Oleh pada 22 Jan 2018 kategori

sejarah di sebalik perpecahan korea kepada korea utara dan korea selatan

Korea Utara dan Korea Selatan dahulunya merupakan sebuah negara yang bersatu padu semasa pemerintahan Dinasti Joseon, dan berkongsi bahasa serta adat resam yang sama. Namun, sejak 6 dekad lalu, Korea Utara dan Korea Selatan terpisah di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai Demillitarised Zone (DMZ).

Pernahkah anda tertanya bagaimana sebuah kerajaan yang kuat dan bersatu dahulunya boleh berpisah menjadi 2 buah negara yang sangat berbeza dari segala segi termasuklah ideologi? 

Sejarah Awal Korea Sebagai Koloni Jepun

sejarah awal korea sebagai koloni jepun

Sumber Foto: ki-ok.org

Kisahnya bermula sejak penaklukan Korea oleh Jepun pada hujung kurun ke-19. Empayar Jepun mengambil alih semenanjung Korea secara rasmi pada tahun 1910.

Jepun memerintah Korea secara proksi melalui maharaja boneka sejak kemenangan mereka dalam Peperangan Sino-Japanese pertama pada tahun 1895 lagi. Oleh itu, dari 1910 sehinggalah 1945, Korea adalah koloni Jepun.

Memandangkan Perang Dunia Ke-2 semaking hampir pada tahun 1945, keadaan agak jelas bahawa Kuasa Bersekutu (Komanwel, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet & China) terpaksa mengambil alih pemerintahan Jepun di wilayah yang diduduki, termasuklah Korea.

Kerajaan Amerika Syarikat mahu mentadbir Filipina dan juga Jepun, jadi Amerika berasa enggan untuk mengambil amanah memerintah Korea. Jadi, boleh dikatakan bahawa Korea bukanlah keutamaan Amerika. 

Soviet pula sebaliknya. Mereka lebih rela untuk campur tangan dan mengambil alih tanah Korea selepas kerajaan Tsar melepaskan tuntutan terhadap negara itu selepas Peperangan Ruso-Japanese (1904-1905).

Semenanjung Korea Selepas Perang Dunia Ke-2

jepun menyerah kalah kepada amerika selepas kalah perang dunia ke 2

Sumber Foto: dissertationreviews.org

Pada 6 Ogos 1945, Amerika melepaskan sebuah bom atom di Hiroshima, Jepun. 2 hari kemudian, Soviet mengisytiharkan perang ke atas Jepun, dan menyerang Manchuria.

Tentera Soviet turut mendarat di 3 kawasan di sepanjang pantai utara Korea. Pada 15 Ogos tahun sama, selepas letusan bom atom di Nagasaki, Maharaja Hirohito mengumumkan penyerahan kalah kepada Kuasa Bersekutu, maka berakhirlah Perang Dunia Ke-2.

Hanya 5 hari selepas Jepun menyerah kalah, 2 orang pegawai Amerika iaitu Dean Rusk dan Charles Bonesteel diberikan tugas untuk mengatur zon pendudukan Amerika di Asia Timur. 

Semenanjung Korea Terbahagi Kepada 2 Di 38th Parallel

semenanjung korea terbahagi 2 di 38th parallel

Sumber Foto: storify.com

semenanjung korea terbahagi kepada selatan dan utara di 38th parallel

Sumber Foto: britannica.com

Tanpa membuat sebarang perundingan dengan mana-mana wakil Korea, mereka sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk membahagikan Korea kepada 2 di sepanjang latitud di 38th Parallel, memastikan ibu negeri iaitu Seoul berada di kawasan Amerika. 

Keputusan Rusk dan Bonesteel juga telah termaktub di dalam General Order No. 1, iaitu sebuah garis panduan bagi mentadbir Jepun selepas tamatnya peperangan. 

Tentera Jepun di utara Korea menyerah diri kepada Soviet, manakala tentera di selatan Korea menyerah kalah kepada Amerika. 

Walaupun parti-parti politik Korea Selatan ditubuhkan segera dan masing-masing menghantar calon masing-masing, sebagai pelan bagi membentuk kerajaan di Seoul, Pentadbiran Ketenteraan Amerika berasa takut akan kencenderungan calon-calon untuk berhaluan kiri.

Pengaruh Amerika & Soviet Ke Atas Semenanjung Korea

pengaruh amerika dan soviet ke atas semenanjung korea

Sumber Foto: chathamhouse.org

Amerika dan Soviet sepatutnya bersama mengatur pilihan raya di seluruh negara bagi menggabungkan Korea pada tahun 1948, namun kedua-dua pihak ini tidak percaya antara satu sama lain. 

Amerika mahukan seluruh semenanjung Korea menjadi demokratik dan kapitalis, Soviet pula mahukan gabungan Korea sebagai negara komunis.

Akhirnya, Amerika melantik pemimpin yang anti-komunis, iaitu Syngman Rhee untuk memerintah Korea Selatan. Korea Selatan mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah negara merdeka pada 15 Mei 1948.

Rhee secara rasminya diangkat menjadi Presiden pertama Korea Selatan pada Ogos tahun sama, dan beliau serta merta mula melancarkan perang terhadap komunis dan mereka yang berhaluan kiri di selatan 38th Parallel. 

Sementara itu di Korea Utara, Soviet melantik Kim Il-Sung, yang pernah bertempur di medan perang sebagai Major dalam Soviet Red Army, sebagai pemimpin di zon yang diduduki. 

Beliau secara rasmi bertugas oada 9 September 1948. Kim mula menekan parti politik pembangkang, terutamanya yang kapitalis. Sehingga 1949, patung-patung Kim Il-Sung dibina di seluruh Korea Utara, dan menggelarkan diri beliau sebagai 'Supreme Leader'.

Perang Korea - Perang Saudara Yang Menghancurkan

akibat perang saudara perang korea 582

fasa perang korea perang bersaudara selama 3 tahun

Sumber Foto: tes.com

Pada 25 Jun 1950, Kim Il-Sung menghantar 75,000 tentera ke 38th Parallel bagi menyerang Korea Selatan dengan harapan untuk menggabungkan kedua-dua buah Korea sebagai sebuah negara komunis. 

Pencerobohan itu berubah menjadi Perang Korea, iaitu perang saudara yang berlangsung selama 3 tahun, membunuh hampir 5 juta rakyat Korea termasuk tentera.

Dengan campur tangan tentera Amerika, tentera Korea Utara akhirnya berundur ke daerah mereka, dan mereka kembali di mana mereka bermula, iaitu 2 buah negara Korea yang terbahagi di 38th Parallel (DMZ). 

Selepas lebih 60 tahun sejak Perang Saudara Korea, 38th Parallel masih boleh dikatakan sebagai sempadan paling tegang di muka Bumi.

Secara teknikal, Korea Utara dan Korea Selatan masih berperang kerana tiada perjanjian damai yang ditandatangani walaupun tentera Korea Utara telah berundur. 

Sehingga hari ini, Korea Selatan masih berjaga-jaga dengan Korea Utara kerana tidak mahu mengulangi sejarah Perang Saudara yang pernah berlaku sebelum ini. 

Tae Guk Gi - Kisah Tragis Perang Saudara Korea

Untuk menonton filem penuh Tae Guk Gi, sila KLIK SINI.

Rujukan:

  1. express.co.uk
  2. newworldencyclopedia.org
  3. thoughtco.com
  4. history.com

tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)