Oleh pada 17 Mar 2018 kategori

Statistik berkaitan perkahwinan di negara kita mencerminkan sesuatu gejala yang agak membimbangkan - berlakunya peningkatan peratusan individu tidak berkahwin di negara kita yang konsisten sejak tahun 2000, dengan peratusan individu berjantina wanita yang tidak berkahwin meningkat lebih tinggi berbanding dengan individu berjantina lelaki.

Menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sebab utama rakyat Malaysia memilih untuk tidak berkahwin berbeza mengikut jantina. Lebih separuh responden lelaki meletakkan masalah kewangan sebagai punca tidak berkahwin walaupun sudah menemui pasangan yang sesuai. 35 peratus responden wanita menyatakan punca mereka tidak berkahwin adalah kerana tidak menemui pasangan yang sesuai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang lebih menggusarkan, 18.1% peratus wanita zaman sekarang selesa memilih untuk menumpukan perhatian pada karier berbanding perkahwinan berbanding 9.4 peratus individu lelaki yang sependapat dengan mereka.

Berikut adalah tujuh penghalang paling besar yang admin rasakan kerap menjadi punca mengapa seseorang itu enggan berkahwin dan mengapa masyarakat perlu bersedia untuk berubah sekiranya kita masih sayangkan institusi perkahwinan.

1. Kita tetapkan hantaran tinggi

senarai hantaran ikut kelulusan

Agak tak logik permintaan masyarakat kita tentang perihal hantaran sekarang ini. Dengan kos sara hidup yang meningkat, jumlah mereka yang mempunyai simpanan melebihi 6 bulan gaji di negara kita adalah hanya 6 peratus sahaja.

Tetapi seperti sudah biasa pula kita dengar hantaran perkahwinan melebihi RM10 ribu ringgit, sehinggakan ramai anak muda kita memilih untuk tidak berkahwin selagi tidak ada wang hantaran yang cukup. Sekiranya pihak keluarga perempuan merasakan hantaran itu perlu, kenapa selalunya nilai yang ditetapkan tak masuk akal?

Memang sukar untuk dipercayai dalam sebuah masyarakat yang setuju banyak perkara memerlukan kos yang tak masuk akal, kita sendiri burukkan lagi dengan permintaan hantaran yang mampu membuatkan ramai lelaki rasa lebih baik membujang.

2. Masyarakat terkejut kalau kenduri diadakan ringkas!

perkahwinan yang ringkas dipandang pelik

Dek kerana kita dah terbiasa dengan kenduri yang besar, kenduri-kenduri yang diadakan secara kecil-kecilan atau sederhana kerap dijadikan isu viral. Kita semua tahu kenapa perkara itu berlaku; jangkaan masyarakat terhadap sesuatu kenduri itu normanya berada di satu tahap yang agak tinggi.

Kenduri yang besar kerap dijadikan contoh pada masyarakat kita, selain pengaruh pihak media yang kerap menjulang perkahwinan bersifat mega atau 'wedding of the year' selebriti.

Ini menjadikan perkahwinan kecil dipandang unik sementara perkahwinan besar dianggap norma masyarakat. Sama seperti hantaran, ini juga satu perkara yang berada dalam kawalan kita tetapi entah mengapa, kita sendiri setuju untuk menyusahkan pasangan dan keluarga.

3. Ramai takut hidup berubah selepas berkahwin

ayah korban hidup jaga anak oku

Sudah pasti hidup kita akan melalui banyak perubahan ekoran perkahwinan. Anak muda yang sebelum ini bebas keluar siang malam tiba-tiba perlu menghadkan masanya untuk rumah. Gadis yang sebelum ini bebas, tiba-tiba perlu memikul tanggungjawab menjadi suri rumah.

Kesan yang paling ketara ketara dalam karier. Bagaimanapun, meletakkan karier nombor satu bukanlah solusi kepada isu ini, kerana ini akan membawa kepada masalah lain kemudian hari. Apa yang lebih baik sebenarnya adalah anda mengorbankan diri melakukan kedua-duanya serentak, tanpa memilih salah satu sejak mula.

Kenapa kita hadkan diri kita salah satu, sama ada memilih karier atau memilih untuk membangunkan keluarga?

4. Fobia takut menjadi ibu bapa yang tak bertanggungjawab

anak anak diabaikan ibu bapa

Orang zaman sekarang ini terlalu manja. Oleh kerana kita ada banyak minat, banyak hobi serta banyak kemahuan sendiri - kita rasakan baik untuk kita mementingkan diri sendiri berbanding berkorban masa untuk membesarkan anak-anak. Minat tu penting, kepuasan sendiri perlu dipenuhi.

Terlalu ramai berkata yang mereka takut tidak dapat jadi ibu bapa yang baik, tetapi hakikat sebenarnya adalah terlalu ramai yang tak nak hilang cara hidup mereka sedia ada. Kita tangguhkan perkahwinan bagi mengekalkan hidup kita.

Akan tiba satu masa kita tersedar, barulah kita rasa gelabah untuk berubah melihat orang lain gembira bersama keluarga.

5. Rekod media sosial bakal pasangan

teman wanita ikut petua cium ketiak teman lelaki

Jika zaman dahulu kualiti seseorang bakal pasangan hanya dapat dinilai daripada tingkah laku dan kelakuan, zaman sekarang bukan setakat pasangan, seluruh ahli keluarga dapat menilai sendiri bagaimana bakal pasangan keluarga kita melalui perkara yang direkodkan dalam media sosial.

Apa saja perangai tak senonoh, mengada-ngada atau memalukan yang berlaku dicatat dalam internet, daripada gambar bersama bekas kekasih, aktiviti harian, siapa jaringan kawan kita, corak hidup kita dan bermacam lagi.

Mungkin atas sebab itulah ramai yang takut untuk berkahwin, tidak dapat menerima apa yang sudah dilihat dalam media sosial, bagaimana seseorang yang baik di depan kita - mampu berubah menjadi individu yang tak lekang dengan perkataan f*ck dalam tulisannya.

6. Tak fikir masa depan

pinjaman peribadi khas untuk berkahwin

Majlis perkahwinan zaman sekarang sudah jadi satu bukti nyata pemikiran singkat, di mana seseorang itu dianggap perlu bersedia membelanjakan satu amaun yang banyak untuk upacara dua tiga hari. Kes-kes pasangan berkahwin dan kemudian bersusah payah membayar pinjaman peribadi sudah jadi perkara biasa. Kes bercerai sebelum habis bayar pinjaman pun dah selalu dibaca.

Sudah banyak tips dan nasihat ditulis bagi membantu pasangan mendapatkan pinjaman dalam internet! Bukankah itu sesuatu yang gila?

Perkara yang sepatutnya dilakukan adalah dengan mengubah mentaliti masyarakat supaya hanya berbelanja sekadar mampu. Namun dalam dunia yang semakin materialistik ini, ramai pula orang yang sanggup berkorban untuk kemewahan sementara kemudian mengeluh kesusahan nak kumpul deposit beli rumah sepanjang hayat mereka.

7. Ilusi pilihan yang menipu

pecahan perbelanjaan perkahwinan

Masyarakat dunia ketika ini kerap menekankan kepentingan mengutamakan pilihan peribadi pada manusia.  Setiap pilihan individu dikatakan terbaik untuk diri sendiri kerana kita diyakinkan pilihan sendiri, adalah pilihan yang terbaik untuk kita. Kita rasa hebat bila kita mampu buat pilihan sendiri, tanpa campur tangan pihak lain - tetapi dalam hidup bermasyarakat dan berkeluarga, pendapat pihak lain sebenarnya sangat penting dalam membantu kita membuat keputusan.

Banyak pilihan dibuat berdasarkan hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan sebab praktikal dan kesan jangka panjang keputusan yang akan kita buat. Atas sebab itulah pada admin, terlalu ramai individu yang takut untuk kahwin, kerana kita masih lagi mahu kawalan sepenuhnya ke atas hidup kita. Kita takut dengan perkahwinan kerana itu akan membuat kita hilang kawalan dan terpaksa 'go with the flow' dengan hidup, ekoran tanggungjawab baru berkeluarga.

Anehnya, apabila sesuatu perkara itu berada dalam kawalan kita; seperti jumlah hantaran, kos perkahwinan, besar mana kenduri kita dan perkara-perkara yang praktikal dalam melangsungkan perkahwinan, kita takut hendak kawal perkara tersebut dan biarkan masyarakat yang tentukan nilai yang akan kita tanggung.

Dalam bab kehidupan selepas perkahwinan, perubahan yang bakal berlaku dan kesan-kesan positif serta negatif yang akan terjadi akibat perkahwinan pula, itu pula isu yang anak muda zaman sekarang cuba nak kawal sebaik mungkin, walaupun perkara itu belum berlaku.

Percanggahan fikiran yang berlaku dalam ahli masyarakat daripada yang muda sehinggalah yang ke tua serta pengaruh ideologi barat inilah sebenarnya yang menimbulkan konflik pada anak muda. Jadi tak hairanlah semakin ramai anak muda sekarang memilih untuk tak nak berkahwin dan lebih selesa mempopularkan maksiat sebagai jalan keluar paling utama.

Rujukan

Till Debt Do Us Part




Hakcipta iluminasi.com (2017)