Pada suatu hari yang panas di Pasar Ballaro di Bandar Palermo, seorang penjaga kedai suku Bengali iaitu Anwar Hussein Ahmed sedang membungkus sayuran bendi ke dalam beg plastik untuk diberikan kepada seorang wanita Afrika yang kelihatan elegan dengan sarung kuning di kepalanya.

Lorong-lorong di sekitar kedainya yang terletak di tengah-tengah pasar itu hiruk-pikuk dengan pelbagai aktiviti perniagaan. Kebanyakannya menjual barang-barang keperluan yang sinonim dengan kulinari Sicily seperti arancini (bebola risotto) dan ikan sardin goreng.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, Ahmed pula menjaja bahan masakan yang tidak pernah digunakan dalam dapur tradisional Itali seperti ubi kayu, fufu (makanan ruji berkanji dari Afrika Barat), kacang bendi, ghee dan rempah ratus. Majoriti pelanggan Ahmed terdiri daripada warga Bengali dari Bangladesh, Ghana dan Nigeria.

Mafia kaki buli warga asing

Selama bertahun-tahun Ballaro merupakan sebuah kejiranan yang miskin, terbiar dan menjadi lubuk kegemaran mafia Sicily mencari mangsa. Kini, ia masih tidak banyak berubah. Tidak jauh dari kedai Ahmed, kelihatan beberapa anak muda sedang berurusan menjual beli dadah secara terbuka.

Yang lain pula menghantar bungkusan-bungkusan yang menimbulkan syak wasangka dengan menaiki basikal berenjin yang ditunggang secara melulu merentasi kawasan pasar.

sicily bos mafia ditangkap settimino mineo

Pada awal Disember 2018, "Godfather" Settimino Mineo telah ditahan bersama lebih 40 orang samseng lain atas kesalahan pemerasan, memiliki senjata api dan menyebabkan kebakaran harta benda.

Penahanan tersebut telah memberikan tamparan besar kepada kumpulan gengster di situ, namun pihak berkuasa Sicily lazimnya tidak pernah bertindak sebegitu pantas.

Hari ini, di kepulauan paling selatan Itali itu, orang yang paling kuat menentang kumpulan penjenayah di sana bukanlah para polis atau mana-mana pihak berkuasa tetapi pendatang-pendatang kecil yang bertapak di pasar Ballaro sendiri.

Hampir tiga tahun yang lalu, sepuluh orang pekedai Bengali dan seorang rakan dari Tunisia telah dipaksa menerima sistem jenayah jalanan dan peras ugut yang menyasarkan mereka sebagai mangsa.

Walaupun ibu negeri Sicily, Palermo, merupakan sebuah kota yang menyaksikan peningkatan pelbagai budaya tahun demi tahun, namun golongan migran yang sudah sekian lama berdiam diri kini tidak dapat menahan marah lagi kerana terpaksa membayar wang perlindungan. Mereka akhirnya memberanikan diri memberitahu ketua-ketua mafia itu, "Kita jumpa di mahkamah."

Kebangkitan peniaga Asia menentang Mafia

Kes mahkamah hanya bermula pada bulan Oktober 2017 dan masih lagi belum selesai. Ia merupakan kes tertutup dan identiti pemilik kedai telah dirahsiakan untuk keselamatan mereka.

tafazzul topu salah seorang pekedai di pasar ballaro palermo

Tafazzul Topu

Tafazzul Topu yang bekerja dengan pekedai Bengali di pasar itu menceritakan semula insiden yang telah menjadi inspirasi kepada para pekedai untuk menentang penjahat dan mendapatkan bantuan undang-undang melalui mahkamah Sicily. Ia adalah kejadian di mana seorang pendatang Gambia bernama Yusupha Susso yang berusia 21 tahun telah ditembak mati pada tahun 2016 di hadapan kaki lima kedai Ahmed.

Pada suatu petang di bulan April pada tahun itu, mafia tempatan iaitu Emanuele Rubino telah menembak Susso di kepala selepas pertengkaran yang berlaku beberapa ketika sebelumnya. Peluru yang ditembak itu telah menembusi otak Susso dan menyebabkannya koma. Rubino kemudian telah diberkas.

Percubaan pembunuhan itu telah menyemarakkan perasaan marah peniaga-peniaga di Ballaro yang selama ini hanya mendiamkan diri bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa keganasan mafia. Pekedai-pekedai Bengali yang telah lama menderita mula memberontak dan muncul sebagai pemimpin kepada gerakan anti-mafia di pasar itu. Manakala pendatang dari Tunisia, Nigeria, Gambia dan Bangladesh pula telah berganding bahu dengan para aktivis Sicily untuk menuntut pihak berkuasa di pulau itu melakukan sesuatu bagi menangani keganasan yang berleluasa.

peniaga bengali di pasar palermo itali menentang mafia

Mereka memfailkan kes undang-undang terhadap kumpulan mafia yang beroperasi di Ballaro, termasuk kesemua individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Rubino.

Pada bulan November tahun lepas, Mahkamah Rayuan di Palermo telah mengenakan hukuman penjara selama 12 tahun terhadap Rubino. Saudaranya Guiseppe juga telah dibicarakan tetapi kemudiannya dibebaskan.

Penghijrahan ke Sicily

Komuniti migran telah mula menetap dan mendirikan kedai di pasar Ballaro sejak tahun 1990-an lagi. Mereka telah mengubah nasib kawasan yang telah dilupakan di Palermo ini. Dengan bantuan pekedai Bengali seperti Ahmed yang membantu membangunkan semula kawasan kejiranan ini, Ballaro mula dikenali semula sebagai destinasi pelancongan Itali.

Ahmed memberitahu bahawa dia telah tinggal di situ selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan kelahiran Sicily. Keluarganya tinggal di sebuah flat sederhana yang terletak kira-kira satu kilometer dari kedainya.

suasana di pasar palermo

Dia mula menubuhkan perniagaannya pada 2013 untuk memenuhi keperluan komuniti di kawasan itu dengan menggunakan wang simpanan yang dikumpul semasa bekerja dalam industri pelancongan di selatan Sicily.

Bagi sesiapa yang tinggal dan ingin memulakan perniagaan di Ballaro, mereka perlulah sentiasa memastikan agar bos mafia di kawasan itu gembira. Jika tidak, para penjenayah itu akan datang ke kedai untuk merompak dan membuat kacau. Menurut Ahmed, ramai pekedai membayar wang perlindungan untuk mengelak daripada menjadi sasaran.

Bagi sesiapa yang didapati bercakap buruk atau menentang mana-mana anggota mafia, kedai mereka juga turut akan dirompak. Orang ramai tidak mahu menimbulkan sebarang masalah sebegini, jadi mereka kekal berdiam diri.

Kewujudan masyarakat majmuk di Palermo

Sicily merupakan pulau terbesar di Mediterranean dan mempunyai populasi seramai lima juta penduduk. 175,000 orang daripada jumlah populasi itu adalah migran. Walaupun sebahagian besar migran ini terdiri daripada komuniti Afrika, terdapat juga sebilangannya yang berasal dari Bangladesh, Sri Lanka, India dan China.

Kebanyakan warga asing ini bekerja dalam perniagaan borong atau sebagai buruh. Kebanyakan kaum Bengali pula bekerja di gerai-gerai jalanan yang menjual pelbagai barangan plastik murah seperti sarung telefon bimbit. Semasa musim pelancongan, mereka akan bekerja selama berjam-jam di bawah pancaran matahari yang terik untuk menjual pelbagai barangan.

Sebuah organisasi anti-mafia digelar Addiopizzo yang diasaskan oleh pelajar-pelajar universiti pada tahun 2004 menyokong para peniaga ini dalam usaha mereka untuk menentang penjenayah melalui mahkamah.

protes menentang mafia

Salah seorang ahli Addiopizzo iaitu Edoardo Zaffuto memberitahu bahawa sebelum ini pernah juga ada individu lain yang melaporkan insiden diserang mafia kepada pihak polis. Namun, kali ini ia agak berbeza apabila semua pekedai bersatu sebagai sebuah kumpulan untuk membuat laporan polis. Zaffuto juga berkata bahawa ia adalah sesuatu yang menarik apabila protagonis pemberontakan ini bukanlah dari kalangan orang-orang Palermo itu sendiri tetapi warga asing dari Bangladesh.

Walau bagaimanapun, mereka yang menentang mafia ini sering terdedah kepada pelbagai ancaman. Menurut Topu, terdapat kes di mana kunci atau mangga di kedai mereka diletakkan gam gajah. Ini hanyalah ancaman berbentuk amaran awal yang menunjukkan bahawa mereka sedang diperhatikan. Sekiranya mereka masih tidak memberikan sebarang maklum balas kepada mafia, premis perniagaan mereka mungkin akan diserang atau dirompak.

suasana di pasar palermo 2

Pendatang bukan calang-calang

Ketika matahari mula terbenam di Pasar Ballaro, Ahmed akan membersihkan sampah-sarap berdekatan sebelum menutup kedainya. Penjaja-penjaja Bengali ini akan bersiap-siap pula untuk memulakan perniagaan mereka di sebelah malam. Salah seorang daripada mereka ialah Mohamed Miah. Pada waktu siang, dia bekerja sebagai tukang cuci di beberapa buah rumah keluarga Itali. Manakala pada waktu malam pula, dia menjual barangan elektronik murah. 

Miah juga pernah menjadi mangsa gengster mafia yang adakalanya cuba mencuri daripadanya. Miah pernah melaporkan insiden itu kepada pihak polis tetapi laporannya hanya dipandang sebelah mata dan tiada tindakan selanjutnya yang diambil. Seperti kebanyakan peniaga Bengali yang lain, mereka telah mengambil langkah keselamatan sendiri dengan bekerjasama dan menawarkan sokongan sekiranya rakan-rakan mereka terlibat dengan masalah.

Bagi pendatang seperti Miah, kehidupan di Sicily sememangnya mencabar. Miah tidak berjaya memperolehi keuntungan yang cukup untuk menyara hidup. Dia hanya memperolehi sekitar €500 hingga €600 sahaja sebulan. Mujur ada rakan-rakan yang sentiasa menghulurkan tangan membantu keluarganya.

Walaupun berhadapan ancaman mafia dan kesulitan ekonomi, kaum Bengali cuba mencari rezeki di tengah-tengah masyarakat Sicily. Ada yang telah mendapat kewarganegaraan Itali dan ada juga yang diberikan taraf kependudukan lain.

sumi dalia aktar menjadi ahli politik di palermo

Malah, ada juga yang berjaya menceburkan diri ke dalam bidang yang jarang dikuasai warga asing. Salah seorang contoh terbaik ialah Sumi Dalia Aktar yang merupakan ahli politik Bengali yang pertama dipilih di Sicily. Dia merupakan salah seorang ahli Parti Demokrasi di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi.

Menurut Aktar, sebagai pendatang asing, mereka telah menunjukkan keberanian dengan menentang kumpulan mafia dan bersatu menunjukkan keengganan membayar wang perlindungan di Ballaro. Dengan itu, kaum Bengali telah menunjukkan mereka adalah sebahagian daripada kepelbagaian etnik di Palermo.

Walaupun keputusan mahkamah mengenai kes yang dilaporkan oleh pekedai-pekedai itu masih belum diketahui, Aktar berasa sangat bangga kerana komunitinya telah mengambil sikap yang tegas terhadap kumpulan samseng yang digelar "Cosa Nostra."

Peniaga-peniaga Bengali telah memainkan peranan penting dan menyumbang kepada seluruh penduduk bandar Palermo. Aktar menambah lagi, kaum Bengali merasakan mereka sudahpun menjadi sebahagian daripada penduduk Palermo. Bandar ini bukan lagi penempatan sementara tetapi telah menjadi tanah kediaman tetap mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)