan keluarkan.

Inti (filling)

Bahan-bahan:

  • Dada ayam (2 keping) - didadu kecil atau dicincang halus
  • Cendawan shitake segar (10-15) - dihiris halus (mengikut citarasa masing-masing)
  • Bawang putih (5 ulas) - dicincang
  • Garam (sedikit)
  • Serbuk lada putih (sedikit)

Cara-cara membuat:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
  2. Tumiskan bawang putih sehingga wangi.
  3. Masukkan ayam dan goreng sehingga masak. Pecahkan ketulan isi ayam yang besar menjadi kecil-kecil dengan sudip supaya senang apabila hendak sudukan inti ke dalam mangkuk pastri.
  4. Masukkan cendawan, garam dan serbuk lada putih. Kacau sehingga rata. Masak sehingga kering.
  5. Sejukkan.

Sos

Bahan-bahan:

  • Telur (4 biji)
  • Krim putar UHT (UHT whipping cream) (heavy cream) (150ml)
  • Susu segar (150gm)
  • Garam (1/4 sudu teh)
  • Serbuk lada putih (1 sudu teh)
  • Keju Cheddar (Cheddar cheese) (100gm) - diparut halus (pilihan)

Cara-cara membuat:

  1. Satukan telur, krim putar, susu segar, garam dan serbuk lada putih. Kacau perlahan sahaja sehingga sebati.
  2. Biarkan pastri yang telah dibakar di dalam acuannya.
  3. Taburkan Keju Cheddar di dasar pastri.
  4. Masukkan inti sehingga penuh.
  5. Tuangkan adunan susu dan telur sehingga penuh.
  6. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180ºC selama 25-30 minit atau sehingga permukaan quiche bertukar warna coklat dan kelihatan garing di keliling atas quiche.

Nota: Pemilik resepi gemar menggunakan isi ayam dan cendawan shitake segar. Boleh gunakan udang, sotong atau apa juga makanan laut yang lain.

quiche ayam dan cendawan default 1

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi: Aini Binte Madon [12]

Sumber informasi: Fateha Fa [1, 2, 3]




Hakcipta iluminasi.com (2017)