Pasti ramai daripada kita masih ingat tentang krisis ekonomi yang pernah melanda negara Malaysia pada suatu ketika dahulu. Tidak ramai tahu bagaimana krisis kewangan ini boleh berlaku, dan bagaimana ianya memberi kesan kepada negara. Kejayaan Malaysia menangkis krisis berkenaan berjaya menarik perhatian antarabangsa, Barat khususnya, dan Malaysia turut dipuji sebagai Harimau Asia. Jom kita selami sejarah krisis kewangan yang melanda negara. 

Bagaimana Krisis Ekonomi Asia 1997/1998 Bermula

bagaimana krisis ekonomi asia 1997 1998 bermula

Krisis ini sebenarnya bermula di Thailand. Antara tahun 1986 hingga 1996, ekonomi negara terbabit berkembang pada kadar purata melebihi 9% setiap tahun, kadar perkembangan ekonomi yang paling pesat di dunia pada ketika itu. Inflasi pula rendah antara 3.4% hingga 5.7%. Mata wang Baht 'diikat' pada jumlah 25 kepada $USD (25 Baht = $USD 1).

Pada 14 dan 15 Mei 1997, Thai Baht telah diserang secara besar-besaran oleh pedagang mata wang melalui spekulasi yang dibuat mereka. Pada 30 Jun 1997, Perdana Menteri Chavalit Yongchaiyudh mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan menurunkan nilai Baht yang diikat.

Walaubagaimanapun, kekurangan rizab asing bagi menyokong 'ikatan' mata wang $USD dan Baht memaksa kerajaan Thailand untuk mengapungkan Baht. Tindakan yang dilakukan pada 2 Julai 1997 itu menyebabkan penentuan nilai Baht bergantung kepada pasaran mata wang, yakni boleh berubah-ubah. 

permulaan krisis kewangan asia 1997

Ekonomi Thailand yang sedang berkembang berhenti secara serta merta, memberi impak negatif terutamanya dalam bidang kewangan, hartanah dan pembinaan yang seterusnya memaksa ramai pekerja tempatan untuk pulang bekerja di kampung, manakala 600,000 pekerja asing pula dihantar pulang ke negara masing-masing. 

Nilai mata wang Baht susut dengan pantas dan kehilangan lebih daripada separuh nilai asalnya. Pada Januari 1998 nilai mata wang $USD1 adalah bersamaan dengan 56 Baht, merekodkan penurunan yang sangat ketara. Stok pasaran Thailand pula jatuh sebanyak 75%. Finance One, syarikat kewangan terbesar Thailand terus jatuh bankrap. Di sini, bermulalah episod krisis ekonomi terbesar yang pernah dihadapi oleh negara-negara Asia. 

Krisis Ekonomi Merebak Ke Kebanyakan Negara Asia 

krisis ekonomi merebak ke kebanyakan negara asia

Ekoran kejadian yang berlaku di Thailand, tindakbalas berantai melumpuhkan ekonomi Asia. Mata wang negara-negara Asia Tenggara dan Korea Selatan jatuh merosot, pasaran stok jatuh nilainya dan begitu juga lain-lain aset.

Antara negara-negara yang paling terkesan adalah Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Malaysia, Filipina, Laos dan Hong Kong. Beberapa negara lain seperti Brunei, China, Singapura, Taiwan dan Vietnam turut terkesan, namun lebih minimal. Negara maju Jepun juga merasa impak krisis berkenaan. 

Pelabur yang memberi pinjaman kepada negara-negara terbabit mula merasa panik kesan daripada apa yang berlaku. Akibatnya, mereka mula mengeluarkan sejumlah besar kredit daripada negara-negara yang terlibat, menyebabkan masalah kredit yang lebih parah, serta mendorong kepada lebih banyak kebankrapan. 

Tambahan pula, ketika mana para pelabur cuba mengeluarkan kredit, pasaran pertukaran mata wang dibanjiri dengan mata wang negara-negara terbabit, meletakkan lebih tekanan kepada kadar pertukaran mereka. Kejadian ini menyebabkan nilai mata wang bertambah merosot. 

Pendekatan Malaysia Menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997/1998

bagaimana malaysia menghadapi krisis kewangan asia 1997 1998 799

Kesan krisis ekonomi ini memberi tekanan kepada banyak negara dari segi defisit akaun semasa, rizab asing yang rendah serta hutang luar yang semakin menimbun. Kebanyakan negara telah menerima pakej bantuan pinjaman International Monetary Fund (IMF) bagi memulihkan ekonomi negara namun dengan syarat-syarat yang bakal membuatkan ekonomi dan sosial mereka menjadi lebih parah. 

Pada tahun 1998, setahun selepas bermulanya krisis tersebut, Malaysia telah memperkenalkan sebuah model dengan harapan dapat menstabilkan semula ekonomi. Antara kandungan pakej tersebut adalah:

  1. Kadar faedah diturunkan dengan ketara, membolehkan syarikat-syarikat dan para pengguna untuk 'bernyawa' kembali dan kemudiannya untuk meminjam, seterusnya menambah pelaburan dan perbelanjaan. Tindakan Malaysia yang enggan menerima pakej IMF dan ingin berusaha sendiri dilihat sebagai radikal.
  2. Menstabilkan kadar pertukaran mata wang. Ringgit telah diikat pada 3.80 berbanding Dollar Amerika. Dengan cara ini, turun naik mata wang dan spekulasi dapat diberhentikan serta merta. Hasilnya, polisi makroekonomi dapat dikuatkuasakan, dan mengelakkan sebarang krisis perkhidmatan hutang, seperti yang terjadi kepada Indonesia.
  3. Menutup perdagangan Ringgit di luar negara, dan juga perdagangan saham Malaysia di Singapura. Tindakan ini berjaya menghentikan sebarang aktiviti spekulasi dalam mata wang dan saham tempatan. 
  4. Mengawal aliran modal, khususnya aliran modal jangka pendek oleh orang asing dan rakyat tempatan. Sekatan ini dilakukan terhadap pemindahan modal oleh rakyat dan syarikat tempatan. 
  5. Mengekalkan kestabilan kewangan dengan membuat keputusan untuk tidak menutup institusi kewangan yang sedang menghadapi kesukaran, dan mengumumkan jaminan terhadap deposit di bank dan syarikat kewangan. Hasilnya, pendeposit lebih yakin dengan sistem perbankan negara, tidak seperti beberapa negara lain yang menutup bank-bank mereka (atas desakan IMF).
  6. Melakukan penstrukturan semula dan pemodalan sektor korporat dan perbankan bagi membolehkan pemulihan mikroekonomi. Antara langkahnya adalah dengan penubuhan Danaharta (syarikat pengurusan aset) bagi menangani masalah pinjaman tidak berbayar, penubuhan Danamodal (agensi khas) bagi pemodalan institusi kewangan bermasalah dan penubuhan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat bagi menstruktur semula hutang korporat. 
  7. Menghidupkan semula pelbagai sektor ekonomi yang terkesan dengan krisis ekonomi tersebut.
  8. Mengekalkan sesetengah polisi utama ekonomi dan sosial, terutamanya dalam peraturan pemilikan aset asing, subsidi dan kawalan harga, polisi berkaitan pengedaran dan keseimbangan dalam etnik komuniti tempatan. 

Hasil Pendekatan Malaysia Dalam Menangani Krisis Ekonomi Asia 1997/1998

hasil pendekatan malaysia dalam menangani krisis ekonomi 1997 1998

Malaysia amat bernasib baik kerana Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak pakej yang ditawarkan oleh IMF. Rizab asing Malaysia pada ketika itu agak rendah, namun mencukupi untuk bertahan untuk suatu tempoh. Sekiranya nilai Ringgit terus jatuh, ekonomi negara mungkin akan runtuh.

Sekiranya Malaysia mengambil pakej tawaran IMF, kebanyakan polisi yang diperkenalkan di atas tidak dapat dilakukan kerana kita akan terikat dengan syarat-syarat IMF. Kebanyakan negara yang menerima pakej pinjaman IMF tidak mempunyai kebebasan untuk menguatkuasakan sebarang pelan pemulihan seperti negara kita, dan akhirnya terikat dengan kuasa luar. 

Pendekatan melalui polisi yang diperkenalkan di atas berjaya meletakkan ekonomi Malaysia di atas landasan ekonomi yang stabil, dan menafikan kritikan dan kutukan antarabangsa bahawa Malaysia akan bankrap. Ramai memuji kebijaksanaan pemimpin Malaysia berdasarkan hasilnya. 

Pengajaran Pendekatan Malaysia Buat Masyarakat Antarabangsa

imf krisis ekonomi asia 1997 1998

Pertamanya, terdapat alternatif lain selain daripada polisi-polisi dan pakej yang ditawarkan oleh IMF. Pendekatan Malaysia terhadap krisis ekonomi ini menunjukkan bahawa pendekatan alternatif sebenarnya wujud dan adalah tidak mustahil.

Keduanya, mempunyai ruangan polisi sendiri dan fleksibiliti adalah penting bagi negara membangun untuk berkembang. Pengalaman Malaysia menangani krisis ini membuktikan bahawa sesebuah negara bebas menentu hala tuju sendiri, tanpa bergantung kepada mana-mana organisasi termasuklah IMF sendiri. Sesebuah negara berhak memilih dan menggunakan mana-mana polisi yang dilihat sesuai untuk mereka. 

Di dalam situasi di mana masalah menjadi terlalu kompleks, kepimpinan sesebuah negara perlu berani untuk berfikir di luar kotak dan mencari langkah atau cara baharu bagi menangani isu berkenaan.

Kesimpulan

pemimpin malaysia ketika krisis ekonomi asia 1997 1998 22

Strategi pengurusan krisis kerajaan Malaysia sudah pasti bukanlah hasil seorang dua individu sahaja, namun ianya adalah usaha kolektif pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama para Menteri, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan sekretariatnya, serta beberapa agensi utama kerajaan.

Kini, dunia mengiktiraf pendekatan Malaysia sebagai suatu cara baharu yang inovatif dan efektif dalam menangani krisis ekonomi. Organisasi seperti IMF yang suatu ketika dahulu skeptik dan memandang rendah terhadap negara seperti Malaysia turut belajar daripada pengalaman ini. 

Semoga Malaysia akan kekal maju seperti zaman kegemilangannya dahulu, dihormati dan dikenali oleh dunia kerana kebijaksanaan menguruskan negara. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. samcheekong.blogspot.my
  2. en.wikipedia.org
  3. thebalance.com
  4. thestar.com.my
  5. twn.my
  6. fairobserver.com
  7. mostlyeconomics.wordpress.com
  8. bbc.com

tags : , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)