Oleh pada 07 Jul 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @remyishak

      

Pelakon Remy Ishak meletakkan sasaran untuk berkahwin pada 20 Februari 2020.

Remy, 37, bagaimanapun berkata, mendirikan rumah tangga bukanlah perkara mudah dan dia perlu berhati-hati kerana enggan mengambil risiko memperjudikan nasib di kemudian hari.

“Kalau sudah ada calon, esok juga saya nak kahwin. Saya memang nak kahwin, tapi apakan daya jodoh tak sampai lagi. Cuma tarikh saja yang sudah ada iaitu 20 Februari tahun depan. Jadi, saya mempunyai masa beberapa bulan lagi untuk mencapai misi itu.

“Orang cakap saya terlalu memilih, tapi dalam soal perkahwinan memang kena pilih. Kita nak berkahwin untuk tempoh yang lama dan kalau boleh kekal selamanya. Bukan nak sekejap saja. Saya tak nak selepas beberapa tahun berkahwin timbul masalah,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda itu, dia mahu mencari bakal isteri yang tidak kuat cemburu memandangkan tuntutannya sebagai selebriti yang sering didampingi wanita.

      

remy ishak pilih tarikh kahwin 20 februari 2020 2

Kredit foto: Instagram @remyishak

      

“Menjadi isteri saya memang susah. Pertama, kena buang rasa cemburu. Kalau sudah cemburu, tidak akan ada yang positif. Dari situ akan wujud sikap mengongkong. Saya pula nak bergerak dan membawa keluarga ke arah bahagia dan berjaya. Kalau itu berlaku ia akan menjadi susah.

“Saya berada dalam bidang hiburan dan mempunyai ramai peminat wanita. Selepas ini perkara yang tak ada apa, dijadikan masalah pula. Saya tak mahu semua ini," katanya.

Remy menganggap kriteria terbabit amat penting dalam meneruskan hubungan yang serius meskipun menyedari sikap cemburu amat sinonim dengan kaum wanita.

“Jika saya cuba kawal sekali pun, susah. Cemburu dengan perempuan ibarat irama dan lagu. Takkan saya nak berhenti berlakon? Kalau berhenti sekali pun, perkara sama tetap terjadi,” katanya.

Menyentuh kerjaya lakonan, beliau kini sedang melangsaikan penggambaran drama rantaian, Ombak Rindu yang bakal ke udara selama empat episod di televisyen Internet, Iflix.

Antara lain dibintangi Izara Aishah, Datin Diana Danielle, Fahrin Ahmad dan Hanna Aqeela.

      

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)