Oleh pada 25 Nov 2018 kategori

Kredit foto: Nur AZiela & Chrysalis Nurul (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)

Bertih jagung atau popcorn adalah biji jagung yang mengembang dari isinya dan meletup semasa dipanaskan. Apabila dipanaskan, tekanan akan terhasil dari dalam isi dan letupan kecil seperti bunyi “pop” akan didengar.

Terdapat beberapa teknik yang dipakai bagi meletupkan bertih jagung, seperti memanaskannya di dalam ketuhar atau menggunakan alatan khas untuk menghasilkan bertih jagung di rumah.

Bertih jagung yang tidak diletupkan tidak cepat rosak dan akan bertahan lama kalau disimpan di tempat yang tertutup.

Bertih jagung biasanya menjadi menu wajib semasa menonton wayang. Makanan ringan ini lazimnya disediakan samada secara masin atau manis.

Ramai yang menyangkakan, anda perlu mempunyai periuk tekanan tinggi untuk membuat popcorn caramel.

 

Jangan risau, anda masih boleh menggunakan periuk biasa, jika masih belum mampu untuk membeli periuk tersebut. Caranya pun cukup mudah. Buat sendiri tentunya lebih jimat dan sedap bukan?

Bahan-bahan popcorn:

● 1/3 cawan jagung popcorn

● 1 camca besar mentega

● 2 1/2 camca besar minyak masak

Bahan-bahan caramel:

● 1/3 cawan gula kastor / gula pasir

● 1 camca besar mentega

Mudah sangat kan bahan-bahannya? Apa tunggu lagi. Jom kita buat! 

Cara penyediaan:

1. Keluarkan periuk bertutup yang sederhana besar saiznya. Jangan guna periuk kecil. Tidak muat untuk popcorn mengembang. Panaskan minyak dan mentega dengan api sederhana. Api jangan terlalu besar, popcorn akan hangit.

2. Apabila minyak dan mentega telah panas, masukkan satu biji jagung dalam periuk dan tunggu sehingga keluar bunyi 'pop'. Setelah mendengar bunyi 'pop' tersebut, jagung tadi sudah kembang. Jadi, bolehlah masukkan semua jagung tadi dalam periuk. Kacau rata supaya semua kena minyak dan mentega tadi.

3. Tutupkan periuk dengan penutupnya. Pastikan api sederhana kecil. Tunggu jagung didalamnya keluar bunyi meletup-letup. Jangan buka penutup tersebut. Jika buka, popcorn tersebut akan bersembur keluar dan berterabur.

Sambil tunggu bunyi 'meletup' habis, sekali sekala, goyang dan goncangkan periuk dengan manja supaya semua jagung dapat 'meletup' dengan sempurna.

Tunggu sehingga sudah tiada bunyi 'pop' barulah buka dan tengok keadaaannya. Jangan lupa tutup api.

4. Inilah hasilnya selepas habis semua 'letupan pop' tadi. Cantikkan? Keluarkan dari periuk dan letakkan dalam bekas lain. Sekarang, kita mahu buat caramel pula.

popcorn caramel 4

5. Dalam kuali lain, masukkan gula pasir tadi. Panaskan dengan api sederhana. Tunggu sehingga gula mencair dan jadi caramel. Ketika ini, jangan bagi gula hangit. Popcorn tersebut akan menjadi pahit dan tidak menjadi popcorn caramel.

6. Agak-agak gula tadi telah menjadi warna perang-perang coklat seperti ini, bermaksud sudah jadilah caramel tersebut. Jangan cuit dengan tangan ya. Melecur nanti!

popcorn caramel 5

7. Masukkan mentega. Kacau sehingga mentega cair. Baunya sangat wangi ala-ala seperti kedai Garrett Popcorn Shops.

8. Tutup api. Masukkan popcorn yang telah siap tadi dalam kuali dan kacau sehingga rata. Perlu berhati-hati ketika ini. Jangan sehingga popcorn terkeluar dari kuali. Rugi!

9. Apabila telah rata semuanya, pindahkan popcorn bercaramel tadi dalam dulang untuk disejukkan. Sambil itu, boleh lerai-leraikan yang melekat. Setelah sejuk, simpan dalam bekas kedap udara dan bolehlah makan sambil tengok drama kegemaran.

popcorn caramel 3

Kredit foto: Suzanah Rafee (Gambar bukan menggunakan resepi di atas)

Tips: Boleh masukkan dalam plastik berbentuk kon dan buat sebagai goodies untuk majlis hari jadi. Pasti ramai kanak-kanak yang berebut.

Sumber:

1. Chrysalis Nurul [1, 2]

2. Wikipedia Bertih Jagung




Hakcipta iluminasi.com (2017)