pusat pelacuran terbesar dunia eropah

Sebut tentang lorong-lorong gelap di negara kita, pasti ramai akan menyebut nama Lorong Haji Taib yang sangat terkenal dengan aktiviti 'tidak sahnya' iaitu aktiviti pelacuran, melibatkan wanita dan golongan mak nyah.

Usaha selama lebih sedekad lamanya sedikit sebanyak berjaya mengubah identiti lorong ini menjadi salah satu pusat komersial masyarakat setempat yang popular dikunjungi, walaupun masih ada laporan mengatakan aktiviti-aktiviti kurang sihat masih berjalan dalam skala lebih kecil.

Jika di Malaysia lorong gelap itu terkenal, di Jerman pula sebuah bangunan 12 tingkat bernama The Pascha merupakan lokasi terkenal pencari kepuasan seksual di sana.

Apa yang menarik, The Pascha turut sama pernah diiktiraf sebagai pusat pelacuran terbesar dunia.

Pengenalan akta regulasi aktiviti pelacuran Jerman

kumpulan pekerja seks minta dibenarkan kerja

Pada bulan Oktober tahun 2001, parlimen Jerman berjaya meluluskan apa yang dikenali sebagai Akta Regulasi Situasi Pelacuran atau lebih dikenali sebagai 'Prostitution Act'; diisytiharkan berkuatkuasa pada 1 Januari 2002.

Pengenalan akta ini dilakukan oleh Jerman berikutan pelbagai pindaan akta hampir serupa dilakukan oleh negara-negara jiran mereka seperti Sweden dan Belanda yang terlebih awal membenarkan aktiviti kurang sihat tersebut.

Hujahnya, kerajaan Jerman melihat pengenalan akta itu akan membolehkan peningkatan kepada situasi sosial golongan pekerja seks, membolehkan mereka mempunyai sumber pendapatan yang tetap serta dilindungi dalam aspek sosial dan kesihatan seperti insurans dan simpanan persaraan.

Satu langkah penting yang diperkenalkan kerajaan Jerman dalam akta ini adalah pengenalan syarat utama profesion tersebut - pekerja seks diberikan kebebasan penuh dalam menyelia bidang tugas mereka, tanpa terikat dengan mana-mana pihak atau orang tengah.

Ini bermakna pekerja seks di Jerman boleh memilih bila mereka akan berkhidmat dan dengan siapa mereka setuju untuk berkhidmat, tanpa ada pihak boleh memaksa atau mengarahkan mereka 'beraksi.'

Upah yang mereka terima juga ditetapkan oleh mereka sendiri, selain waktu mula dan tamat kerja serta usia persaraan mereka. Disebabkan perubahan inilah, Jerman sehingga kini menempatkan kumpulan pekerja seks paling ramai di dunia.

Sejarah penubuhan The Pascha

the pascha pusat pelacuran terbesar

Penubuhan The Pascha sebenarnya sudah bermula sebelum pengenalan akta tersebut diperkenalkan.

Pada tahun 1972, bangunan itu menjadi bangunan tinggi pertama yang menjalankan pusat kegiatan tidak sihat di Eropah, dikenali dengan nama Eros Center.

Ekoran perancangan majlis perbandaran Cologne di Jerman yang mahu membersihkan daerah Klene Brinkgasse daripada aktiviti pelacuran, Eros Center ke kawasan-kawasan pinggiran bandar, Eros Center diminta untuk berpindah ke sebuah kawasan pinggir bandar dengan sebuah bangunan setinggi 12 tingkat dibina atas tanah kerajaan sebagai ganti.

Selepas tindakan saman oleh kumpulan pekerja seks Eros Center yang membantah perpindahan itu gagal, Eros Center bertukar tangan kepada pemilik baru pada tahun 1995.

Pertukaran pemilik ini menukarkan namanya kepada The Pascha yang kekal sehingga kini.

Selepas pengenalan akta pelacuran pada tahun 2002, Cologne menjadi antara negeri terawal mengubah dasar tempatan mereka dalam meletakkan kebajikan pekerja seks sebagai antara faktor penting dalam pembangunan polisi mereka.

Pihak kerajaan tempatan Cologne mula memperbaiki sistem pusat kegiatan seksual berpusat, agar kawalan ke atas aktiviti itu dapat dipantau lebih baik bagi melindungi pihak pekerja seks serta pihak pelanggan yang hadir.

The Pascha terus berkembang dipacu perubahan itu, mula diterima sebagai satu entiti premis perniagaan yang sah sehingga menjadi antara tarikan utama pelancong yang berkunjung di Cologne.

Bagaimana The Pascha berfungsi?

pusat maksiat terbesar

Sistem yang diguna pakai dalam The Pascha mencerminkan undang-undang yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pusat Jerman.

Seorang pekerja seks akan menyewa salah satu antara 126 bilik yang ada di The Pascha, pada bayaran antara EUR180 ke EUR195 (RM873 ke RM946) untuk tempoh 24 jam, lengkap dengan makanan, insurans serta cukai yang akan disalurkan kembali kepada kerajaan.

Setiap pelanggan yang hadir pula bukanlah boleh masuk secara percuma. Seorang individu harus membayar EUR5 (RM24) sebagai bayaran masuk. Sekiranya ada pekerja seks yang 'berkenan' dihati mereka, pelanggan dan pekerja seks bolehlah berunding sendiri tentang harga dan servis yang diperlukan tanpa ada penglibatan pihak lain.

Ini bermakna pekerja seks itu akan menerima 100% bayaran pelanggan yang telah dipersetujui.

Dianggarkan secara purata, seorang pekerja seks di The Pascha perlu 'berkhidmat' sekurang-kurangnya empat ke lima kali untuk mampu menampung kos sewaan bilik, sebelum perkhidmatan selebihnya dianggap sebagai gaji mereka hari itu.

Dalam kajian yang dijalankan, hanya 30 peratus pekerja di The Pascha adalah warga tempatan selebihnya adalah golongan pekerja seks yang datang dari luar, seperti Ukraine, Brazil, Russia, Nigeria dan juga Thailand.

80 orang pekerja sebagai pekerja am di situ, menyelia urusan dan penyelenggaraan termasuklah operasi perkhidmatan dandanan rambut, salon, restoran dan butik pakaian.

Berikutan status The Pascha yang agak terkenal di seluruh dunia, pusat kegiatan tidak sihat ini mampu menerima lebih 1,000 pengunjung sehari!

Pandemik mengakibatkan operasi terhenti

pemilik the pascha hermann mueller

Pemilik The Pascha merupakan seorang lelaki bernama Hermann Mueller.

Hasil daripada operasi beliau yang bermula di Cologne, kini The Pascha telah berkembang menjadi satu francais pelacuran antarabangsa dengan pembukaan cawangan lain di Munich serta Salzburg dan Linz di Austria.

Model perniagaannya kekal serupa.

Pada bulan April tahun 2020, kerajaan tempatan mula melaksanakan larangan ke atas pelbagai aktiviti termasuklah aktiviti seksual melibatkan pekerja seks mengakibatkan suasana di The Pascha mula muram.

Ini mengakibatkan lebih 400,000 pekerja seks di Jerman mula kehilangan punca pendapatan mereka. Ada di antara mereka mula menjalankan operasi secara 'haram' disebabkan ketiadaan peluang untuk mendapatkan pekerjaan lain disebabkan status mereka.

Pengurusan The Pascha sendiri mengumumkan pada bulan September 2020, bahawa mereka akan memulakan proses tuntutan bankrapsi selepas kehabisan dana yang digunakan bagi membiayai penyelenggaraan serta gaji lebih 80 pekerja sepenuh masa sejak pemberhentian operasi.

sindiket pelacuran di german

Ekoran tekanan ke atas kerajaan akibat syarat penutupan pusat aktiviti seks yang diperkenalkan, kerajaan tempatan Cologne melonggarkan syarat membenarkan The Pascha kembali beroperasi.

Tindakan ini terpaksa di buat disebabkan oleh tindakan kumpulan pekerja seks serta aktivis yang melakukan tindakan saman di mahkamah, bagi mencabar peraturan yang diperkenalkan kerajaan mereka.

Perubahan ini bagaimanapun memerlukan beberapa syarat ketat diamalkan.

Pelanggan perlulah melakukan temujanji terlebih dahulu sebelum melanggan, tidak boleh lagi masuk dan memilih seperti sebelumnya. Semua rekod kedatangan akan diambil, bagi memastikan rantaian jangkitan (jika berlaku) dapat dikenalpasti.

Lebih unik - aktiviti yang dijalankan antara pelanggan dan pekerja seks, perlulah diadakan dengan kedua-duanya perlu memakai topeng muka perubatan.

Begitulah manusia; bila nafsu dah menguasai segalanya - apa saja cara dan kaedah pun akan diusahakan dan dibolehkan demi mencapai matlamatnya. Inilah antara situasi di mana golongan pekerja, syarikat swasta dan kerajaan mampu bersatu hati untuk menghalalkan sesuatu; demi kepentingan poket semua.



Hakcipta iluminasi.com (2017)