Oleh pada 29 Oct 2019 kategori

Murtabak merupakan sejenis hidangan yang terdiri daripada satu atau dua lapisan kulit seperti adunan doh roti canai. Berintikan daging atau ayam, ia biasanya disajikan bersama jeruk bawang ataupun kuah kari. 

Pernah menjadi tular, murtabak krim kraker (cream cracker) mempunyai adunan inti yang hampir sama dengan murtabak asli. Apa yang membuatkan ianya berbeza ialah adunan doh lapisan digantikan dengan biskut krim kraker.  

Murtabak krim kraker boleh dihidangkan dalam gaya yang lebih moden dan eksklusif. Pada zaman dahulu, murtabak jenis ini pernah digunakan sebagai hantaran.

Murtabak Krim Kraker (Cream Cracker)

murtabak cream crackers 10

Bahan-bahan:

  • Biskut krim kraker tidak bergula (1 1/2 bungkus) - jenama Julie's atau jenama Ping Pong juga sedap
  • Daging kisar Ramli (800 gm) - 2 bungkus
  • Bawang besar (2 labu saiz besar) - dipotong dadu
  • Cili merah (2 biji) - dihiris halus
  • Cili hijau (2 biji) - dihiris halus
  • Daun bawang dan daun sup (1 ikat) - dihiris halus
  • Telur gred A (7 biji)
  • Susu segar (1 kotak besar) - jenama Goodday
  • Garam (2 sudu kecil)
  • Serbuk lada hitam (2 sudu kecil)

Juga sediakan loyang 4 segi (saiz tidak pasti berapa inci) - dialaskan dengan aluminium foil dan disapu mentega seluruh permukaan

Bahan bahan untuk dikisar dan ditumis: 

  • Bawang putih (3 biji) 
  • Halia (1 inci)
  • Bawang besar (1 biji)
  • Cili giling (1 sudu makan) - tidak perlu jika tidak mahu pedas
  • Rempah kari daging (3 sudu makan)

Cara-cara memasak:

  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan rempah daging dan tumis sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit supaya rempah tidak hangus dan naik minyaknya.
  4. Masukkan daging kisar dan masak sehingga empuk. Masak sebentar sahaja kerana ia cepat empuk dan anda perlu bakar kemudian. Masukkan air jika rasa perlu. Masakkan sehingga kering sedikit airnya.
  5. Masukkan bawang yang dipotong dadu, cili hiris, serbuk lada hitam, garam serta bahan perasa. Gaul rata.
  6. Perlahankan api, lalu masukkan daun sup dan daun bawang. Gaul rata dan baru matikan api. Biarkan sehingga sejuk sedikit.
  7. Pecahkan kesemua telur, pukul sedikit dan tuangkan dalam adunan daging tadi. Gaul ratakan.
  8. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Pemilik resepi bahagi secara agak-agak sahaja menggunakan senduk.
  9. Masak susu dalam bekas dan jangan sehingga mendidih. Suam-suam sahaja dan perlahankan api yang paling kecil. Berhati-hati, jangan sehingga meruap. Sentiasa kacau. Susu boleh ditambah dengan santan atau diganti dengan santan.

Cara menyusun biskut:

  1. Ambil 9 keping biskut (mengikut besar loyang) dan masukkan dalam susu suam sebentar sahaja. Jangan lama-lama, ia akan kembang. Susun dalam loyang sehingga penuh. Bahagian sudut dan tepi mesti penuh. Patahkan biskut untuk isi bahagian lompong.
  2. Permukaan loyang yang telah penuh disusun biskut, tuangkan adunan daging yang pertama dan ratakan keseluruhan permukaan biskut.
  3. Kembangkan 9 keping lagi biskut ke dalam susu dan susun dalam loyang sehingga menutupi bahagian adunan daging tadi. Setelah selesai, tekankan sedikit agar rata.
  4. Buat perkara yang sama seperti lapisan pertama dan kedua setelah selesai. Tekan-tekan ke seluruh bahagian agar campuran telur naik di permukaan biskut.
  5. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180'c selama 45 minit. Pastikan betul-betul masak dan baru keluarkan dengan mencucuk bahagian tengahnya. Jika lidi tidak mempunyai kesan, bererti ia sudah masak.
  6. Keluarkan dari ketuhar dan terbalikkan pada dawai redai. Keluarkan dari loyang dan biarkan sejuk. Kemudian, potong dan hidangkan.

Tip: 

  • Tunggu sejuk baru diterbalikkan dan dipotong bagi mengelakkannya pecah.
  • Boleh tambah keju (cheese) di setiap lapisan murtabak untuk menambah keenakannya.
  • Tumis menggunakan sedikit mentega dan campur dengan sedikit minyak. Daging cincang akan mengeluarkan minyak lagi dari lemak yang cair.

murtabak cream crackers edited 1 901

murtabak cream crackers edited 2

Sumber:

1. Hidayah Syibly [1, 2]

2. Wattie's HomeMade (wattieshomemadecakes.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)