Oleh pada 29 Nov 2018 kategori

Kredit foto: Amie Samuri‎ (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Keropok lekor atau keropok batang adalah sejenis makanan tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Terengganu yang popular. Perkataan "Lekor" bermaksud "Lingkar" dalam bahasa Melayu Terengganu yang menggantikan ejaan "ar" kepada "or" di akhir suku kata. Maka, maksud Keropok Lekor ialah keropok yang berlingkar.

Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas.

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi.

Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Kini, pembuatan keropok lekor telah pun terkenal di beberapa negeri lain selain Terengganu.

Keropok lekor lazimnya tidak tahan lama. Namun, jika mahu disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat sejuk beku untuk mengelakkan baunya mencemari makanan lain.

Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, jika tidak keropok berasa tawar.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi untuk menghasilkan keropok yang lebih rangup.

Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji lazimnya lebih rangup apabila digoreng, namun akan bertukar menjadi liat apabila telah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat biarpun ia sudah sejuk setelah digoreng.

Keropok lekor turut boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping.

Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia sangat lazat apabila dimakan dengan sos cili.

Keropok Lekor Homemade Lembut dan Tidak Liat

 

keropoklekorhomemade

Bahan-bahan:

  • Ikan kembung biasa / selayang 1 kg dibersihkan (ambil isi sahaja)

keropok lekor homemade 1

Isi ikan mentah dikisar tanpa air

keropok lekor homemade 2

Isi ikan yang sudah dikisar

  • 1 1/2 cawan tepung ubi kayu (alternatif dari tepung sagu)
  • 2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil ajinamoto / Maggi cukup rasa 
  •  2 sudu kecil baking powder

Cara penyediaan:

1. Satukan semua bahan dan gaul sehingga rata.

2. Uli dan bentukkan kecil-kecil sehingga habis. Pemilik resepi dapat 30 keping untuk adunan ini. Selepas siap bentuk seperti gambar di bawah, rebus air + minyak 2 sudu makan + sedikit garam. Masukkan adunan yang sudah dibentukkan apabila air sudah menggelegak.

keropok lekor homemade 3

3. Rebus sehingga timbul, angkat dan toskan. Sejukkan sebentar. Selepas itu, sudah boleh goreng. Mahu potong-potong atau boleh juga goreng seketul-ketul.

4. Siap goreng dan hidang bersama sos keropok losong Terengganu atau sos cili biasa, ikut kesukaan masing-masing.

Tips: Selebihnya boleh disimpan dalam peti. Apabila rasa mahu makan, bolehlah digoreng. Jika mahu tahan lama, simpan di tempat beku.

Resepi Bonus: Keropok Lekor 3 Bahan

keropoklekor3bahan

Warna hitam tersebut merupakan isi ikan 

Bahan-bahan:

  • 12 ekor ikan selayang atau kembung
  • 1/2 cawan tepung ubi
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara membuat:

1. Bersihkan ikan buang kulit dan asingkan isi dan tulang ikan.

2. Kisar isi ikan sehingga halus. Boleh juga ditumbuk.

3. Satukan isi ikan, tepung ubi, garam dan uli sehingga menjadi doh.

3. Masukkan tepung ubi sedikit-sedikit sahaja dahulu.

4. Gentelkan atau bentukkan keropok memanjang.

5. Didihkan air dan rebus keropok sehingga timbul.

6. Angkat dan toskan.

7. Goreng sehingga perang.

Tips: Sukatan tepung tersebut mengikut kuantiti ikan. Jika guna ikan yang besar, boleh lebihkan sedikit tepung ubi tersebut.

Untuk lihat resepi lain, boleh ikuti Facebook Raja Amanina

Sumber:

1. Lynn Rizky [1, 2]

2. Raja Amanina [1, 2]

3. Wikipedia Keropok Lekor




Hakcipta iluminasi.com (2017)