Biskut mazola merupakan antara kuih raya kegemaran ramai. Biarpun bahannya sedikit, namun proses untuk membuang kulit kacang yang paling mencabar.

Jika membuat satu adunan mungkin tidak mengapa. Namun, jika menggunakan berkilo-kilo kacang, ianya memang meletihkan.

Proses menggentelkannya menjadi bentuk bulat juga memakan masa. Oleh itu, anda boleh menggunakan acuan terapan kerana ia lebih pantas dan rasanya tidak berubah.

Asal-usul namanya mungkin kerana resepinya yang menggunakan minyak jagung jenama Mazola. Namun, anda juga boleh menggunakan apa-apa minyak masak yang terdapat di pasaran.

Jika sukar untuk anda mendapatkan minyak jagung, anda boleh juga menggunakan minyak kacang. Ini kerana bahan asasnya menggunakan kacang, jadi terdapat kesinambungan jika kita menggunakan minyak kacang. 

Namun begitu, jika menggunakan minyak jagung, tentunya lebih baik. Terdapat juga pelbagai versi biskut mazola bergantung kepada si pembuatnya.

Biskut Mazola

biskut mazola

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (2 1/2 cawan) - diayak
  • Gula icing (1/2 cawan) - diayak
  • Kacang tanah kisar (2 cawan) - digoreng dahulu tanpa minyak, barulah dikisar
  • Minyak jagung mazola (secawan)

Hiasan:

  • Kuning telur
  • Kacang tanah goreng

Cara penyediaan:

1. Satukan tepung, gula dan kacang kisar. Kacau sebati.

2. Tuangkan minyak jagung sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga menjadi doh yang boleh dikepal. Tidak perlu habiskan minyak kalau doh telah cantik.

3. Bulatkan doh, tekan sedikit dan letak kacang tanah di atasnya. Sapu kuning telur dan bakar sehingga masak antara suhu 150'C-180'C, masa antara 20-25 minit mengikut ketuhar masing-masing.

Resepi Bonus: Apam Susu Moist Versi Kukus

apam susu moist versi kukus

Bahan-bahan:

  • Telur (4 biji)
  • Gula kastor (secawan)
  • Esen vanila atau esen pisang (3 titik)
  • Ovalette (2 sudu besar)
  • Susu pekat (4 sudu besar) - boleh dikurangkan
  • Tepung gandum (2 cawan)

Cara penyediaan:

1. Mixerkan telur, gula, esen dan ovalette sehingga bertukar putih pekat (angkat jatuh slow).

2. Kemudian, masukkan susu pekat serta tepung.

3. Gaul sebati dengan (guna mixer).

4. Letak pewarna yang anda suka.

5. Kukus selama 45 minit. Letak marjerin dahulu pada acuan.

Sumber:

1. Mis Fisa [1, 2]

2. Suhaizawani Sueyza [1, 2]

3. Me, Myself And I (jumeezaila.blogspot.com) [12]

4. Mama Nazhan (buahatimak.blogspot.com) [1, 2]



Hakcipta iluminasi.com (2017)