Oleh pada 26 Dec 2018 kategori

Kerabu mangga mempunyai rasa yang masam, manis dan masin. Ini membuatkan sesiapa yang pernah mencubanya pasti menggemarinya. Ia boleh dimakan dengan nasi atau juga enak diratah begitu sahaja. Memang kecur air liur dibuatnya.

Jika di kedai, sukar untuk jumpa kerabu yang menepati selera, kadang-kala tidak cukup masam atau pedas.

Jangan bimbang, resepinya cukup mudah dan bahan-bahannya yang digunakan murah dan senang untuk didapati.

Contohnya, jika terdapat mangga dan baki ikan cencaru bakar, anda boleh buat kerabu mangga ikan bakar. Jika mahu gunakan ikan rebus pun boleh sahaja.

Penggunaan mangga yang sesuai seperti mangga lemak siam yang masih putik lebih lazat untuk dibuat kerabu. Selain itu, mangga epal atau mangga muda India juga enak kalau digunakan.

Pastikan anda beli yang masih elok di mana-mana kedai atau pasaraya, bukannya yang sudah lembik walaupun putik.

Jika buat kerabu mangga, perencahnya boleh gunakan ikan bilis goreng yang ditumbuk halus dan digaul dengan mangga. Idea ini diambil dari kerabu mangga nasi ayam Bukit Bintang yang terkenal.

Di Kelantan, kerabu lazimnya mempunyai bahan wajib seperti kerisik, santan dan ikan rebus yang jarang terdapat pada resepi lain. Namun, kerabu mangga tidak menggunakan semua bahan-bahan tersebut.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi jenis kerabu yang lain seperti kerabu pegaga, kerabu kacang botol dan sebagainya. Malah, terdapat pelbagai jenis cara masakan dan bahan-bahannya. 

Kerabu Mangga Muda

Kredit foto: Razzieah Rashid‎ & Nor Hafiza Binti Mansor (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 2 biji mangga muda (disagat)
  • 1 biji tomato (dihiris)
  • 3 tangkai kacang panjang (dihiris) - optional
  • 7 tangkai cili padi
  • 2 labu bawang besar (dimayang)
  • 1 sudu gula pasir atau gula melaka
  • 2 biji limau nipis (diambil jusnya)
  • Sedikit sos ikan
  • Sedikit garam (jangan terlalu banyak kerana sos ikan sudah masin)
  • Kacang tanah goreng (ditumbuk kasar)
  • Ikan bilis goreng

Cara membuat:

1. Mangga dikupas dan dihiris halus-halus memanjang ataupun disagat.

2. Campurkan bawang besar, cili padi, gula, garam, sos ikan dan air perahan limau kasturi. Pastikan secukup rasa dan gula larut. Jika mahukan rasa lebih sebati, boleh tumbuk kasar bahan-bahan ini (seperti membuat somtam).

3. Masukkan mangga, tomato, kacang panjang, kacang tanah dan ikan bilis goreng. Gaul sehingga sebati dan boleh dihidangkan.

Resepi Bonus: Kerabu Mangga (Pecal) Versi Terengganu

kerabu mangga versi terengganu

Bahan-bahan:

  • Mangga (dicincang halus dan direndamkan dengan air garam)
  • Bawang merah kecil
  • Lada hitam
  • Santan pekat
  • Cili padi (optional) - jika tidak mahu pedas, tidak perlu letak
  • Ikan selayang (sardin) - direbus atau dibakar

Cara-cara membuat:

1. Tumbuk bawang merah, lada hitam, ikan yang telah direbus atau dibakar tadi.

2. Gaul bersama mangga yang telah dicincang halus. Pastikan tos air rendaman mangga kering-kering.

3. Letakkan santan pekat sedikit demi sedikit. Jangan terlalu banyak, jangan terlalu kering. Agak-agak.

4. Letak garam dan gula.

5. Hiris cili padi dan gaulkan sekali.

Sumber:

1. Razzieah Rashid [1, 2]

2. Roslina Mixsna [1, 2]

3. Salmi Saidy (salmisaidy.blogspot.com) [12]

4. Intai Dapur (intaidapur.blogspot.com) [1, 2]

5. Ilham Dapur (ilhamdapur.blogspot.com) [1, 2]

6. Nuwairani Ismail (nuwairaniismail.blogspot.com) [12]

7. Wanita Mustanir (shirashafrida.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)