alex ferguson dan david beckham

Digelarkan pengurus paling berjaya dalam sejarah sukan bola sepak, Sir Alex Ferguson menjalani 26 tahun kariernya sebagai pengendali pasukan Manchester United sebelum bersara pada bulan Mei 2013. Di bawah kendaliannya, Man United memenangi 13 kali kejuaraan liga dengan 25 kejuaraan domestik serta peringkat Eropah yang meletakkan pencapaian Sir Alex sebagai antara kayu ukur kejayaan seorang pengurus era moden.

Atas faktor kejayaannya itu, Harvard Business School telah memohon kerjasama dengan Sir Alex Ferguson dalam menganalisa strategi pengurusan beliau. Professor Anita Elberse bertanggungjawab merumuskan rahsia kejayaan beliau dan hasilnya, dapat dirumuskan dalam 8 formula kejayaan yang diamalkan setiap hari.

1. Mulakan dengan asas

kelas tahun 92 manchester united generasi pelapis terbaik

Pada awal karier beliau di Man Utd tahun 1986, Ferguson memulakan langkah pertamanya dengan mewujudkan sistem latihan pemain muda yang lebih baik. Beliau menubuhkan dua sekolah kecemerlangan yang akan memilih dan menggilap pemain bola sepak sejak mereka berumur 9 tahun.

Menurut Ferguson, ketika dia memulakan karier beliau, hanya seorang pemain pasukan berumur di bawah 24 tahun. Untuk membina kelancaran dan kesinambungan, perlu diwujudkan sinergi di antara pemain pelapis dan kesebelasan utama bagi memudahkan pemain keluar masuk dalam pasukan. Tanpa asas serta pengorbanan untuk melatih pemain muda, sesebuah pengurusan tidak akan mampu bertahan lama.

2. Tidak takut menukar sistem sedia ada

cristiano ronaldo antara bintang yang dijumpai alex ferguson

Analisa karier Ferguson membuktikan salah satu kejayaan terbesar beliau adalah kebolehan beliau melakukan urusan pertukaran pemain yang kena pada masanya. Beliau tidak takut untuk menjual pemain yang sudah terkenal bagi memberi tempat pada pemain muda.

Pemain-pemain yang dijual pula mempunyai usia yang lebih muda dan ini membolehkan Man Utd mendapat keuntungan besar daripada transaksi tersebut. Salah satu contoh terbaik adalah penjualan Cristiano Ronaldo kepada pasukan Real Madrid pada harga tinggi, walaupun Ronaldo pada ketika itu adalah pemain bintang Man Utd.

Bagi Ferguson, semua pasukan hanya mempunyai jangka hayat empat tahun sebelum perubahan perlu dilakukan.

3. Tetapkan sasaran tinggi dan paksa orang lain ikut

roy keane mengkritik tindakan pengurusan dan dijual

Ferguson mengakui dia menggemari satu jenis pemain - mereka yang dikategorikan sebagai 'individu yang akan mengamuk bila kalah.' Individu seperti Roy Keane adalah mereka yang mencerminkan prinsip ini sepanjang karier mereka di Man Utd.

Semangat yang dimahukan oleg Ferguson pada setiap pemainnya adalah perasaan tidak puas hati sekiranya ada pemain yang tak berusaha sungguh-sungguh. Bagi Ferguson, dia amat gemar sekiranya pemain beliau sendiri yang bertindak menegur atau memarahi mana-mana pemain yang bersikap sambil lewa, kerana teguran itu mampu membuatkan seseorang itu jadi lebih kuat. Pemain bintang atau pemain biasa, semuanya tidak ada layanan istimewa.

4. Jangan sesekali hilang kawalan

bagaimana menjadi pengurus yang baik ala alex ferguson

Mengawal 30 orang jutawan dengan ego masing-masing bukan sesuatu yang mudah. Sekiranya ada pemain yang mahu berhadapan dengan Ferguson, beliau bersedia untuk menghadapinya walau dalam apa saja cara sekalipun. Mana-mana pemain yang mengkritik beliau akan menerima akibatnya kerana itu adalah satu-satunya cara untuk menunjukkan kepada pasukan, siapa yang berkuasa.

Menurut Ferguson, seorang pemain tidak boleh menganggap dirinya lebih besar dari kelab. Sebagai pengurus yang bagus, beliau perlu memastikan perkara itu terus dijaga. Itulah yang berlaku kepada Roy Keane dan Ruud Van Nistelrooy, dua pemain bintang beliau yang dipindahkan selepas mereka berdua secara terbuka mempersoalkan tindakan Ferguson. Bagi Ferguson, pengurus yang lemah adalah pengurus yang kerap memikirakan sama ada pemain suka atau tidak sebarang tindakannya.

5. Komunikasi mesti sesuai mengikut situasi

komunikasi yang baik jadi kunci alex ferguson

Walaupun terkenal sebagai pengurus yang garang, Ferguson sebenarnya memilih waktu untuk bertindak, mengikut keadaan sewaktu itu. Menjerit kepada pemain tidak akan semestinya berhasil mengubah keadaan. Ferguson cuba menekankan aspek positif sewaktu latihan dan mengakui dirinya berbeza semasa perlawanan.

Sekiranya mereka menang atau sedang mendahului, pendekatannya berbeza berbanding semasa pasukan ketinggalan ataupun tewas. Ferguson tidak takut untuk mengkritik pemain sekiranya beliau merasakan pemain tersebut tidak mencuba sebaik mungkin. Terlalu lembut tidak akan membuatkan pemain beraksi lebih baik, setiap pemain perlu ada rasa takut yang akan menggerakkan mereka.

6. Untuk menang perlu bersedia

mengapa alex ferguson berjaya sebagai pengurus

Man Utd di bawah kendalian Ferguson mempunyai rekod mengagumkan dalam mencapai kemenangan pada detik hujung perlawanan, sehinggakan pengkritik kerap menyebut wujudnya 'Ferguson's time' dalam masa kecederaan. Hakikatnya, semua itu adalah keadaan yang wujud disebabkan latihan yang diadakan.

Ferguson mengambil langkah sistematik dalam memastikan pasukannya menang dengan latihan kondisi diadakan, bagi membiasakan pemain dengan tekanan yang akan dirasai pada 10, 5 atau 3 minit terakhir perlawanan, dalam usaha mendapatkan gol. Beliau sanggup mengambil risiko tewas lebih teruk dalam usaha mencari gol penyamaan atau gol kemenangan, kerana berada dalam situasi ketinggalan, akan tetap mengakibatkan kekalahan.

7. Usah takut melepaskan tanggungjawab

alex ferguson rahsia pengurusan

Salah satu sifat paling penting yang perlu ada pada setiap pengurus yang berjaya, adalah kemampuan untuk melihat sesuatu dari luar. Majoriti pengurus pasti memilih untuk melakukan semua perkara sendiri mengikut kehendak diri, namun Ferguson percaya hanya ketika kita melihat apa yang kita uruskan dari jauh, kita lebih mudah menilai kekuatan dan kelemahan yang ada.

Apabila kita mengambil pendekatan kendiri dalam mengurus, ini akan menghadkan visi kita sebagai pengurus. Ferguson mengakui pada awalnya dia juga takut untuk membiarkan pembantunya mengambil alih tugas sebagai jurulatih semasa latihan, namun setelah ditegur oleh pembantunya dan dia mencuba sendiri, barulah dia merasai pentingnya dia memandang apa yang berlaku dari jauh serta tidak terlalu terikut sangat untuk mengawal semua perkara.

8. Jangan takut berubah

alex ferguson semasa muda

Perubahan adalah sesuatu yang menakutkan dan bagi pengurus generasi terdahulu seperti Ferguson, pengalaman melihat sendiri perubahan-perubahan ini merupakan pengajaran berguna pada beliau. Pengenalan sains sukan dalam membantu meningkatkan prestasi pemain merupakan perubahan paling mendadak yang dilaluinya.

Ferguson menjadi antara pengurus paling awal di England memperkenalkan penggunaan sut GPS pada pemain bagi merekodkan pergerakan mereka serta menjadi pelopor pusat perubatan moden yang membolehkan pemain terus mendapatkan rawatan tanpa perlu ke hospital. Beliau mengakui, ekoran peredaran zaman serta kemasukan tuan punya kelab daripada Timur Tengah dan Russia yang mahukan keputusan segera, membuatkan perubahan paling ketara pada corak pengurusan beliau.

Pemain pada era sekarang juga berbeza dengan zaman 80-an atau 90-an. Mentaliti pemain ketika ini memerlukan teknik pengurusan yang berbeza kerana mereka kini terlalu terdedah kepada masyarakat dan diangkat seperti selebriti. Jika dahulu menguruskan pemain adalah senang, kemunculan sistem ejen yang menjadi pengurus kepada pemain juga menjadi cabaran yang telah dilalui oleh Ferguson sepanjang karier panjang beliau bersama pasukan Manchester United.

Rujukan

Harvard Business School

Harvard Business Review


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)