Oleh pada 24 Jun 2019 kategori

Kuih permata zamrud merupakan sebuah kuih yang enak dan mempunyai rasa lemak manis seperti kuih koci. Seperti namanya, rupa kuih ini juga comel dan cantik tetapi warnanya tidak sama dengan kuih koci.

Terdapat dua bahagian pada kuih ini iaitu bahagian berwarna hijau dan putih. Bahagian berwarna hijau diperbuat dari tepung pulut dengan inti kelapa. Manakala, bahagian luarnya yang berwarna putih pula merupakan campuran santan pekat, tepung beras serta sedikit tepung gandum dan tepung jagung.

Untuk mendapatkan saiz yang lebih besar, anda boleh menggunakan acuan apam yang lebih besar sedikit dari biasa. Adunan resepi ini boleh menghasilkan anggaran sebanyak 22 biji permata zamrud.

Kuih Permata Zamrud

Bahan adunan hijau:

  • Pewarna hijau (sedikit)
  • Tepung pulut (1/2 cawan)
  • Air (sedikit)

Bahan adunan putih:

  • Santan (2 cawan) + air (sedikit)
  • Tepung beras (1/2 cawan)
  • Teung jagung (2 sudu besar)
  • Tepung gandum (2 sudu besar)
  • Garam 
  • Daun pandan

Bahan inti:

  • Kelapa parut (1 cawan)
  • Gula merah
  • Air (sedikit)
  • Daun pandan

Cara-cara penyediaan:

1. Bancuh semua bahan adunan hijau sehingga menjadi doh. Ketepikan.

2. Bancuh semua bahan adunan putih kecuali daun pandan, kemudian ditapis dan dimasukkan ke dalam kuali. Masukkan daun pandan dan masak menggunakan api kecil selama 5 minit. Ketepikan.

3. Cairkan gula merah bersama air dan daun pandan di atas kuali, kemudian masukkan kelapa parut. Kacau sehingga air kering dan boleh tutup api.

4. Bulat-bulatkan adunan doh hijau tadi, masukkan inti kelapa di dalamnya.

5. Sapu minyak pada acuan lompang, letakkan doh berinti kelapa tadi di tengah-tengah acuan.

6. Tuang bancuhan adunan putih tadi.

7. Kukuskan selama 10 minit dan siap untuk dihidang.

permata zamrud 2

permata zamrud 3

permata zamrud 1

Sumber:

1. Nana Sabrina Sarsan [12]

2. Memory Ziasaf (memoryziasaf.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)